Isnin, 18 Oktober 2021

Arak Timah penghinaan kepada Islam, ‘Captain Speedy’ lagi sesuai, cadang Mufti P Pinang

 

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata jenama arak menggunakan nama ‘Timah’ satu penghinaan kepada umat Islam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menjenamakan arak dengan nama “Timah” dianggap oleh umat Islam sebagai satu penghinaan yang tidak seharusnya berlaku, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau menzahirkan rasa kurang senang dan kecewa dengan iklan sejenis arak buatan tempatan diberi nama itu yang memaparkan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah.

Katanya, sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat Melayu yang mana “Timah” adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad yang amat dihormati umat Islam.

“Pengeluar wiski berkenaan perlu peka terhadap sensitiviti umat Islam berkaitan dengan isu ini.

“Lebih memburukkan keadaan apabila gambar yang dipaparkan di botol minuman tersebut seolah-olah imej seorang yang beragama dengan kopiah dan janggutnya,” katanya dalam kenyataan.

Salim berkata, bagi masyarakat Islam di negara ini yang mana di dalam Perlembagaan dinyatakan Islam sebagai agama Persekutuan, maka tidak sepatutnya Malaysia menjadi sebuah negara pengeluar wiski.

Beliau berkata, pihaknya tidak membantah arak diminum oleh orang bukan Islam, tetapi kerajaan perlu mengarahkan syarikat pengeluar minuman itu segera menukar jenamanya serta gambar pada botol supaya tidak menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Ini demi memelihara suasana harmoni dalam hubungan antara pelbagai kaum di negara ini.

“Kita juga berharap pemimpin politik tanah air terutama yang beragama Islam akan turut menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak sensitif oleh syarikat pengeluar minuman beralkohol ini,” katanya.

Dalam pada itu, Salim mencadangkan supaya arak itu ditukar nama kepada “Captain Speedy.

“Rasanya itu lebih sesuai. Dalam dunia revolusi terkini segala maklumat terlalu cepat merebak. ‘Don’t take for granted’ orang Islam tak tahu sebab mereka tak masuk kedai arak,” katanya.

Beliau berkata, tindakan segera perlu dilakukan bagi mengelak kontroversi seberapa yang boleh.

“Jadi lebih bijak jika dielakkan perkara yang boleh menyentuh sensitiviti orang Melayu ini dan hindarkan apa jua yang boleh membawa kepada ketegangan dalam hubungan antara kaum di negara kita,” katanya.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan