Isnin, 28 September 2026

TEGURAN TERBUKA KEPADA JAKIM: KENYATAAN MEDIA 27 SEPTEMBER 2026 MENGENAI ISU NEW AGE MOVEMENT (NAM).

 TEGURAN TERBUKA KEPADA JAKIM: KENYATAAN MEDIA 27 SEPTEMBER 2026 MENGENAI ISU NEW AGE MOVEMENT (NAM).

Dengan hormat, kenyataan JAKIM hari ini tentang YB Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) bermasalah dari tiga sudut: punca dan rantaian kuasa, asas perundangan dan ketelusan dapatan.

1. KETIADAAN PUNCA KUASA:

1.1. JAKIM ialah jabatan di bawah portfolio Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Portfolio ini diketuai oleh Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri. Di bawah Perkara 43A(2) Perlembagaan Persekutuan, Timbalan Menteri membantu Menteri dan, bagi maksud itu, mempunyai kuasa Menteri. Dari segi struktur pentadbiran, Ketua Pengarah JAKIM ialah pegawai di bawah kepimpinan politik portfolio tersebut, termasuk Timbalan Menteri.

1.2. Seorang Ketua Pengarah, iaitu penjawat awam, kini mengumumkan secara terbuka bahawa “teguran”telah diberikan kepada Timbalan Menterinya sendiri. Ini menterbalikkan hierarki. Pegawai bawahan tidak mempunyai kuasa menegur, apatah lagi mengumumkan teguran terhadap ketua politiknya. Lebih janggal lagi, perenggan 1 kenyataan itu menyebut bahawa JPM (Hal Ehwal Agama) bertindak “melalui JAKIM.” Kesannya, portfolio yang dianggotai oleh Timbalan Menteri itu seolah-olah menegur Timbalan Menterinya sendiri.

1.3. Timbalan Menteri juga bukan penjawat awam. Perkara 132(3)(a) mengecualikan anggota pentadbiran daripada perkhidmatan awam. Oleh itu, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 tidak terpakai kepada beliau, dan KSN tiada kuasa tatatertib ke atasnya.

1.4. Pihak yang berhak menegur pada peringkat portfolio ialah Menteri. Jika isu ini menyentuh kelayakan beliau untuk terus memegang jawatan, saluran yang betul ialah YAB Perdana Menteri. Di bawah Perkara 43A dibaca bersama Perkara 43(5), pelantikan Timbalan Menteri boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Tiada peruntukan Perlembagaan atau undang-undang yang memberi JAKIM kuasa sedemikian ke atas anggota pentadbiran.

2. HAD PERANAN JAKIM DAN KONFLIK KEPENTINGAN: 

2.1. JAKIM berhak meneliti isu akidah, memanggil pihak berkaitan dan menasihati kerajaan. Namun peranan itu tidak menjadikan JAKIM pihak berkuasa yang boleh menegur, menggantung atau menghukum anggota pentadbiran.

2.2. Timbul juga persoalan kebebasan. JAKIM berada di bawah portfolio yang sama dengan individu yang disiasat. Bagaimanakah siasatan ini boleh dilihat bebas?

3. SIFAT DAN BENTUK “TEGURAN” TIDAK DITAKRIFKAN:

3.1. Kenyataan itu tidak menyatakan apakah sebenarnya “teguran” tersebut. Adakah ia:

(a) Pandangan teknikal Panel Pakar Akidah JAKIM;

(b) Arahan pentadbiran oleh Menteri;

(c) Keputusan rasmi Kerajaan;

(d) Tindakan di bawah Kod Etika bagi Anggota Pentadbiran; atau

(e) Nasihat yang tidak mengikat?

3.2. Setiap satu mempunyai sumber kuasa dan kesan undang-undang yang berbeza. Tanpa penjelasan, orang ramai tidak dapat menilai sama ada sebarang tindakan sebenarnya telah diambil.

