KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan dicalonkan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.
Dalam isu empat bekas ADUN, PH menerima pandangan semua pihak yang tegas mengenai perkara ini. Perlu ditekankan kepentingan rakyat lebih penting daripada mana-mana individu.
"Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini," menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Presiden PH hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Majlis Presiden PH bersetuju melantik bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, bagi mengetuai jentera pilihan raya PH Melaka bagi menghadapi PRN.
Selain itu, Majlis Presiden PH memutuskan untuk menghantar wakil bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka.
"Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak, terutama pada ketika Melaka berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.
Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Norhizam; Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) menyerahkan kepada pucuk pimpinan PH untuk menentukan tempat bakal ditandingi mereka pada PRN Melaka, 20 November ini.
Bagaimanapun, hasrat mereka bertanding atas tiket PH dikatakan ditolak rakan parti PKR, termasuk DAP yang tidak mahu menerima Norhizam yang sebelum ini bersama parti itu sebagai calon PRN Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November serta tarikh mengundi awal pada 16 November selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu.
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan