Shah Alam: Seorang pegawai Imigresen didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tidak melaporkan tawaran rasuah RM25,000 bagi melepaskan kemasukan 80 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 2017.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Azma Azmin, 39, dan memerintahkan wanita itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Rozilah juga menasihati tertuduh tidak mengulangi jenayah rasuah kerana ia memberi impak besar kepada masyarakat dan negara serta berharap hukuman itu memberi keinsafan kepada tertuduh.
"Saya mahu kamu faham perkara ini serius, kamu boleh cegah apa yang berlaku. Bukannya (melepaskan) seorang tetapi 80 orang warga asing," kata Rozilah kepada wanita itu yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Mengikut pertuduhan, Noor Azma yang bertugas sebagai pegawai Imigresen di Bahagian Kawalan Operasi, Balai Ketibaan KLIA ditawarkan wang suapan berjumlah RM25,000 secara tunai daripada seorang wanita sebagai upah membantu melepaskan warganegara China dan Pakistan dari sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Ia melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan tawaran suapan kepada pihak SPRM atau polis.
Noor Azma melakukan kesalahan itu di bangunan terminal KLIA, Sepang pada 2017 mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu peguam Norliana Ali Othman yang mewakili tertuduh merayu hukuman minimum atas alasan suami tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung tiga anak berumur empat bulan hingga lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd 'Afif Mohd Ali memohon hukuman setimpal kerana kegiatan rasuah adalah satu kesalahan termasuk apabila gagal melaporkannya dan sebarang ketirisan memberi kesan kepada negara.
Berdasarkan fakta kes, Noor Azma yang berkhidmat di Jabatan Imigresen sejak 28 Oktober 2008 ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan masuk dan keluar penumpang warganegara, penduduk tetap dan warganegara asing di kaunter pemeriksaan Imigresen di KLIA.
Tertuduh ditawarkan rasuah RM25,000 untuk melepaskan 80 orang warganegara China dan Pakistan yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan gagal melaporkan kegiatan rasuah itu.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan