Khamis, 19 Ogos 2021

Najib tidak hadir perbicaraan buat hakim berang

Datuk Seri Najib Razak. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Datuk Seri Najib Razak. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Kuala Lumpur: Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak berang dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu gagal hadir pada prosiding perbicaraan pagi ini.

Sebaik perbicaraan kes bermula pada jam 9.30 pagi, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah anak guamnya dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Rahmat berkata, Najib bersama 114 Ahli Parlimen dipanggil ke Istana untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Bagaimanapun, tidak diketahui masa spesifik untuk Najib akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Najib dijangka beredar dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menuju ke istana pada jam 10.30 pagi," katanya.

 Mendengar perkara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah dilihat berang dan berkata Najib seharusnya menghadirkan diri ke mahkamah terlebih dahulu.

"Yang di-Pertuan Agong memanggil semua Ahli Parlimen untuk menghadap dan beliau sememangnya perlu berada di sana, namun laporan media menyatakan ia akan dilakukan secara berperingkat.

"Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di Istana Negara kerana kes ini akan diteruskan," katanya sebelum menangguhkan perbicaraan selama 10 minit.

Sebaik mahkamah mula bersidang, Rahmat memaklumkan pihaknya tidak dapat memaklumkan waktu spesifik untuk Najib bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Sequerah berkata, perbicaraan itu akan diteruskan dan meminta peguam untuk memaklumkan mengenai pertemuan Najib dengan Yang di-Pertuan Agong.

"Kita semua mempunyai tugas yang perlu dijalankan. Sekiranya dipanggil menghadap Agong, beliau harus menghadirkan diri, namun, beliau tidak perlu berada di sana seharian.

"Beliau boleh memberikan pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kembali semula ke sini," katanya.

Mahkamah kemudian memaklumkan perbicaraan kes akan disambung pada jam 2.30 petang.

Semalam, prosiding perbicaraan pada sesi pagi terpaksa ditangguh bagi membolehkan Najib menghadiri mesyuarat penting di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sequerah bagaimanapun berkata, permohonan penangguhan bagi menghadiri mesyuarat atau sebarang acara dibenarkan namun perbicaraan itu perlu disambung pada sebelah petang.

Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan