Isnin, 23 Ogos 2021

Covid19: Kes baharu turun mendadak, Perak, Perlis, Labuan catat peningkatan

 

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun mendadak dengan semua negeri, kecuali Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan, merekodkan penurunan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam itu 17,672 jangkitan baharu direkodkan di seluruh negara menjadikan kumulatif lebih 1.57 juta kes sejak Covid-19 menular di Malaysia awal tahun lalu.

Kes harian paling tinggi pernah direkodkan sebelum ini ialah pada 20 Ogos lalu iaitu sebanyak 23,564 kes, sementara yang kedua tertinggi adalah pada 19 Ogos (22,948 kes).

Mengikut data Kementerian Kesihatan (KKM), Perak mencatatkan 952 kes baharu berbanding 703 kes semalam, manakala Perlis mencatatkan 57 kes baharu (54 semalam) dan Labuan daripada empat kes semalam kepada tujuh kes hari ini.

Ini adalah kali pertama dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan, 14 negeri dan wilayah, termasuk Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan penurunan kes baharu.

Selangor dan Kuala Lumpur yang menjadi titik panas Covid-19 di Malaysia merekodkan penurunan kes sejak beberapa hari lalu. Dalam tempoh 24 jam itu Selangor mencatatkan 4,316 kes baharu berbanding 5,379 semalam, manakala Kuala Lumpur pula merekodkan 891 kes baharu (999 semalam).

Bagaimanapun, tujuh negeri – ialah Selangor, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Johor – masih merekodkan jumlah jangkitan baharu harian melebihi paras 1,000 kes.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan