Rabu, 25 Ogos 2021

Kisah Benar: Banjir Yan - Operasi cari mangsa hilang diteruskan

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail menyampaikan sumbangan peribadi kepada enam wira yang membantu menyelamatkan mangsa bencana kepala air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail menyampaikan sumbangan peribadi kepada enam wira yang membantu menyelamatkan mangsa bencana kepala air.

YAN: "Tempoh lima minit ketika meredah deruan kepala air menjadi detik antara hidup atau mati kami," kata Nasrullah Mujaddidi Md Zaini, 30.

Dalam kejadian bencana yang melanda Rabu lalu, Nasrullah dan ibunya, Zalehah Mohd Said, 52, bersama empat pekerjanya bertindak berani meredah kepala air demi menyelamatkan jiran yang terperangkap di Salak Denai Chalet, Batu Hampar.

Empat pekerja ladang Rukambu Livestock terbabit adalah Mohd Azril Abd Razak, 22; Mohd Firdaus Muzamir, 20; Mohd Roshidi Abu Seman, 33 dan Rafiq Razi, 24.

Nasrullah berkata, dia menyedari keluarga jirannya yang juga pengusaha chalet, Syazwan Anas Abdul Mutalib, 39, terperangkap apabila gagal menghubungi keluarga itu kira-kira jam 4.30 petang.

"Sebaik tiba di hadapan chalet kami melihat pokok balak sudah meranapkan rumah Syazwan dengan deruan kepala air di sekeliling chalet menyebabkan rumah itu menjadi seperti pulau.

"Saya kemudian mengikat tali pada pacuan empat roda (4WD) Land Rover yang dipandu umi (Zalehah) sebelum kami turun berturutan sambil berpaut pada tali meredah kepala air setinggi dada ke rumah Syazwan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

 Nasrullah berkata, ketika itu aliran kepala air agak reda dan mereka mengambil peluang berkenaan bagi membawa keluar keluarga jiranya, termasuk lima kanak-kanak yang didukung secara bergilir-gilir.

"Azril yang berada di hadapan sekali berjaya menemui keluarga Syazwan dan membawa mereka keluar sebelum kami berganti-ganti mendukung mangsa pada jarak kira-kira 30 meter kembali ke kenderaan.

Keadaan lokasi Salak Denai Chalet, Batu Hampar dan rumah mangsa yang terperangkap selepas bencana kepala air yang melanda Rabu lalu.
Keadaan lokasi Salak Denai Chalet, Batu Hampar dan rumah mangsa yang terperangkap selepas bencana kepala air yang melanda Rabu lalu.

"Kami perlu menyelamatkan mereka dan keluar dari kawasan chalet secepat mungkin kerana gelombang susulan kepala air boleh melanda bila-bila masa, malah ketika itu terdapat banyak pokok balak sedang hanyut," katanya.

Dalam bencana kepala air Gunung Jerai dan banjir lumpur itu, mereka berjaya menyelamatkan Syazwan, isteri dan lima anaknya berusia antara dua hingga 11 tahun serta nenek Syazwan, Kalsom Abdullah, 85.

Namun, suami Kalsom, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang juga bekas imam Masjid Yan, dihanyutkan kepala air dan jenazahnya ditemui pasukan penyelamat pada petang Ahad lalu, di bawah timbunan kayu dan bongkah batu.

Bagi Azril, dia bersama rakan lain tidak langsung berasa takut ketika meredah kepala air kerana hanya berfikir mahu membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap sahaja.

"Saya terpaksa buka but getah yang dipakai sebelum masuk ke dalam kepala air dan dapat merasa batu bergolek sambil mengelak pokok balak hanyut ketika bergerak ke rumah Syazwan.

"Pintu rumah memang sudah ditutup pokok balak dan saya terpaksa masuk melalui celah runtuhan dinding sebelum menemui mangsa dalam keadaan berpelukan serta menangis ketakutan di dalam bilik.

"Saya kemudian terus mendukung seorang demi seorang dan membawa mereka keluar bagi diserahkan kepada rakan yang berada di luar rumah," katanya yang tinggal di Kampung Setol.

Bagi Zalehah, dia nekad menyelamatkan keluarga jirannya itu kerana tahu gelombang susulan kepala air akan menyebabkan nyawa lapan beranak itu terkorban.

"Sebaik keluarga jiran dapat diselamatkan, saya minta mereka bertenang dan suruh semuanya masuk ke dalam kenderaan sebelum memandu pulang ke rumah.

"Saya akan menyesal seumur hidup jika tidak menyelamatkan nyawa mereka, namun sedih apabila melihat nenek Kalsom yang asyik bertanya keadaan suaminya, Ku Shuib yang ketika itu belum ditemui," katanya.

Sementara itu, pengorbanan enam wira berkenaan mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail yang merakamkan penghargaan dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada mereka.

-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan