"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Kenyataan Media. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kenyataan Media. Papar semua catatan

Rabu, 26 Februari 2025

MENYALAHI DISIPLIN TAFSIR AL-QURAN : JAKIM DIMINTA TEGUR PMX

 Kenyataan Media

MENYALAHI DISIPLIN TAFSIR AL-QURAN : JAKIM DIMINTA TEGUR PMX

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa pihak autoriti agama supaya mengambil langkah menegur Perdana Menteri yang menyandarkan pandangannya kepada dalil Al-Quran secara tidak tepat dan menyalahi disiplin tafsir Al-Quran.

Ayat berpuasa "sepertimana umat terdahulu" tidak harus menjadi sandaran hujah bahawa orang bukan Islam juga berpuasa sepertimana umat Islam berpuasa. Kenyataan PMX jelas terdapat kekeliruan yang nyata.

Maksud "umat yang terdahulu berpuasa" dalam ayat Al-Quran tersebut adalah atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam. Umat Nabi Nuh AS juga disyariatkan berpuasa, begitu juga jalur kenabian daripada Nabi Ibrahim AS dan umat-umat yang lahir selepasnya.

Ayat ini memberikan gambaran bahawa perintah berpuasa ini sudah ada sebelum disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Ia tidak boleh ditafsirkan bahawa golongan bukan Islam juga berpuasa dengan disandarkan kepada ayat "umat terdahulu juga berpuasa".

Puasa yang diamalkan oleh golongan bukan Islam sepertimana puasa 40 hari sebelum Hari Easter dalam ajaran Kristian, puasa orang Yahudi mahupun dalam agama Hindu tidak sama dengan ajaran tauhid yang terdapat dalam agama Islam. Malah, dalam konteks perubatan juga ada istilah berpuasa.

Namun, persamaan ini hanya dari sudut literal, bukan dari sudut istilah pensyariatan. Justeru, menyandarkan maksud puasa tersebut dalam satu bakul semua agama berpuasa apatah lagi menggunakan ayat Al-Quran sebagai hujah adalah perbuatan yang tidak beradab.

DUPP ingin menyatakan teguran kepada PMX di atas kehilafan beliau yang menafsirkan ayat tersebut dan meletakkannya dalam konteks yang salah. Malah, sewajarnya pihak autoriti agama yang menasihati PMX sendiri seharusnya menangani salah faham ini sebelum ia terus merebak dan merosakkan pandang sisi masyarakat terhadap pensyariatan berpuasa. 

Sekian.

YB USTAZ DATO' HJ AHMAD BIN YAHAYA

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena.

26 Februari 2025 Hijri bersamaan 27 Sya'ban 1446 Hijri

Source 

Rabu, 18 September 2024

TUDUHAN MELULU TERHADAP PRESIDEN PAS : TAHAP KELAYAKAN MENTERI KDN DIRAGUI

 Kenyataan Media

TUDUHAN MELULU TERHADAP PRESIDEN PAS : TAHAP KELAYAKAN MENTERI KDN DIRAGUI

PAS mendapati kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bertajuk "POLITIK KEBENCIAN PAS, FITNAH DAN MENGELIRUKAN ANTARA FAKTA DAN RETORIK MENYIMPANG BERLANDASKAN AGAMA ISLAM TERUS MENIPISKAN KREDIBILITI MEREKA UNTUK MEMIMPIN NEGARA MALAYSIA" berbunyi sangat sumbang dan mengandungi banyak kecacatan sehingga menimbulkan tanda tanya berhubung tahap kestabilan emosi beliau, sekali gus kelayakannya untuk kekal sebagai seorang menteri Kabinet.

Pertama, pengguna-pengguna Bahasa Kebangsaan akan berdepan kesukaran untuk memahami tajuk kenyataan tersebut kerana kelemahan penguasaan bahasa, selain menggambarkan kecelaruan fikiran penulisnya.

Sebagai seorang menteri yang dibantu oleh begitu ramai pegawai, tentulah rakyat boleh mengharapkan standard yang lebih tinggi berhubung perkara ini, baik dari sudut penguasaan bahasanya, lebih-lebih lagi dari segi kejelasan maksud yang hendak disampaikan.

Dalam konteks ini, PAS berharap menteri terbabit tidak akan menyalahkan orang lain atau apa-apa aplikasi bahasa dan penulisan atas kelemahan yang menjolok mata itu.

Kedua, jika diperhatikan kenyataan ini ditandatangani oleh menteri itu atas kapasiti rasmi beliau sebagai Menteri Dalam Negeri serta kedudukannya sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan.

Persoalannya, sejak bilakah dua kedudukan ini boleh digandingkan dalam kenyataan rasmi kerajaan dengan menggunakan kepala surat rasmi kementerian pula?

Apakah di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini, garis pemisah antara tugas-tugas rasmi kerajaan dengan peranan politik seseorang sudah diketepikan dan tidak dihormati lagi?

Apakah ini juga memberi gambaran bahawa campur aduk antara fungsi kerajaan dengan fungsi politik yang jelas merupakan suatu bentuk salah guna kuasa akan berterusan dan menjadi wajah kekal kerajaan?

Ketiga, menteri terbabit nampaknya secara konsisten mengetepikan protokol, etika dan adab yang merupakan ciri penting bukan sahaja budaya Malaysia, tetapi juga kelaziman dalam pentadbiran kerajaan, terutama sekali dalam acara, ucapan atau kenyataan-kenyataan rasmi sebagai lambang peribadi unggul dan berbudaya masyarakat.

Menyebut nama Presiden PAS, Tan Sri Dato’Seri Haji Abdul Hadi Awang hanya sebagai Hadi Awang atau Abdul Hadi Awang pada sebutan pertama merupakan pelanggaran protokol dan adab yang tidak boleh diterima sekali.

Ia adalah perbuatan biadab dan tidak hormat bukan sahaja terhadap individu terbabit, tetapi juga kepada penganugerah gelaran-gelaran itu sendiri. Hakikat bahawa ia dilakukan dalam komunikasi rasmi seorang menteri Kabinet sebuah kerajaan yang kerap bercakap tentang budaya serta akhlak murni dan budaya unggul lebih memalukan lagi.

Persoalan penting dalam hal ini ialah sama ada sikap biadab dan memalukan ini akan menjadi ciri kekal pemimpin-pemimpin kerajaan kini. Tanpa tindakan tegas terhadap menteri terbabit, PAS percaya keterlanjuran jelek seperti ini akan menjadi kelaziman yang dibiasakan oleh kerajaan hari ini.

Dalam pada itu, secara keseluruhan kenyataan ini merupakan tuduhan-tuduhan keras terhadap PAS dan secara khusus terhadap Presiden PAS, namun tanpa pembuktian yang sah, ia kekal sebagai tuduhan dan dakwaan semata-mata.

Malangnya tuduhan dan dakwaan itu dibuat oleh seorang menteri dalam kenyataan rasmi kementerian yang diketuainya. Rakyat tentulah akan bertanya, dengan kedudukan sebagai Menteri Dalam Negeri, bukankah menjadi tanggungjawab beliau untuk membawa pendakwaan terhadap PAS dan Presidennya di mahkamah sekiranya dakwaan itu benar dan kerajaan mempunyai bukti berkaitnya.

Ini menjadi lebih penting apabila isu-isu yang dibangkitkan beliau seperti PAS menyeleweng daripada ajaran Islam, melaga-lagakan antara rakyat berbagai kaum dan agama atau menyerupai golongan Khawarij adalah berat dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana kesan buruknya kepada masyarakat dan negara.

Membuat tuduhan tanpa diikuti oleh siasatan dan pendakwaan bukanlah tindakan yang diharapkan daripada seorang menteri, terutama sekali Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab secara langsung ke atas keselamatan dan ketenteraman negara.

Sebaliknya ia merupakan pengabaian tugas dan tanggungjawab yang jelas, sementara tuduhan tanpa bukti yang dibuat oleh menteri berkenaan boleh dianggap sebagai fitnah yang mendedahkan kementerian kepada tindakan guaman oleh pihak-pihak yang terkesan dengannya.

Berdasarkan perkara-perkara di atas, PAS percaya Menteri Dalam Negeri telah tidak menunjukkan kelayakan yang memadai untuk terus kekal dalam pentadbiran kerajaan.

