Isnin, 9 Ogos 2021

Vaksinasi Covid19 Lengkap: Belum boleh balik kampung

 

INDIVIDU yang sudah lengkap dua dos vaksin perlu menunjukkan sijil digital kepada pasukan keselamatan di sekatan jalan raya.

PUTRAJAYA – Kebenaran merentas daerah dan negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh antara kemudahan yang diberikan kerajaan kepada individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksinasi Covid-19 berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pergerakan merentas daerah dan negeri juga dibenarkan bagi golongan ibu bapa yang lengkap divaksin untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

Beliau berkata, selain kemudahan perjalanan, kemudahan kuarantin juga diberikan kepada individu yang lengkap divaksin dengan membolehkan mereka menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital.

Menurutnya, kemudahan­ kua­rantin itu melibatkan pengembara warganegara dan warga ­asing yang mempunyai kediaman di negara ini termasuk penduduk tetap dan pemegang pas Malaysia MY Second Home yang pulang atau tiba dari luar negara.

“Kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk individu lengkap divaksin ini terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya ketika menyampaikan perutusan khas kemudahan-kemudahan bagi individu lengkap divaksin di siaran televisyen tempatan semalam.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan turut membenarkan aktiviti solat di masjid dan surau bagi jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara membabitkan keempat-empat Fasa PPN.

“Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat dengan menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 sebagai bukti bahawa individu berkenaan telah menerima imunisasi lengkap,” katanya.

INDIVIDU yang lengkap dua dos suntikan vaksin di negeri Fasa 2 dan Fasa 3 PPN dibenarkan untuk makan di restoran. – GAMBAR HIASAN

Berhubung kebenaran sektor sosial bagi negeri Fasa 2 PPN, ujarnya, rakyat di negeri tersebut dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah dan menjalani aktiviti makan di restoran.

Sebagai rekod, negeri dalam Fasa 2 ketika ini ialah Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah, manakala Sarawak, Perlis dan Labuan di Fasa 3.

Selain itu, aktiviti riadah dan sukan tanpa sentuhan dan bukan berkumpulan juga dibenarkan di negeri Fasa 2 dari 6 pagi hingga 10 malam dengan pematuhan prosedur operasi standard ketat.

“Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di club house dibenar kan selaras dengan kebenaran dine-in, manakala operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis terbabit adalah dilarang.

“Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, papan selaju, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis dan badminton (perseorangan), golf serta permotoran,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama turut dibenarkan melibatkan inap desa dan hotel.

“Kemudahan-kemudahan sektor ekonomi sedang dibincang dan dipertimbangkan di pe­ringkat Sidang Khas Majlis Kese­lamatan Negara dan akan di­umumkan dalam waktu terdekat,” katanya. -K! ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan