🌐 Lebuh Raya Timur Barat 2 (Simpang Pulai Perak ke Terengganu) Siap Dibina 2010
Terdapat satu lagi pilihan laluan untuk pengguna dan pemandu yang ingin ke Pantai Timur atau ke Pantai Barat yang menghubungkan antara Simpang Pulai, Perak ke Kuala Telemung, Terengganu sejauh 338 kilometer. Laluan yang turut dikenali dengan nama Lebuh Raya Pantai Timur Kedua ini bertindih dengan Jalan Persekutuan Karak -Gua Musang. Laluan ini menghubungkan negeri Perak(Simpang Pulai), Pahang(Lojing), Kelantan(Felda Chiku) dan Terengganu (Kuala Telemung).
Artikel kali ini akan memberi penerangan jelas berkenaan jalan tersebut. Mana tau jika anda ingin pulang ke kampung berhari raya pada tahun ini dan bercadang menggunakan lalaun tersebut bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Di sini kami sertakan beberapa maklumat yang berguna buat pembaca.
1. Laluan ini terbahagi kepada 2 seksyen utama iaitu Jalan Persekutuan 185 yang bermula dari pekan Simpang Pulai di Perak dan berakhir di bandar Gua Musang, Kelantan. Seksyen kedua bermula dari Chiku (Kelantan) dan berakhir di Kuala Telemung dikenali dengan nama Jalan Persekutuan 36
2. Laluan ini akan merentasi negeri Perak, Pahang, Kelantan dan juga Terengganu. Ia menghubungkan bandar-bandar di pedalaman seperti Cameron Highland, Gua Musang, Felda Aring, Tasik Kenyir, Sungai Tong. Pembinaan jalan ini akan memudahkan pergerakan logistik dan pembangunan kawasan luar bandar dan memudahkan perhubungan kawasan luar bandar.
3. Di negeri Perak, laluan ini bersambung dengan Jalan Persekutuan 1 yang menyambungkan Jalan Ipoh ke Tapah. Ia akan melalui Jalan Negeri 181 (sebelum ditauliahkan menjadi Jalan Persekutuan 185) dari Simpang Pulai ke Gua Musang. Jalan Persekutuan ini juga akan bersambung dengan Jalan Persekutuan 59 yang membolehkan anda ke Cameron Highland.
Dari Gua Musang, Jalan Persekutuan 185 ini akan bertindih dengan Jalan Persekutuan 8 (Kuala Lumpur – Kota Bharu). Seterusnya anda akan melalui jalan menuju ke ke Tasik Kenyir akan melalui Jalan Felda Aring (Route 1744) dan banyak kerosakan jalan berlaku di Jalan Felda Aring Ini. Dari Felda Aring, laluan ini akan membawa anda tembus ke Jalan Persekutuan 36 dan berakhir di Sungai Tong di daerah Setiu Terengganu. Dari sini laluan akan bersambung dengan Jalan Persekutuan 3 (Kota Bharu-Kuala Terengganu). Dari sini anda mempunyai pilihan untuk ke Kuala Terengganu ataupun ke Kota Bharu.
4. Jarak dari pekan Simpang Pulai ke bandar Kuala Terengganu ialah 358km dan memakan masa kira-kira 5 jam 27 minit jika dipandu mengikut halaju yang ditetapkan. Namun jika anda memilih untuk melalui Jalan Grik – Jeli, jarak pemanduan akan bertambah menjadi 460km dan masa yang diambil sekitar 7 jam 20 min. Penjimatan masa dan jarak perjalanan menjadikan jalan ini sebagai alternatif yang sangat baik sewaktu musim perayaan.
4. Kos pembinaan jalan ini menelan belanja sekitar RM1.6 billion dan dibahagikan kepada 10 pakej pembangunan. Fasa pertama pembangunan bermula pada tahun 2001 dan keseluruhan pakej pembangunan siap pada tahun 2010.
5. Jarak pembinaan jalan ini adalah sepanjang kira-kira 313km tidak termasuk 41km jalan sedia ada yang melalui Jalan Persekutuan 8. Secara keseluruhan jalan ini merupakan jalan 2 lorong dengan lebar 3.5 meter dan juga bahu jalan dengan lebar 2.5 meter. Untuk sesetengah laluan mendaki, lorong memotong tambahan akan turut disediakan.