Perkembangan yang berlaku dalam parti yang diwakilinya, terutama kedudukan sebagai Setiausaha Agung yang pernah disandangnya sebelum ini mengesahkan kesangsian berkenaan kelayakan beliau.

Justeru adalah munasabah dan bertanggungjawab sekiranya Perdana Menteri turut mengambil tindakan yang serupa dengan menggantikan beliau dengan pemimpin yang lebih berkelayakan sebagai menteri sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan tidak dapat dikawal lagi.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung PAS

Bertarikh: 18 September 2024

Sumber 

Rabu, 7 Disember 2022

KENYATAAN MEDIA: JAWAB TUDUHAN PENERIMAAN DANA ASING OLEH PH,USAH PERJUDIKAN KEDAULATAN NEGARA

 KENYATAAN MEDIA

DEWAN ULAMAK PAS PUSAT .

JAWAB TUDUHAN PENERIMAAN DANA ASING OLEH PH,USAH PERJUDIKAN KEDAULATAN NEGARA


.

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa Perikatan Nasional (PN) mendapat dana pilihan raya daripada syarikat perjudian sememangnya sangat dangkal dan jauh meleset. 


2. Bagaimana seorang Perdana Menteri menjustifikasikan dakwaan beliau sebagai sekadar "membayangkan" wujudnya penerimaan dana tersebut, bukan sebaliknya daripada bukti yang jelas dan nyata. Usah jadikan Kerajaan tempang yang dibentuk pasca PRU ke-15 sebagai Kerajaan Pak Pandir.


3. Komitmen Kerajaan PN sangat jelas dalam isu perjudian. Kerajaan Negeri Kedah pimpinan PN tegas dengan komitmen menutup premis perjudian di seluruh negeri ini bermula tahun 2023. Ia menuruti langkah yang diambil Kelantan dan Terengganu. 


Sejak bila syarikat perjudian sangat mesra dengan PN sehingga sanggup mendanai perjalanan pilihan rayanya?


4. Malah, kutipan cukai sektor perjudian semasa era pemerintahan singkat PH mencecah RM3.43 bilion (2019), tertinggi sejak tahun 2010. Apakah Anwar mempunyai tekad politik untuk menutup terus premis perjudian sebagaimana langkah yang diambil Kerajaan PN ini? 


5. Persoalan paling mustahak di sini adalah penerimaan dana asing oleh PH yang telah mencetuskan kebimbangan ramai sebelum daripada ini. Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining pasca PRU ke-14 yang lalu.


6. Dakwaan ini lebih berbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing. Ironinya masih tiada siasatan mahupun jawapan yang tuntas terhadapnya. 


7. DUPP turut menyokong langkah yang diambil oleh PN/PAS untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan yang sangat tidak bertanggungjawab itu.


YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAHYA

KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT


12 Jamadilawwal 1444 Hijri | 7 Disember 2022 Miladi




Khamis, 29 Julai 2021

Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri berkaitan kenyataan dari istana negara

 

MERUJUK kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini, Kerajaan ingin menjunjung kasih di atas titah penghargaan yang dizahirkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Kerajaan kerana telah melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen yang bermula pada 26 Julai 2021.

Kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang dizahirkan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 yang antara lain menekankan bahawa darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin.

Berdasarkan titah pandangan ini, Kerajaan telah memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021. Sebagai persediaan Mesyuarat Khas Parlimen ini, Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021 telah mengadakan perbincangan yang teliti dan mengambil ketetapan-ketetapan seperti berikut:

Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong;

Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021; dan

Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Susulan ketetapan-ketetapan ini, Pejabat Perdana Menteri pada 22 Julai 2021 telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara. Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.

Pada 23 Julai 2021, Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya.

Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 40 (1) memperuntukkan:
Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan:
Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Susulan itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 2021, telah menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.

Pemakluman oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021. Oleh itu, Perdana Menteri dan Peguam Negara telah memohon menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai 2021 pukul 12.00 tengahari untuk menjelaskan kedudukannya.

Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.
Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.

Di samping itu, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.
Oleh sebab itu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan. Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan insyaAllah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
29 JULAI 2021 – HARAKAHDAILY 29/7/2021