PETALING JAYA – Baru menyuarakan hasrat melengkapkan empat isteri untuk suami tercinta, penyanyi Ezlynn teruja dalam masa terkejut apabila niat baiknya meraih maklum balas positif daripada ramai wanita lain yang sudi berkongsi kasihnya.
Katanya, hasrat berpoligami yang sudah tersemat sebelum bertemu jodoh dengan teman hidupnya kini, Wan Hafizam itu sudah disuarakan selepas beberapa hari mereka mendirikan rumah tangga.
“Sebenarnya suami terkejut ketika saya luahkan hajat meminta dia melengkapkan poligami kepada empat isteri yang dibolehkan dalam Islam kerana saya yakin dia mampu menggalas tanggungjawab tersebut pada masa akan datang.
“Kemudian saya kongsikan pencarian misi empat madu itu di dalam laman sosial namun dengan persetujuannya dulu memandangkan perkara sebegini tetap bergantung kepada keputusannya.
“Bagi saya, suami adalah milik Allah dan kebahagiaan suami penting adalah segala-galanya selain saya hanya mahu mencari saham akhirat dengan reda serta syafaat Rasulullah.
“Selain berjumpa sendiri beberapa calon, menerusi hebahan di laman sosial saya terkejut apabila ada ramai lagi wanita yang sedia hidup bermadu,” katanya yang kini bergelar isteri kedua.
Menurut Ezlynn, setakat ini sekitar lima orang wanita ada menghubungi dan menyatakan kesediaan untuk hidup bermadu dengannya.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Ezlynn Ariffin, 39, itu mengumumkan bertemu jodoh dengan penderma hati pertama negara, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, pada awal September. Majlis pernikahan mereka bagaimanapun hanya dihadiri keluarga terdekat.
Ezlynn memaklumkan detik perkenalan mereka bermula apabila sama-sama terbabit dalam aktiviti amal dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tahun lalu.
Sebelum ini penyanyi Hi Hi Bye Bye itu pernah berkahwin tetapi ikatan mereka terputus tanpa dikurniakan cahaya mata manakala Wan Hafizam pula mempunyai tiga anak menerusi perkahwinan pertamanya.
Sementara itu, Ezlynn yang menegaskan tidak pernah merahsiakan statusnya hidup bermadu mengakui kehidupan bersama suami tercinta terus disulami bahagia.
Lebih selesa tidak menyentuh pihak lain, katanya pada tahap dia hanya mencari reda Allah selain mendapat restu suami untuk melayari kehidupan dan kerjaya seni dengan lebih berkat. – K! ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan