"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Ahad, 31 Oktober 2021

PRN Melaka: Tentera siber UMNO mula kempen fitnah Muhyiddin

 

Tentera siber UMNO memuat naik fitnah di laman media sosial masing-masing menuduh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyogok pengundi di Melaka. - Gambar FB

Tentera siber UMNO mula menabur fitnah terhadap Perikatan Nasional (PN), khususnya Pengerusi PN, apabila mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin mula menyogok pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Berdasarkan gambar yang mereka peroleh tentera siber UMNO menuduh bekas Perdana Menteri itu yang berada di Melaka hari ini, memberi wang secara terang-terang walaupun RM5.

Antara tentera siber UMNO yang membuat fitnah Muhyiddin memberi wang kepada orang ramai di Melaka ialah Rafi Awg Kechik dan Akmar Hisham Mokhles. Kedua-duanya memuat naik fitnah itu di laman Facebook masing-masing sebagaimana gambar di atas.

Bagaimanapun, Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata pihak terbabit sengaja berniat jahat untuk memburuk-burukkan Muhyiddin dengan membawa persepsi negatif sempena PRN Melaka.

“Gambar yang disebarkan itu adalah gambar ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin singgah di sebuah Gerai Prihatin Rakyat di mana beliau membantu memulangkan baki wang yang dibeli oleh rakyat Melaka yang bernilai RM5 ke atas jualan Gerai Prihatin Rakyat anjuran sebuah NGO di Melaka.

“Saya harap pihak yang tidak bertanggungjawab harus menghentikan fitnah dan rakyat Melaka harus menilai taktik jahat pihak tertentu ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Presiden Bersatu itu sebenarnya memulangkan wang baki selepas penunggang motosikal berkenaan membeli barangan asas di Gerai Prihatin Rakyat secara pandu lalu.

“Gambar yang disebarkan itu ketika Muhyiddin singgah di Gerai Prihatn Rakyat dan pulangkan baki wang sebanyak RM5,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam siri melawat ke program Gerai Prihatin Rakyat di Kampung Tersusun Jus Permai, Selandar dan Pantai Klebang.

Sementara itu, satu laporan polis akan dibuat oleh Bersatu Melaka berhubung kiriman yang dimuat naik oleh pihak berkenaan.

Ketua Penerangan Bersatu Negeri Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata laporan polis itu akan dibuat di Balai Polis Air Keroh.

“Saya akan membuat laporan polis terharap mereka hari ini. Tindakan tidak bermoral ini perlu dihentikan dan harus diambil tindakan tegas,” katanya.

-Agenda Daily

Bajet 2022: Kenapa penjawat awam dapat bantuan khas RM700? Ini jawapan Tengku Zafrul

Bajet 2022: Kenapa penjawat awam dapat bantuan khas RM700? Ini jawapan Tengku Zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melihat pemberian itu setimpal dengan pengorbanan mereka yang mencurah masa dan tenaga semasa pandemik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Apabila penjawat awam Gred 56 dan ke bawah dimaklumkan akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 sebagai salah satu insetif dalam Bajet 2022, terdapat suara-suara yang meluahkan rasa tidak puas hati.
Ada yang berpendapat ia tidak adil memandangkan penjawat awam tidak begitu terkesan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat COVID-19.
Namun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melihat pemberian itu setimpal dengan pengorbanan mereka yang mencurah masa dan tenaga semasa pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Kita kena ambil kira usaha penjawat awam dalam melaksanakan program pemulihan dan imunisasi kebangsaan, penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan SOP seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), para petugas kesihatan, malah ada yang terpaksa korbankan cuti demi menjalankan tugas.
"Saya sendiri berasal dari sektor swasta, saya faham keluhan itu, tetapi saya fikir kalau dibandingkan dengan bonus tahunan pekerja swasta, ia bukanlah pada kadar berlebihan," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI bertajuk Bajet 2022: Dari Rakyat Untuk Rakyat, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menegaskan, Bajet 2022 memperlihatkan kerajaan komited menangani situasi berkenaan, dengan fokus diberikan kepada golongan belia dan graduan baharu dalam penjanaan kira-kira 600,000 peluang pekerjaan.

 "Mengambil kira kadar pengangguran di negara ini yang masih tinggi iaitu 4.3 peratus, tetapi ia sudah sedikit menurun berbanding semasa peak pada Mei tahun lepas, iaitu lebih 5 peratus.

"Unjuran kita ialah 4 peratus, sebab itu kita umumkan program Jamin Kerja untuk menjana 600,000 peluang pekerjaan. Sebelum ini pun kita sudah ada program seumpama ini dan kita mampu cipta lebih kurang 500,000 pekerjaan baharu, jadi kita yakin kali ini juga sasaran itu akan tercapai.
"Fokus kita pastinya golongan anak muda sebab itu kita perbanyakkan program latihan graduan dan perantis.
"Peruntukan untuk Jamin Kerja ini besar, iaitu RM4.8 bilion. Kita adakan program insentif majikan untuk ambil pekerja OKU, Orang Asli dan banduan, kita juga MyStep dengan kira-kira 80,000 pekerjaan dijamin. Ada juga program lain seperti Glow, kerjasama dengan MDEC.
Katanya, langkah seterusnya kini adalah pelaksanaan, dengan Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai pemantau.
-AstroAwani

Bajet 2022: Golongan bujang tidak disisih, dapat RM350 - Tengku Zafrul beri penjelasan

 Bajet 2022: Golongan bujang tidak disisih, dapat RM350 - Tengku Zafrul beri penjelasan

Tengku Zafrul mengakui, menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai sama ada BKM diberikan kepada golongan bujang atau tidak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Golongan bujang yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 turut menerima bantuan sebanyak RM350 di bawah inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menjelaskan sebab ia tidak diumum dalam pembentangan Bajet 2022 petang Jumaat, Tengku Zafrul berkata, hanya sebahagian daripada pelbagai bantuan yang disediakan untuk Keluarga Malaysia disenaraikan dalam ucapannya.
Beliau mengakui, menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai sama ada BKM diberikan kepada golongan bujang atau tidak.
“Kalau nak kita senaraikan semua, sampai malam pun mungkin tak habis ucapan.
“Tapi dalam Bajet 2022 memang ada macam-macam bantuan untuk semua lapisan masyarakat.
“Saya kongsikan di sini ringkasan BKM untuk rujukan semua. Insya-Allah pencerahan lain akan menyusul,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat malam.
Sumber Facebook tzafrulaziz
Bajet 2022 | RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia
Pada Jumaat, kerajaan memperkenalkan BKM menerusi Bajet 2022 dengan bantuan tunai tertinggi iaitu sebanyak RM2,000 bagi mengurangkan bebanan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Tengku Zafrul berkata, BKM dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion, bakal memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima membabitkan isi rumah mempunyai tiga anak dan lebih, selain purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500.
-AstroAwani

Sabtu, 30 Oktober 2021

Tips berguna bila eksiden. Sila ambil tahu. Kalau x nak tertipu

 


Tahukah anda jika kemalangan dan longkai (penarik kereta) datang dan longkai akan suruh tandatangan dokumen supaya mereka dapat komisen 10%?

Janganlah sesekali anda tandatangan dokumen tu dan tak perlu risau longkai akan gertak dan momokkan dengan cerita sedih itu la ini la.

Jadi apa tindakan anda?

Pertama jangan tandatangan dokumen tu.

Kedua cakap kat dia saya cuma nak towing sahaja. Biasanya caj dalam RM200 je.

Tarik kereta anda ke balai yang sepatutnya untuk buat laporan polis (ikut kawasan la).

Lepas buat laporan suruh longkai tu hantar ke bengkel panel yang buat repair. Haaa yang kena ada pengalaman kalau tak ada pun tak apa just call insurance dan minta alamat panel yang buat repair kemalangan.

Lepas tu, hehehe ni bahagian yang best. Tibalah giliran anda pula untuk claim 10 peratus dari tokey bengkel.

Caranya esok adjuster insurance akan datang bengkel dan kira jumlah kerosakan. Katalah kereta mahal BMW ke Mercedes ke total repair RM100,000 so anda boleh claim RM10K dekat tokey bengkel sebab anda dah bagi job kat tokey bengkel.

Sebab tu la longkai bergaduh berebut kereta sebab nak dapat duit komisen dari bengkel kereta.

Dan juga hati-hati ada bengkel kuat kencing sebab dia dapat claim dari insurance tapi dia tak tukar barang tu, dia just repair je.

