Ditohmah tak bela nasib Adib: PAS selar pihak berkenaan
KUALA LUMPUR: PAS menyelar dakwaan segelintir pihak bahawa kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak terbela setelah parti Islam tersebut memegang tampuk kepimpinan kerajaan.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin, berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana pihaknya mengikuti rapat perkembangan kes Allahyarham Muhammad Adib, dan pelbagai tindakan telah dilakukan bagi memelihara kebajikan keluarganya.
Menurutnya, pertikaian demi pertikaian berbangkit berkaitan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Mereka yang cakap PAS senyap mengenai isu Adib tak mengikuti perkembangan kami secara dekat. Boleh rujuk tindakan yang kami lakukan melalui laman web dan Instagram Pemuda PAS.
“Kita tak boleh masuk campur dalam siasatan yang dilakukan pihak berkuasa. Jadi apabila kerajaan bercadang untuk melakukan tindakan balas seperti yang dilakukan sekarang ini, kita amat menyokong keputusan kerajaan tersebut, kerana ia selari dengan apa yang kita mahu.
“Bezanya, kita menjaga kebajikan keluarga Allahyarham. Pemuda PAS telah membuat beberapa tindakan menjaga kebajikan keluarga Adib, manakala dari sudut keadilan, kita serahkan kepada pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.
Menurut Khairil lagi, Malaysia mempunyai peraturan perundangan (rule of law) yang tidak wajar dicampuri kuasa politik kerana kedua-duanya mempunyai pemisahan kuasa (separation of power) berlainan.
“Apa pasal PAS nak masuk campur dalam hal rule of law, ia di bawah tanggungjawab pihak berkuasa.
“Kita ada separation of power. Bila kita dah jadi kerajaan, kita nak masuk campur, mana boleh, tak adil. Bila masa kita senyap. Cuma kita bukan polis,” tambahnya yang juga merupakan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, ditanya mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kematian Muhammad Adib, Khairil Nizam menegaskan, pihaknya menyambut baik perkembangan tersebut agar dapat dipastikan supaya siasatan secara menyeluruh dan telus, serta pembelaan sewajarnya terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib bakal terlaksana.
Katanya lagi, penubuhan jawatankuasa itu sejajar hasrat dan cadangan diutarakan pihaknya supaya kekusutan serta pertikaian berbangkit kes Allahyarham Muhammad Adib dirungkai dengan penuh iltizam serta bertanggungjawab.
Untuk rekod, kabinet telah menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Pada 27 November 2018, Muhammad Adib cedera parah ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018.
Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan, selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.
Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019.
Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemuka. Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali. – HARAKAHDAILY 16/10/2021
0 comments:
Catat Ulasan