Isnin, 16 Ogos 2021

EPL: Jangan Pernah Ragu Dengan Kesetiaan Salah Terhadap Liverpool

 


Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah memulakan musim 2021/22 dengan penuh bergaya selepas menjaringkan satu gol dan menyumbang dua bantuan jaringan ketika meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Norwich City di Carrow Road.

Ia sekaligus menjadikan penyerang Mesir itu pemain pertama yang mencatat sejarah menjaringkan gol dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk lima musim berturut-turut.

Prestasi cemerlangnya itu sedikit sebanyak pastinya dapat menutup mulut pengkritik yang mempertikaikan komitmen Salah selepas Liverpool berdepan musim yang buruk pada musim lalu sama ada di peringkat domestik mahupun di kejohanan Eropah.

Begitu juga dengan hubungannya dengan rakan sepasukan terutamanya Sadio Mane yang sedikit tercalar pada musim lalu.

Keadaan itu menyebabkan timbul suara-suara yang mendesak agar Salah dijual selepas dianggap sudah tidak lagi mempunyai ‘jiwa’ untuk terus beraksi di Anfied.

Bagi sebuah kelab yang kaya dengan sejarah dan tradisi seperti Liverpool, tiada seorang pun pemain yang akan dianggap lebih besar daripada kelab.

Melalui satu laporan, penyerang berusia 29 tahun itu mendedahkan pihak pengurusan Liverpool masih belum memulakan rundingan kontrak baharu walaupun kontrak semasanya hanya berbaki kurang dua tahun.

Oleh itu timbullah ura-ura yang mengaitkannya dengan beberapa kelab gergasi Eropah seperti Real Madrid, Juventus dan Bayern Munich.

Namun aksi Salah pada awal pagi tadi seolah-olah menjawab segala persoalan dan ia adalah isyarat jelas oleh beliau untuk tidak sesekali mempersoalkan nilai kesetiaannya selepas segala kejayaan yang telah diraih bersama The Reds selama ini.

Rekod 126 gol dari 204 perlawanan dalam semua pertandingan untuk Liverpool setakat ini merupakan satu statistik jelas bahawa beliau akan terus menjadi pemain paling penting untuk Liverpool.

Dengan kembalinya tonggak utama pertahanan seperti Virgil van Dijk dan Joe Gomez, skuad kendalian Jurgen Klopp itu sudah boleh fokus untuk sekali lagi mendominasi pentas bola sepak Inggeris.

-semuanyabola.com

0 comments:

Catat Ulasan