PETALING JAYA – Platform teknologi pertanian tempatan, SM4RT TANI menawarkan penyelesaian berasaskan awan dan teknologi Internet of Things (IoT) kepada golongan petani bagi membantu mereka meningkatkan kecekapan serta produktiviti.
Pengasas SM4RT TANI, Hafeiz Hassan berkata, platform berkenaan akan membolehkan petani mendapatkan maklumat dan bacaan relevan tentang tanaman pada masa nyata, seterusnya membantu mereka mengambil langkah tepat sekali gus meningkatkan hasil tanaman.
Menurut beliau, dengan menggunakan Sigfox Xero-G Network yang dibekalkan oleh Xperanti IoT, sistem tersebut membolehkan petani beroleh akses kepada kadar pH semasa, pemantauan cuaca, kawalan perosak dan pemantauan tanaman.
SM4RT TANI turut disokong oleh sistem pengurusan ladang digital, dinamakan Urus Tani di bawah payung syarikat induk, Singularity Aerotech Asia (SAT Asia) yang membantu petani menguruskan data operasi termasuk inventori, sumber manusia dan pengurusan pelan bagi membentuk sistem pertanian pintar hujung ke hujung.
“Golongan petani biasanya bekerja berpandukan kepada andaian dan pengetahuan kabur yang diturunkan dari generasi ke generasi yang lain.
“Hal ini bukan sahaja menimbulkan kekaburan dalam operasi sedia ada, tetapi telah menimbulkan potensi pembaziran dari segi tenaga, sumber dan masa.
“Kami berbangga dapat bekerjasama rapat dengan komuniti pertanian dan sistem kami yang mantap dapat membantu mereka membuat keputusan tepat berasaskan data yang pada akhirnya menghasilkan hasil lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Hafeiz menjelaskan, melalui usaha ini peserta telah menyaksikan peningkatan hasil hingga 25 peratus dan pada masa sama, dapat mengurangkan penggunaan sumber serta tenaga kerja secara strategik,.
Buat masa ini, sebanyak 10 ladang telah menyertai SM4RT TANI merentasi lima negeri iaitu di Johor, Kelantan, Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan.
Menuju ke hadapan, platform berkenaan bakal menambah beberapa ciri lain termasuk pemantauan ladang ternakan ayam, pemantauan rumah hijau dan pasaran maya untuk memacu pertumbuhan sektor pertanian negara.-Kosmo!
0 comments:
Catat Ulasan