PETALING JAYA: Apabila Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook mengumumkan rancangan untuk menderma kepada mangsa banjir, kenyataan beliau di media sosial itu dibanjiri rayuan warganet agar tidak menyalurkan wang melalui kerajaan Malaysia.
Pemerhati berkata, reaksi sebegitu, kebanyakannya melalui media sosial, dapat dijangka kerana Putrajaya berdepan antara defisit kepercayaan paling buruk setakat ini.
Penganalisis juga turut menyeru agar markah 90% yang diberikan sendiri oleh kerajaan dalam penunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari pertamanya disemak semula.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berkata, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sudah lama terhakis dan bencana banjir baru-baru ini menampakkan kepada rakyat bagaimana badan bukan kerajaan (NGO) lebih cepat bertindak.
“Mereka rasa kerajaan tidak buat apa yang sepatutnya dilakukan. Orang ramai dibiarkan menunggu (untuk diselamatkan) di atas bumbung,” katanya kepada FMT.
“Rakyat marah. Mereka tidak mahu sumbangan dibuat kepada kerajaan kerana mereka tidak tahu ke mana ia akan disalurkan.”
Pada 21 Dis, Cook berkata di Twitter, Apple akan menyumbang kepada usaha bantuan, pemulihan dan pembinaan semula jangka panjang di Malaysia dan Filipina susulan bencana akibat Taufan Rai.
Muhammad berkata, jentera kerajaan tidak bersedia menghadapi banjir teruk itu.
Rakyat perlu bantuan segera. Segelintir mangsa tidak tahu sama ada mereka dapat bertahan.”
Tahun lepas, Transparency International melaporkan 71% rakyat Malaysia menganggap kerajaan korup.
Muhammad berkata, kerajaan harus lebih bertanggungjawab dan telus.
“Jika mereka buat kesilapan, mereka perlu mengakui dan memperbetulkan (kesilapannya).”
Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya juga berkata, penarafan 90% KPI kerajaan perlu dikaji semula kerana sesetengah kementerian jelas tidak mencapai prestasi sebegitu.
Katanya, tindak balas terhadap banjir menunjukkan kerajaan tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pengurusan bencana yang jelas.
“Ia adalah ujian bagi para menteri untuk melawat dan membantu mangsa dengan segera, tetapi ada antara mereka masih bercuti di luar negara,” katanya.
Beliau berkata, dapat difahami ramai rakyat Malaysia mahu Cook menderma kepada NGO kerana “mereka adalah pihak yang tampil membantu mangsa banjir.”
Jayum Jawan daripada Universiti Putra Malaysia menggesa kerajaan melantik satu agensi untuk menguruskan bencana.
“Mengapa terdapat begitu banyak agensi apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditubuhkan untuk mengendalikan isu keselamatan?”
“Semua orang menunggu orang lain untuk buat kerja, tetapi tiada siapa yang buat,” katanya.-FMT