Dan juga hati-hati kalau longkai kata hantar kat bengkel saya. Heheheh. Tu longkai penipu sebab longkai tak ada bengkel. Dia just pancing je.

Ini pengalaman aku la. Dulu aku kemalangan kereta hancur total claim RM120,000.

Jadi tokey bengkel tu terpaksa la bagi aku RM12k komisen dan juga lost of use 3 bulan sebab ambil masa lama untuk repair dan longkai hanya dapat duit towing je RM180. Hahahah memang panas longkai tu sebab tak berjaya nak makan aku.

Dan juga call insurance dan suruh dia emel detail barang yang sepatutnya tukar. Lepas tu cek satu-satu lepas siap repair.

Kalau kurang satu korang minta duit kat tokey bengkel tu. Kalau tak korang gertak nak buat repot polis sebab dia tipu. Dulu tokey bengkel kena gertak dengan aku terus dia bayar kat aku. Hahahah.

TAHUKAH ANDA?

Korang tau tak kalau korang kemalangan, selain boleh claim repair, korang jugak boleh claim Loss Of Use. Dia orang bagi pampasan RM30-RM50 sehari.

Katalah kereta korang duk dalam bengkel 30 hari, insuran akan bagi RM30 sehari.

Jadi, korang akan dapat RM900 selama kereta dibaiki. Tapi disebabkan rakyat Malaysia kurang perihatin akan hak pengguna, majoriti tak tahu pasal pampasan Loss of Use.

Kredit: Vortec info

Jumaat, 29 Oktober 2021

Bajet 2022:Penjawat awam dapat RM700, pesara RM350


KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan RM700 Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah dan RM350 untuk satu juta pesara kerajaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan khas itu memberikan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion.

Katanya, bantuan khas itu langkah kerajaan bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini.

Facebook kini dikenali Meta

 Facebook kini dikenali Meta.

Facebook kini dikenali Meta.

Platform sosial media terbesar, Facebook kini dijenamakan semula kepada Meta.

  Pengasas platform berkenaan, Mark Zuckerberg mengumumkan perkara berkenaan dan semua aplikasi di bawah Meta iaitu Facebook, Messenger, Instagram dan beberapa platform lain kekal beroperasi seperti biasa.

  Penjenamaan semula itu akan memberi fokus kepada segmen dunia meta atau 'Metaverse' yang lebih besar lagi.

  Zuckerberg menyatakan bahawa penjenaman itu perlu kerana organisasi berkenaan tidak hanya menjadi pengendali kepada Facebook saja sebaliknya banyak platform lain.

  Menerusi majlis Facebook Connect awal pagi tadi, Zuckerberg turut memperlihatkan dunia meta berkenaan akan mengubah cara pengguna berinteraksi antara satu sama lain.

  Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dunia meta itu akan menjadi evolusi baharu Internet.

-myMetro

UMNO ugut PAS guna logo sendiri, tak jadi lantik Najib pengarah PRN Melaka

UMNO mahu PAS menggunakan logo sendiri dalam PRN Melaka nanti.

PAS perlu menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan bukannya logo Perikatan Nasional (PN), ia syarat yang diletakkan UMNO kepada PAS selepas Mesyuarat Majlis Tertingginya malam ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata PAS perlu menggunakan logonya sendiri sebagai mematuhi semangat Muafakat Nasional (MN) dan digesa tunduk kepada syarat itu jika tidak mahu berlaku pertembungan sesama sendiri dalam PRN nanti.

“Asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.

“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

 UMNO malam ini mengadakan mesyuarat bagi memuktamadkan kerjasama dengan PAS dan Bersatu.

Bagaimanapun, Ahmad tidak menjelaskan berhubung pendiriannya melibatkan Bersatu dalam PRN Melaka kali ini.

Dalam pada itu, Ahmad juga berkata mandat diberikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan pilihan raya.

Selain itu, Ahmad juga menegaskan hasrat UMNO untuk meneruskan persefahaman dengan PAS sahaja selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu.

Bagi menghadapi PRN Melaka, UMNO juga mengumumkan Timbalan Presidennya sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka.

Pendirian tersebut dilihat bertentangan dengan pengumuman Zahid sebelum ini yang mahu bekas PM Datuk Seri Najib Razak untuk mengetuai kempen PRN Melaka.

Zahid sebelum ini mengumumkan Najib akan menggantikannya untuk mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) di Melaka sepanjang ketiadaannya yang akan ke Jerman bagi menjalani rawatan sakit belakang.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

-Agenda Daily

Khamis, 28 Oktober 2021

Kerajaan mohon lucut hak wang Alvin Goh, isteri Addy Kana

 Goh Leong Yeong (Alvin Goh) di bawa anggota Jabatan Imigresen dan Penjara ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengubahan wang haram (MACAU SCAM) pada 12 April lalu. - Foto fail NSTP

Goh Leong Yeong (Alvin Goh) di bawa anggota Jabatan Imigresen dan Penjara ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengubahan wang haram (MACAU SCAM) pada 12 April lalu. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memohon untuk melucut hak wang tunai berjumlah lebih RM500,000 dalam akaun milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong atau Alvin Goh dan isteri 'Datuk Addy Kana', Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff serta syarikat mereka yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kerajaan melalui Pendakwa Raya memohon harta yang disita pada Disember 2020 dan Januari lalu dilucut hak dengan alasan ia diperoleh melalui hasil aktiviti haram iaitu aktiviti perjudian dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah.

Pemerolehan harta terbabit adalah suatu kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan pengurusan kes pada 29 Disember ini bagi pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai status penyiaran notis warta kepada pihak ketiga berkepentingan.

Notis itu bagi memanggil pihak ketiga hadir ke mahkamah dan memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak kepada kerajaan.

Dalam prosiding itu, Pendakwa Raya diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Alvin Goh diwakili peguam Lim Jin Wen manakala Alyaa Syuhaila diwakili peguam Effa Azuin Aidrul Hisyam.

Pendakwa Raya memfailkan notis usul pada 29 September lalu dengan menamakan Alvin Goh dan syarikatnya, Malaysian House of Internet Sdn Bhd serta Networld Computer (KL) Sdn Bhd.

Ia memohon melucut hak wang responden berjumlah RM60,232.01 yang disimpan dalam tiga akaun bank peribadinya dan wang masing-masing berjumlah RM10,588.94 dan RM16,721.75, dalam akaun Malaysian House of Internet dan Network Computer.

Dalam satu lagi permohonan notis usul, Pendawa Raya menamakan Alyaa Syuhaila dan syarikatnya, Nine Nine International Sdn Bhd selaku responden dengan memohon melucut hak wang di dalam lima akaun peribadi berjumlah RM353,723.81 dan wang tunai berjumlah RM75,846.82 dalam syarikat itu.

Pada 12 April lalu, Alvin Goh dan adiknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tujuh pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2.14 juta.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan membebaskan `Datuk Addy Kana' atau nama sebenarnya Zaidi Kanapiah dan dua anggota polis daripada penahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan sindiket perjudian dalam talian pada 27 April lalu.

-BH Online

Poligami, Ezlynn terkejut ramai mahu jadi calon madu

EZLYNN bersama suaminya, Wan Hafizam.

PETALING JAYA – Baru menyuarakan hasrat melengkapkan empat isteri untuk suami tercinta, penyanyi Ezlynn teruja dalam masa terkejut apabila niat baiknya meraih maklum balas positif daripada ramai wanita lain yang sudi berkongsi kasihnya.

Katanya, hasrat berpoligami yang sudah tersemat sebelum bertemu jodoh dengan teman hidupnya kini, Wan Hafizam itu sudah disuarakan selepas beberapa hari mereka mendirikan rumah tangga.

 “Sebenarnya suami terkejut ketika saya luahkan hajat meminta dia melengkapkan poligami kepada empat isteri yang dibolehkan dalam Islam kerana saya yakin dia mampu menggalas tanggungjawab tersebut pada masa akan datang.

“Kemudian saya kongsikan pencarian misi empat madu itu di dalam laman sosial namun dengan persetujuannya dulu memandangkan perkara sebegini tetap bergantung kepada keputusannya.

“Bagi saya, suami adalah milik Allah dan kebahagiaan suami penting adalah segala-galanya selain saya hanya mahu mencari saham akhirat dengan reda serta syafaat Rasulullah.