4. TIADA KEPUTUSAN MUKTAMAD DAN KENYATAAN BERCANGGAH:

4.1. Selepas menyebut “siasatan menyeluruh”, JAKIM tidak menyatakan sama ada dakwaan itu disahkan, tidak disahkan, atau disahkan sebahagian. 

4.2. Perenggan 4 dan 5 mengakui wujudnya kandungan yang “mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah” dan perlu “diperbetulkan dan dimurnikan”. Ini bermakna ada kesilapan yang telah dikenal pasti. Namun perenggan 6 pula meminta masyarakat tidak membuat kesimpulan “di luar konteks”. 

4.3. Bagaimana masyarakat hendak memahami konteks jika JAKIM sendiri tidak mendedahkannya?

5. DAPATAN PIHAK BERKUASA AGAMA TIDAK DIDEDAHKAN:

5.1. Hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri (Jadual Kesembilan, Senarai II). Di Wilayah Persekutuan, seksyen 33 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) meletakkan Mufti sebagai pihak berkuasa utama dalam perkara Hukum Syarak, selepas Yang di-Pertuan Agong. Fatwa pula mempunyai prosedur tersendiri di bawah seksyen 34.

5.2. Kenyataan JAKIM menyebut kehadiran SS Mufti dalam sesi tabayyun, tetapi tidak menyatakan dapatan beliau. Tauliah mengajar YB Timbalan Menteri pula dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri, namun pihak berkuasa tersebut langsung tidak disebut.

5.3. Jika fakta kes sampai ke tahap kesalahan jenayah Syariah, perkara itu bukan lagi soal teguran pentadbiran. Contohnya kesalahan doktrin palsu di bawah seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), atau peruntukan setara dalam enakmen negeri.

6. PERCANGGAHAN DENGAN KENYATAAN PEJABAT TIMBALAN MENTERI:

6.1. Minggu lalu, Pejabat Timbalan Menteri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan ajaran New Age dan menuntut pihak yang menyebarkannya menarik balik kenyataan dalam tempoh 24 jam. 

6.2. Hari ini pada 27/09/2026, JAKIM pula mengesahkan wujud kandungan yang perlu diperbetulkan dan dimurnikan. Kedua-dua kenyataan datang dari portfolio yang sama. Yang mana satu kedudukan rasmi kerajaan?  

7. PENAMAAN INDIVIDU AWAM DALAM KENYATAAN RASMI:

7.1. Perenggan 2 menamakan secara khusus halaman Facebook seorang individu yang membangkitkan persoalan ini. Kenyataan rasmi kerajaan sepatutnya menjawab isu, bukan menamakan orang yang bertanya.

7.2. Penamaan sebegini tidak perlu dan boleh ditafsirkan sebagai tekanan terhadap orang awam yang menggunakan hak mereka untuk bertanya.

TUNTUTAN:

1. JAKIM mendedahkan ringkasan dapatan Panel Pakar Akidah dan SS Mufti, termasuk perkara yang didapati salah dan perkara yang tidak.

2. JAKIM menjelaskan kedudukan undang-undang “teguran” tersebut dan pihak yang memutuskannya.

3. YB Menteri membuat kenyataan sendiri tentang tindakan yang diambil pada peringkat portfolio.

4. Perdana Menteri menyatakan pendirian jika isu ini menyentuh kesesuaian jawatan Timbalan Menteri.

5. Isu tauliah dirujuk kepada pihak berkuasa agama negeri yang berkenaan.

Teguran ini bukan bertujuan menghukum sesiapa. Kesucian akidah dipelihara melalui ketelusan dan saluran kuasa yang betul, bukan melalui kenyataan yang mengisyaratkan ada kesalahan tetapi enggan menyatakannya.

TAMAT.




Jabatan Perdana Menteri

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM

#marhamahrosli

#NewAgeMovement

#quantum

#newage

#playsafe

#melepaskanbatukditangga

#JAKIM

Source 

0 comments:

Catat Ulasan