Selasa, 24 Ogos 2021

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

 


Awal-awal pagi Hajah Ramlah sudah berada di dapur menyiapkan sarapan untuk anak-anaknya. Kebiasaannya Nasi Goreng, Mi Goreng atau adakalanya Nasi Keboli dan Nasi Minyak. 
“Mi, Fauziah, Zul, Ayub, Yah, Azhar, Akim, Alang, Mubin, dah siap. Maghi makan panah-panah ning…”, panggil Hajah Ramlah dengan lembut. Wallie yang masih bertatih, mencapai kepok di dalam pinggan. Ustaz Mad yang bekerja sebagai Guru Pelawat Agama awal-awal pagi sudah ke pejabat menaiki motosikal.

Zul pula seperti kelazimannya setiap pagi, sudah bangun lengkap berpakaian sukan. Sekolahnya bermula pada sebelah petang. Jadi, selepas sarapan beliau suka berjoging. Adakalanya ditemani adiknya, Khairul atau kawan-kawan sekampungnya seperti Mazlan, Dillah, Fatah, dan Wan Omar.

Berbaju biru di sebelah kanan saya, Marzuki. Kini jutawan. Arif Sulong di sebelah kiri saya.

“Doh bakpe mung aku tengok hari-hari tubik[1] jogging pah[2] kappung seberang, lalu atah retok[3] pah pusing balik. Mung dop puah sang[4] ke?”, tanya Zaidi Deraman, ketua kelas yang juga digelar “budok bijop” dek seringkali mendapat tempat pertama dalam ujian. Zul yang ketika itu sedang leka membuat latihan yang diberikan Cikgu Aziz, meletakkan penselnya dan memandang Zaidi.

“Aku minat sukan. Aku target nok jadi johan merentas dese taun depang. Kene la training dari sekarang. Bukan macam mung. Pah ceroh dengan buku…hahaha.”, usik Zul. Zaidi mencebik mukanya. “Huh. Sedak mung nyenyeh[5] aku.”, kata Zaidi lalu kembali membuka bukunya.

Dillah (Abdillah) dan keluarga.

Bakat Zul dalam sukan merentas desa, badminton dan takraw mula berkembang sejak sekolah rendah. Cuma berbeza dengan sikapnya yang kabat ngate ghawe[6] semasa kecil, ia beransur-ansur hilang sehinggalah Darjah 6. Arif Sulong, Fauzi Yusoh dan beberapa rakan sesekolah lain perasan akan perubahan sahabat mereka ini.

Pernah sekali Fauzi bertanya kepada Zul, “Zul. Mung ade masaloh ke? Dulu aku tengok mung lain. Lening lain. Satu bende tok beruboh, mung ni pendiam dari dulu. Kalu ade masaloh, kkabor ah. Sep kite ade. Memang geng lain kkapung, tapi kite sekelah.”

“Ataupung mung jeles dengan Chopper aku? Hahaha. Aku tengok mung sokmo peghati Chopper aku atah bowoh.”, Arif tiba-tiba menyampuk. Arif memang sohor dalam kalangan murid SK Rengas Bekah kerana beliaulah satu-satunya murid yang ada basikal Chopper model Raleigh Tomahawk MK1; basikal yang terkenal sekitar 70-an dan dipanggil juga “basikal unta”. Kalau boleh gohek[7] Chopper ke sekolah, itu sudah satu kebanggaan besar kanak-kanak seusia mereka pada ketika itu.

Dr. Fauzi Yusoh, berbaju coklat muda. Kini Pensyarah UniSZA

Zul menarik nafas panjang dan cuba mengubah topik perbualan. “Mung wase kite besor nanti jadi ape?”. Beliau merenung Fauzi dan Arif dengan renungan yang dalam. Soalan dan reaksi yang berbeza daripada kebiasaannya. Seakan lebih matang. Lebih matang daripada umurnya yang baru mencecah 12 tahun.

Suasana sunyi. Cuma bunyi jam dinding kelas mereka yang berdetik. “Zi? Mung nak jadi ape? Pensyarah KUSZA ke? Aku tengok mung panda gok”, Zul mula bertanya. Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) baru ditubuhkan beberapa tahun dan beroperasi di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) yang terletak di Batu Burok, Kuala Terengganu.

“Aku dop aa’uu ah nok jadi ape. Tapi aku peghati mung ning Zul, bulih jadi Menteghi. Bojeng semak paka Tanco, mminyok sokmo. Hari-hari paka perfume wangi mekok[8]. Pendek kate, semak jettak.”, Fauzi memberi pandangan dan disambut hilai tawa Arif.

Disapa Cikgu Wan Abdul Aziz (Cikgu Aziz) selepas kuliah Subuh pada 2019

“Doh guaner mung ning? Aku tanye molek-molek. Nyekik[9] aku. Bukang ape…Kadang-kadang aku mmikir jugok. Hidup kite ning, dop bulih selese ngat. Kene ade cabarang. Baru ade kemajuang dalam hidup. Aku wase nok belajor ssungguh ah pahni. Paling kurang, bangge jugop cikgu-cikgu kite tu. Cikgu Hasnah, Cikgu Mang, Cikgu Loh, Cikgu Yamin, Cikgu Yusof, Ustak Talib, Ustak Umar. Ha, Cikgu Goh, sorang lagi. Tak sie-sie cikgu kite bleber[10] hari-hari kalu die tau jjujuk anok murid die berjaye.” Zul tersenyum melihat kawan-kawannya yang berkerut kening, cuba menghadam setiap patah perkataannya.

Arif menyambut, “Itulah Zi. Aku pung wase Zul lening memang lain, ekpung. Aku tau mung jenih target tinggi-tinggi, Zul. Mung usehe sapa bulih, dop kire lah jadi ndape pung. Tapi kali ning aku wase macam dengor ustak ceramoh pulok. Hahaha…”, sempat lagi Arif bergurau.

“Haha…Berat mung ni. Mung jangang nok gura bewok[11] dengang aku.”, Zul tertawa dengan keletah Arif yang tak habis-habis mengusiknya.

**********

“Ayoh, ayoh nok ajok Zul gi mane?”. Zul menarik-narik baju Ustaz Mad penuh keterujaan apabila dikhabarkan Ustaz Mad akan membawanya bersama ke satu tempat. Begitulah anak kecil. Boleh derak naik motosikal walaupun pusing kampung, sudah cukup menggembirakan. Kadang-kadang Zul terlena di belakang ayahnya. Ngatuk mate[12]Angin menderu memukul-mukul muka. Memang terbuai-buai rasanya.

“Zul ikut je ayoh. Kite nok gi dengar ceramoh.”, jawab Ustaz Mad sambil menyarungkan Baju Melayu putih, seluar hitam dan songkok yang agak lusuh kepada anaknya. Ustaz Mad segak berbaju kemeja, berkain pelikat dengan lebai putih sebagaimana lazimnya. Selepas solat Maghrib berjemaah, mereka bertolak. Honda Cub C70 dengan nombor plat TA6139 memecut laju meninggalkan Kampung Kubang Kekura.


Sekitar 15 minit perjalanan, mereka sampai ke tapak ceramah. Nampaknya ramai yang hadir ke Balai Raya Kampung Paya Bunga, Kuala Terengganu. Semacam ada pasar malam ketika itu. Ada yang menjual makanan dan minuman, ada yang menjual pakaian, ada juga yang menjual kaset-kaset ceramah. Di hujung sana ada gerai buah. Ada woh ketela[13], woh seto[14], woh lasat[15]Anak-anak kecil saling brambak[16]seronok bermain. Kelihatannya ceramah yang bertempat di Balai Raya Kampung Paya Bunga baru bermula.

“Ayoh, ayoh. Sape hok ceramoh tu? Zul dop napok.” katanya selepas cuba melompat-lompat untuk melihat siapakah gerangan penceramah pada malam itu. Zul cuma berumur 6 tahun. Rendah jika hendak dibandingkan dengan majoriti orang dewasa yang jauh lebih tinggi. Ustaz Mad bingkas mengangkat dan mendudukkan Zul di bahunya.

“Hah, Zul napok dok sape hok ceramoh tu? Kenal ork?” uji Ustaz Mad sambil tersengih.

Zul mengerutkan dahi. Mata bundarnya itu dibuka seluas-luasnya kemudian dikecil-kecilkan. Beliau menggeleng.

“Dop kenal. Zul dop rajin juppe lagi di balasoh[17], keda kopi. Sape pokcik hok duk ccacang[18] tu? Paka spek, sokok hitang, janggut sejeput putih, kot warne hija, pegang tokat…” Zul memerikan penceramah yang sedang dilihatnya. Beliau seakan cuba untuk mengingat-ingat wajah ini namun tidak berjaya.

“Itula Buya HAMKA. Ulamok dari Indonesia. Die singgoh Paye Bunge ning. Ayoh suke die ning. Die baru dapat anugeroh doktor kehormat UKM. Dalang spuloh taung dulu, die dapat anugeroh jugok dari Universiti al-Azhar, Mesir. Zul ingat dop kitab hok jjujuk[19] di rumoh kite tu? Tu tafsir hok Buya HAMKA tulis la.”, Ustaz Mad bersemangat bercerita kepada anaknya tentang sosok penceramah di hadapan mereka itu.