“Selain berjumpa sendiri beberapa calon, menerusi hebahan di laman sosial saya terkejut apabila ada ramai lagi wanita yang sedia hidup bermadu,” katanya yang kini bergelar isteri kedua.

Menurut Ezlynn, setakat ini sekitar lima orang wanita ada menghubungi dan menyatakan kesediaan untuk hidup bermadu dengannya.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Ezlynn Ariffin, 39, itu mengumumkan bertemu jodoh dengan penderma hati pertama negara, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, pada awal September. Majlis pernikahan mereka bagaimanapun hanya dihadiri keluarga terdekat.

Ezlynn memaklumkan detik perkenalan mereka bermula apabila sama-sama terbabit dalam aktiviti amal dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tahun lalu.

Sebelum ini penyanyi Hi Hi Bye Bye itu pernah berkahwin tetapi ikatan mereka terputus tanpa dikurniakan cahaya mata manakala Wan Hafizam pula mempunyai tiga anak menerusi perkahwinan pertamanya.

Sementara itu, Ezlynn yang menegaskan tidak pernah merahsiakan statusnya hidup bermadu mengakui kehidupan bersama suami tercinta terus disulami bahagia.

Lebih selesa tidak menyentuh pihak lain, katanya pada tahap dia hanya mencari reda Allah selain mendapat restu suami untuk melayari kehidupan dan kerjaya seni dengan lebih berkat. – K! ONLINE

Tiada had siling harga kit ujian kendiri COVID-19 - Rosol

 Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan menetapkan harga siling bagi kit ujian kendiri COVID-19.

Harga kit berkenaan akan ditentukan pasaran selepas KPDNHEP mendapat jaminan daripada syarikat pengeluar bahawa kit berkenaan akan dijual dengan harga lebih murah berbanding harga siling RM19.90 ketika ini, termasuk menjualnya pada harga bawah RM10.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat yang diluluskan tanpa sebarang pindaan, hari ini.

Beliau berkata, kit kendiri COVID-19 itu akan dijual bukan saja di farmasi dan kedai ubat, tetapi akan diperluas ke pasar raya, kedai rangkaian dan stesen minyak dalam masa terdekat.

"Pada asalnya, kementerian bercadang untuk menentukan harga maksimum (kit ujian kendiri COVID-19), mungkin RM15 atau RM13, namun apabila ramai pemain industri datang dan beradvokasi dengan kita, ada yang tawarkan untuk menjualnya di bawah RM10.

"Jika dibenarkan dijual di pasaran terbuka yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), maka mereka boleh jual dengan harga lebih murah.

"Jadi, saya yakin menerusi komitmen dan janji yang dibuat pemain industri ini dan akan dikotakan pada akhir bulan ini. Jadinya kementerian beranggapan tidak perlu tentukan harga maksima, kita biarkan pasaran menentukan harganya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perihal Dagangan (Pindaan) 2021. RUU berkenaan diluluskan hari ini tanpa sebarang pindaan.

Mengenai mekanisme bagi menentukan kebolehpercayaan kit ujian kendiri yang akan dijual lebih murah itu, Rosol berkata, kit berkenaan diluluskan MDA.

"Apabila ada cop MDA, maka ia diluluskan kerajaan, jadi tiada kerisauan. Jika tidak diluluskan, maka ia menjadi satu kesalahan untuk alat itu dijual.

"Jika ada hal penipuan dan peralatan palsu, kita terbuka untuk sentiasa menyiasat," katanya.

Sementara itu, mengenai isu minuman keras jenama Timah yang sebelum ini mewujudkan suasana tidak selesa dalam kalangan umat Islam, Rosol berkata, pengeluar minuman itu sudah membuat satu komitmen untuk mengkaji semula nama berkenaan.

"Mereka memahami akan keresahan dan kerisauan umat Islam di negara ini dan ini menunjukkan Keluarga Malaysia ini cukup prihatin tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan," katanya.

Mengenai RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 yang diluluskan itu, Rosol berkata, ia adalah penambahbaikan kepada Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) supaya lebih komprehensif, bersesuaian dengan peredaran masa dan isu berbangkit masa kini.

Ia antara lain memasukkan seksyen baharu 39A ke dalam Akta 730 bagi memberikan kuasa kepada Penolong Pengawal untuk menahan mana-mana orang yang dipercayainya melakukan atau cuba melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5, 16, 17, 20 atau 51 Akta 730.

Selain itu, ia turut bertujuan memasukkan seksyen baharu 52A untuk memberikan seseorang Penolong Pengawal kuasa untuk meminda, memilih, mengambil atau mendapatkan sampel apa-apa barang bagi maksud analisis, tanpa bayaran daripada mana-mana orang yang mengilang, mengeluarkan, menjual atau mengimport barang itu atau daripada ajen atau perkhidmatannya.

"Seksyen 52A yang dicadangkan juga bertujuan untuk menjadikan suatu kesalahan jika mana-mana orang enggan untuk mematuhi apa-apa permintaan yang dibuat oleh Penolong Pengawal," katanya.

-BH Online

Rabu, 27 Oktober 2021

Anjur Sidang Akhbar PRN Melaka, Parti MUDA Dikompaun RM4,000 Ingkar Larangan Berhimpun

 


MELAKA, 27 Okt (Bernama) — Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 kerana mengingkari larangan berhimpun dengan mengadakan sidang akhbar di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad dalam kenyataan malam ini berkata tindakan itu diambil berikutan perhimpunan berkenaan menyukarkan penjarakan fizikal dilakukan.

“Kompaun tersebut dikeluarkan kepada penganjur program itu yang juga Pegawai Media MUDA Melaka.

“Ia selari dengan larangan berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang dikeluarkan bermula Isnin lalu,” katanya.

Berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta 342, aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Afzanizar berkata polis juga sebelum itu telah menasihati penganjur agar memberhentikan sidang akhbar tersebut berdasarkan larangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya berkuat kuasa Isnin lepas sehingga 27 November depan, namun diingkari.

Beliau berkata polis telah memanggil penganjur sidang media berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan telah memaklumkannya melakukan kesalahan di bawah peruntukan 10 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDBP) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 sebelum kompaun dikeluarkan.

Setiausaha Agung Penaja MUDA Amira Aisya Abd Aziz menerusi akaun Twitternya dilapor berkata parti telah dikompaun RM4,000 selepas mengadakan sidang akhbar berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di hadapan Bangunan Stadhuys, Banda Hilir tengah hari tadi.

Sumber: Bernama

Merdeka 118, menara kedua tertinggi di dunia

 PROJEK pembangunan Merdeka 118.

PROJEK pembangunan Merdeka 118.

Kuala Lumpur: Malaysia akan mencatat satu lagi rekod dunia apabila menara mega Merdeka 118 akan siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun depan dengan ketinggian 700 meter dari paras laut.

Merdeka 118 kini pada ketinggian 644 meter yang diukur dari permukaan tanah hingga puncak.

Ketinggian sebenar menara mega itu akan diumumkan kepada umum tahun depan sebaik struktur itu siap sepenuhnya.

Apabila puncak akhir menara itu disambung kelak, ketinggian akhir dijangka mencecah 700 meter menurut mereka yang terbabit dalam pembinaannya.

"Puncak menara itu kini dalam proses pembinaan. Ia akan dipasang pada kawasan tertinggi menara dalam tempoh beberapa bulan dan meningkatkan ketinggian menara," kata sumber.

Walaupun baru mencecah ketinggian 644 meter, Merdeka 118 sudah menjadi struktur kedua tertinggi di dunia.

Menara itu kelak akan tersenarai antara bangunan tertinggi di dunia seperti Burj Khalifa di Dubai yang menjadi menara tertinggi dengan ketinggian 828 meter manakala Menara Shanghai di China kini menjadi menara kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian 632 meter.

Dalam tempoh beberapa tahun lagi, terdapat lima bangunan tertinggi di dunia antaranya Menara Kingdom di Jeddah, Arab Saudi pada ketinggian 1,008 meter, Burj Khalifa (828 meter, Merdeka 118 (hampir 700 meter), Wuhan Greenland Center di Wuhan, China dengan ketinggian 636 meter dan Menara Shanghai (632 meter).

Merdeka 118 dibina dengan nilai RM5 bilion dibangunkan dalam tiga fasa di tanah berkeluasan 19 ekar di kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB) yang juga milik Permodalan Nasional Bhd (PNB) membangunkan menara berkenaan.