Dari segi spesifikasi Jabatan Kerja Raya, spesifikasi jalan ini berada dalam kategori R3. Standard R3 menerangkan bahawa kelajuan (Flat, Rolling, Mountainous) ialah 70km/h, 60km/h dan 50km/h. Namun bagi sesetengah kawasan, JKR membina jalan ini berdasarkan spesifikasi R5 yang membolehkan halaju dinaikkan kepada 90km/h.
6. Jalan ini juga memiliki jambatan kedua tertinggi di Malaysia iaitu Lojing Viaduct. Sebelum ini ia merupakan jambatan tertinggi di Malaysia sebelum gelaran tersebut dirampas oleh Rawang Bypass. Jambatan ini menghubungkan Pos Selim dengan Blue Valley. Jika anda melalui jalan ini pada waktu siang, bolehla anda mengambil gambar sebelum jambatan ini. Tapi penulis ingin menasihatkan agar gambar tersebut tidak di muat naik ke laman sosial, nanti ramai yang akan menanda gamnbar tersebut dengan bulatan.
7. Terdapat sebuah terowong semi yang dibina berhampiran sempadan negeri Perak dan Pahang yang bertujuan mencegah laluan ini daripada tersekat sekiranya berlaku kejadian tanah runtuh. Rekaan terowong ini menyerupai rekaan terowong semi yang dibina di Lebuh Raya Timur Barat (Grik-Jeli).
8. Di antara pekan Simpang Pulai ke bandar Kuala Terengganu terdapat beberapa stesen minyak yang boleh digunakan untuk mengisi bahan api secukupnya. Terdapat stesen Petronas pada permulaan jalan, stesen BHPetrol berhampiran simpang ke Cameron Highland, dan stesen petrol Shell dan Caltex di bandar Gua Musang. Tiada stesen petrol yang beroperasi di antara simpang Jalan Felda Aring ke simpang Sungai Tong. Jadi pemandu boleh mengisi petrol secukupnya di bandar Gua Musang.
7. Terdapat beberapa kawasan Rehat & Rawat yang membolehkan pemandu berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan seperti di bandar Gua Musang dan Kawasan R&R di Jalan Persekutuan 8 yang menyediakan surau, tandas dan juga stesen minyak. Terdapat satu lagi kawasan rehat yang terletak berhampiran Jeti Pengkalan Gawi yang hanya menyediakan tandas dan juga tempat makan.
Jika anda ingin makan dengan selesa, anda boleh menjamu selera di bandar Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan.
8. Sekiranya anda tidak tergesa gesa menuju ke destinasi, anda boleh singgah sebentar ke Cameron Highland untuk minum di ladang teh dan juga membeli beberapa paket buah strawberi.
9. Keadaan jalan yang paling mencabar sebenarnya adalah ketika memandu di Jalan Aring yang menghubungkan Jalan Persekutuan 8 dengan Jalan Persekutuan 36 ( Gua Musang – Tasik Kenyir) dimana jalan yang dilalui amat sempit walaupun mempunyai 2 lorong. Kehadiran lori yang mengangkut buah sawit dan juga lori trelar yang besar bukan sahaja menyebabkan jalan menjadi rosak dan berlubang, malah amat berbahaya jika anda berselisih dengan lori tersebut ketika melalui kawasan berbukit dan berselekoh
Jika perlu, hentikan seketika kenderaan anda dan bagi laluan pada kenderaan berat untuk meneruskan perjalanan dulu.
10. Sekiranya anda memandu kenderaan yang mempunyai jarak kelegaan rendah, maka jalan ini tidak sesuai untuk anda terutama ketika melalui Jalan Felda Aring. Lubang besar, kadangkala jalan berbatu yang rosak tidak diturap semula dan juga beralun amat tidak sesuai jika anda mengenakan spring “lowered” ataupun memasang skirt pada bahagian bampar depan, belakang, dan tepi kereta. Jika anda memandu SUV ataupun MPV yang mempunyai jarak kelegaan yang tinggi seperti Innova, maka ia bukan satu masalah besar.
11. Tiada perkhidmatan bengkel yang ada diantara Felda Aring ke Simpang Sungai Tong. Jadi pastikan kereta anda sudah diservis dan berada dalam keadaan terbaik kerana perkara terakhir yang anda inginkan ialah tersadai di tengah hutan belantara sambil menunggu bantuan yang mungkin mengambil masa berjam-jam untuk sampai. Silap haribulan, cik gajah pun datang melawat.
12. Elakkan dari menggunakan jalan ini terutama Jalan Persekutuan 36 (Gua Musang – Kuala Telemung) pada waktu malam kerana infrastruktur seperti lampu jalan sangat terhad dan pada waktu malam sangat gelap. Nasihat yang sama akan diberikan jika anda ingin menggunakan Jalan Persekutuan 185 dari Simpang Pulai ke Lojing dan juga sebaliknya. Adalah lebih baik menggunakan jalan ini pada waktu siang secara berkonvoi
13. Terdapat beberapa cerita yang kurang sedap yang diceritakan di media sosial seperti Facebook berkenaan pengalaman memandu di jalan ini secara solo. Gangguan mistik, cerita usik mengusik dan pelbagai cerita yang menyebabkan bulu roma menjadi tegak telah diceritakan apabila melalui jalan ini pada waktu malam. Suka penulis mengingatkan pembaca bahawa kebanyakan kawasan yang dilalui oleh jalan ini sebenarnya kawasan hutan yang baru dibuka.
14. Untuk memudahkan pemanduan, anda boleh menggunakan aplikasi Google Map sebaik sahaja memulakan perjalanan dari mana-mana arah. Walaupun di antara Tasik Kenyir ke Gua Musang talian dan jaringan internet adalah lemah, namun aplikasi Google Map masih beroperasi seperti biasa memudahkan anda membuat anggaran jarak perjalanan dan juga membaca selekoh-selekoh tajam yang sukar diduga.
15. Antara masalah terbesar apabila melalui Jalan Gua Musang – Tasik Kenyir ialah keadaan jalan yang rosak dan juga berlubang – lubang. Memandangkan kawasan ini berada jauh dan terpencil, faktor logistik akan menyebabkan urusan pembaikan menjadi sukar. Untuk mengelakkan anda melanggar jalan berlubang sehingga boleh menyebabkan tayar pancit, adalah lebih baik memandu pada waktu siang dan mematuhi halaju yang ditetapkan.
2 bulan lepas terdapat satu kemalangan yang terjadi melibatkan konvoi kereta Porsche di laluan ini. Untuk pembaca yang pertama kali melalui jalan ini, jangan buat berlagak seperti anda anak didik Peter Solberg.
16. Terdapat satu kawasan tanah runtuh berhampiran dengan Tasik Kenyir di laluan memtong 3 lorong, berselekoh dan menuruni cerun. Jadi tumpukan perhatian sekiranya anda terlihat papan amaran tanah runtuh atau kawasan pembaikan jalan walaupun jalan yang dilalui ialah lorong memotong 3 lorong
17. Sekali lagi penulis mengingatkan bahawa jalan Gua Musang – Tasik Kenyir adalah kawasan hutan simpan. Laluan ini termasuk dalam habitat binatang liar seperti gajah. Gajah memiliki tabiat untuk keluar dari hutan dan melepak di atas jalan jika anda melalui kawasan ini pada waktu malam dan hujan baru sahaja reda. Gajah juga gemar untuk keluar meronda jika bulan mengambang penuh pada malam tersebut.
18. Kawasan ini sebenarnya kaya dengan landskap semula jadi yang amat cantik. Anda boleh bergambar di sekitar Tasik Kenyir, berhampiran Kafe Banjaran iaitu tidak jauh dengan kawasan Terowong dan kawasan sebelum ke Lojing. Namun jika anda ingin bergambar sekitar Tasik Kenyir sila ambil langkah berjaga-jaga kerana kawasan tersebut berada dalam habitat gajah liar.
19. Jika anda berpendapat memandu pada waktu siang adalah selamat, maka anda tersilap kerana pada waktu siang jalan ini terutama menuju ke Cameron Highland agak sibuk dengan motosikal kapcai. Mungkin niat asal mereka hanya mahu mengasah lutut yang tumpul ketika mengambil selekoh menyebabkan mereka akan sedikit terbabas ke laluan anda. Jika anda menghampiri Tasik Kenyir pula, terdapat beberapa anak muda yang mengasah bakat untuk menggantikan Valentino Rossi.
Artikel asal oleh: Farhan Alias
0 comments:
Catat Ulasan