Zulkifli mula memasang telinga.

“Saudara, saudara pendengar yang terhormat,

Kita sudah mati dikandung tapi tapi masih hidup. Ada orang berumur sampai seratus tahun misalnya. Lebih sedikit tidak pula banyaknya lebih itu. Belum saya dengar berita di dunia ada orang yang berumur sampai dua ratus tahun. Tidak. Paling banyak ya, seratus dua puluh, seratus tiga puluh tahun. Itu pun sudah lemah. Dalam umur yang sekian pendeknya kita lalui di dunia, misalnya tujuh puluh tahun, dia bisa kita panjangkan.

Dengan apa! Dengan sebutan, dengan bekas tangan, dengan iman dan amal soleh. Sesuai dengan apa yang disebut dalam pantun Melayu:

Pulan pandan jauh ditengah,

Dibalik pulau angsa dua,

Hancur badan dikandung tanah,

Budi yang baik terkenang jua.

Ada juga satu syair dari Syauqi seorang penyair Arab Mesir yang terkenal mengatakan:

فارفع لنفسك بعد موتك ذكرها

فالذكر للإنسان عمر ثاني

 “Sebelum engkau mati, peliharalah sebutan dirimu yang akan dikenang orang daripada dirimu, karena kenangan atas ketika hidup yang dulu itu adalah umur yang kedua kali bagi manusia”.

Banyak orang yang setelah dimasukan ke dalam kubur, masuk sudah ditimbun kubur tadi, orang pun pulang ke rumah, sebutan orang tadi keluar dari kuburnya tiap hari dia keluar, setahun, dua tahun, sepuluh tahun, seratus tahun, malah ada yang beribu tahun. Nabi kita Muhammad SAW umurnya cuma enam puluh empat tahun. Tapi beliau sampai sekarang sudah seribu empat ratus tahun. Masih seperti kelmarin saja hidup beliau, menjadi sebutan orang siang dan malam. Inilah maksud yang dikatakan orang, ‘Sesudah mati dia hidup kembali’. Lebih panjang umurnya enam puluh empat tahun dibandingkan dengan seribu empat ratus tahun. Dan selama azan masih kedengaran di puncak menara, entah ratusan ribuan lagi, itu nama akan tetap hidup. Nah! Ini yang kita syukuri kepada Tuhan. Hidup ini hanya sekali, justeru biarlah bererti…”

Zul tersentak dari lamunan bila Zaidi mencuitnya. “Zul! Jauh mung menung. Pinjang due amah. Nok beli buku. Skeleng aku dop cukup”, kata Zaidi dengan tangan kanannya siap dihulurkan. Itulah Zaidi si budok bijop. Murid harapan Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah. Ke sana-sini dengan buku.

Zul meraba-rapa poket kecilnya, mengeluarkan dua keping 50 sen dan meletakkan di tapak tangan Zaidi. Tanpa menghiraukan Zaidi, Zul kembali melayan lamunannya tadi. Mengimbau pengalamannya pergi bersama-sama ayahnya ke ceramah Buya HAMKA di Kampung Paya Bunga sekitar lima tahun lalu. Kata-kata HAMKA itu amat menusuk jauh ke dalam sanubarinya.

“Hidup ini hanya sekali, justeru biarlah bererti…”

**********

“Lepas tu, ape yang jadi kat Zul, Tok Aki?”, tanya Sarah seakan tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya.

“Cokko![20] Dop rok atuk nok cite non-stop ning.” Kata Tok Aki menghela sedikit nafas sebelum menyambung. “Lepah tu takdop ndape pung jadi ke Zul. Cume lepah Penilaiang Darjoh Lime, die antare hok buleh keputusang molek. Alhamdulillah, dapat masuk Skoloh SMASZA Ladang.”

____________________

[1] Keluar

[2] Sehingga

[3] Atas titi

[4] Bosan

[5] Mengejek

[6] Hiperaktif, tidak duduk diam

[7] Kayu basikal

[8] Semerbak

[9] Menyampah

[10] Membebel

[11] Bergurau dengan kasar

[12] Mengantuk

[13] Buah betik

[14] Buah manggis

[15] Buah langsat

[16] Berkejar-kejaran

[17] surau

[18] Berdiri terpacak

[19] Bersusun

[20] Berhenti sekejap

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

Artikel Berkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

0 comments:

Catat Ulasan