Disebalik pandemik, PMVSB berjaya mencapai kejayaan besar dalam pembinaan menara berkenaan yang sudah mencapai perkembangan lebih cepat dari pelan pada Jun lalu.

-myMetro

Trending:Proton Juara, dulu dihina sekarang dicari

 

Proton Juara

PETALING JAYA – Proton Juara yang dilancarkan pada 2001 ternyata mempunyai bentuk yang unik dan pelik jika dibandingkan dengan kereta pelbagai guna (MPV) yang lain.

Ketika di awal jualannya, kereta ini tidak mendapat permintaan yang banyak ditambah pula dengan harga sekitar RM50, 000 yang agak mahal ketika itu.

Juara terus merudum, sekitar 2010 kereta ini hanya dijual pada harga RM3, 000 ke RM4, 000 sahaja bagi kondisi yang baik.

Manakala bagi yang berkarat dan rosak, ianya menjadi reban ayam mahupun sebagai pelapik papan di bawah pokok jambu sahaja.

Namun, sejak kebelakangan ini, jenama ini mula menjadi sebutan ramai, mungkin kerana bentuknya yang tinggi menjadi pilihan peniaga tepi jalan.

Bukan itu sahaja, trend menjadikan van sebagai kenderaan berkempen (camper van) ketika ini membuatkan Juara menjadi pilihan ramai.

Menjengah ke beberapa portal jualan kereta, nampaknya harga MPV ini telah mencecah RM10, 000 ke RM15, 000 bagi yang berkondisi elok.

Untuk mencari model ini juga cukup sukar ketika ini, orang ramai turut berpandangan sama dan mendapati model ini semakin pupus.

“Dulu memang bukan pilihan lah Juara ni, dengan bentuk peliknya. Tapi saya agak terkejut dengan harga dan permintaan sekarang.

“Sebelum ini nak cari cukup senang, sekarang memang susah nak dapat. Orang meniaga memang suka dengan model ni,” jelas Yap Ah Chong.

“Juara ni bagus, pintu gelonsor belakang boleh dibuka kedua-dua belah. Memang menjadi pilihan bagi yang nak modi kereta ni.

“Harga pun dah start Yahudi dah sekarang, pandai dah orang-orang kita ni,” kata Wan Aziz Wan Deraman. – K! ONLINE.

Inspirasi:Bermodal RM200, kini peroleh RM30,000 sebulan

CHE NORMA menunjukkan produk Belacan Madu Enterprise. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI

HANYA bermodalkan RM200 kira-kira 21 tahun lalu, Belacan Madu Enterprise di Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis kini menjadi antara pengusaha belacan yang terkenal di negeri ini.

Pemilik Belacan Madu Enterprise, Che Norma Chek Saleh,34, mewarisi perniagaan tersebut daripada ibunya, Che Saudah Hamzah, 61.

 Katanya, ibunya mula membuat perniagaan belacan secara kecil-kecilan pada tahun 2000 di rumah mereka.

Ujarnya, pada masa itu, kuantiti belacan yang mampu dikeluarkan adalah sekitar 70 sehingga 80 kilogram sehari dan semakin hari permintaan semakin meningkat.

PEKERJA Belacan Madu Enterprise menyiapkan tempahan belacan yang diterima. – UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI

Kata ibu kepada tiga orang anak itu, kini, mereka mampu menjual antara 500 hingga 600 kilogram belacan sehari dan jumlah tersebut boleh mencapai sehingga 800 kilogram apabila mendapat tempahan khas daripada para pelanggan.

“Para pelanggan kami bukan sahaja dari negeri ini, malah ada yang datang dari negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor serta mereka yang menempah khas dan dijual melalui pos.

“Permintaan terhadap belacan keluaran kami sangat baik kerana mereka sudah merasa kelainan dan kami menggunakan udang geragau ataupun di sini dipanggil ‘udang seroi’ yang segar untuk menghasilkan belacan yang terbaik.

“Kini pendapatan kasar bulanan kami boleh mencapai antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan dengan hanya menjual belacan sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Che Norma, antara cabaran yang terpaksa dihadapi adalah untuk memperkenalkan jenama Belacan Madu itu kepada orang ramai seterusnya mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

Katanya, usaha tersebut berhasil apabila mereka kini juga mempunyai pelanggan tetap.

