Khamis, 5 Ogos 2021

Tempoh moratorium pembaharuan lesen tidak disambung

 


PUTRAJAYA: Tempoh moratorium bagi pelanjutan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) tidak disambung selepas 30 September ini.

Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, aktiviti pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan oleh badan penguat kuasa jabatan tersebut dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula dilaksanakan di lapangan mulai 1 Oktober ini.

“Orang ramai diingatkan agar memperbaharui lesen masing-masing yang tamat tempoh sebelum tarikh tersebut.

“Pemilik kenderaan yang LKM tamat tempoh hendaklah memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insurans sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan insurans jika diminta pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

JPJ berkata, orang ramai disaran membuat urus niaga secara dalam talian iaitu melalui portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my/public/login.zul) mahupun rakan strategik JPJ iaitu myEG.

“Sebarang urus niaga yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian boleh dibuat di kaunter JPJ secara janji temu (online appointment/ call-in),” katanya.

Sementara itu, dalam perkara berkaitan, JPJ berkata, pejabat Pos Malaysia dijangka memulakan urus niaga JPJ di lebih 650 cawangan seluruh Malaysia bermula 9 Ogos ini.

“Selain itu, JPJ juga memastikan bekalan dan stok dokumen keselamatan LKM dan LMM adalah mencukupi bagi tujuan urus niaga pembaharuan LKM dan LMM oleh orang ramai.

“Bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat bagi tujuan mengelakkan daripada berlakunya penularan virus ini,” katanya.

Jelas JPJ, pihaknya amat komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam dan penguatkuasaan dilakukan secara efektif dan efisien bagi menjamin kelestarian industri pengangkutan jalan di Malaysia.

0 comments:

Catat Ulasan