BELACAN Madu Enterprise mampu mennjual sehingga 600 kilogram belacan sehari. – UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI

Dalam pada itu, Che Norma yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu klinik dan sudah lima tahun mengambil alih perniagaan keluarga tersebut memberitahu, penularan wabak Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan peniagaan mereka.

“Ini kerana, banyak pelanggan dari luar negeri Perlis tidak dapat datang untuk membeli kerana larangan rentas negeri akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, keadaan kini semakin stabil dan biasanya semua belacan yang dihasilkan pada hari tersebut boleh dihabiskan pada hari yang sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Che Norma berkata, perusahan yang mempunyai 14 pekerja itu  juga bercadang untuk memperkembang lagi perniagaan pada masa depan serta membaik pulih premis pembuatan belacan supaya lebih luas dan selesa.

“Belacan kami dijual pada harga RM1 bagi 100 gram, RM2 (200 gram), RM5 (500 gram) dan RM10 (sekilogram),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Selasa, 26 Oktober 2021

Najib jawab Mahathir: Layanan berbeza apa?


Najib Razak membidas dakwaan “layanan berbeza”yang dibangkitkan Dr Mahathir Mohamad ke atasnya, berhubung keputusan mahkamah membenarkan Najib mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara.

“Layanan berbeza apa? Saya mohon melalui mahkamah. Bukan minta pada kerajaan,” kata bekas perdana menteri keenam itu di Facebooknya.

Dia memberikan respons terhadap kenyataan Mahathir semalam yang menyifatkan Najib sebagai penjenayah VIP pertama di Malaysia kerana menerima layanan berbeza, dan pemulangan pasport itu sebagai satu 'kes yang luar biasa'.

 Kata Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri keempat dan ketujuh, layanan terhadap Najib berbeza dengan layanan terhadap orang kebanyakan yang telah didakwa dan dihukum sehingga masuk penjara, sebaliknya Najib yang telah dihukum bersalah itu tidak masuk penjara, bahkan mendapat perkhidmatan pengiring seperti VIP.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib berhubung kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, manakala Mahkamah Rayuan menyita pasport Najib ketika mendengar rayuannya.

Kata Najib, permohonan mendapatkan pasportnya itu dibuat hanya supaya dia dapat melawat anak perempuannya yang bersalin di Singapura, yang tidak dapat pulang ke Malaysia semasa hamil kerana peraturan dan larangan rentas negara semasa pandemik.

“Yang benarkan pelepasan ke Singapura pada saya adalah Mahkamah Rayuan dengan keputusan sebulat suara ketiga-tiga hakim.

“Melalui proses mahkamah. Bukan kerajaan yang benarkan.

“Jika Atok (Mahathir) tak puas hati, boleh lah kecam hakim-hakim mahkamah rayuan yang berpengalaman. Buatlah sidang media untuk kecam hakim-hakim, kita nak,” kata Najib.

Menurut Najib, ‘layanan berbeza’ sebenarnya dia terima semasa Mahathir menjadi perdana menteri ketujuh.

Antara lain, dia membangkitkan mengenai hakim perbicaraan kes SRC, yang kata Najib merupakan hakim mahkamah sivil tanpa sebarang pengalaman kes jenayah yang tiba-tiba ditukar ke mahkamah jenayah untuk menggantikan hakim bagi kes SRC, selepas perbicaraan bermula.

Kata Najib, hal itu, sehingga berlakunya 307 kekhilafan dalam keputusan bersalah yang dijatuhkan ke atasnya, seperti yang dikemukakannya dalam petisyen rayuan terhadap sabitan dan hukumannya itu.

“Inilah layanan berbeza pada saya semasa Atok jadi perdana menteri ketujuh. Apa komen Atok tentang layanan ini pula?” soal Najib lagi.

Awal tahun ini, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diberitakan akan dipindahkan semula dari mahkamah jenayah Kuala Lumpur ke mahkamah sivil berkuat kuasa Mac, enam bulan setelah menjatuhkan hukuman terhadap Najib.

Nazlan dipindahkan dari mahkamah komersial ke mahkamah jenayah pada Julai 2018 untuk mengetuai perbicaraan dkes rasuah SRC bernilai RM42 juta oleh Najib. Dia mengambil alih dari hakim sebelumnya, Mohd Sofian Abd Razak.

Nyatakan sokong-malaysiakini