Tiada yang lebih membahagiakan seorang wanita, selain bergelar ibu serta pengalaman merasai sendiri bagaimana membesarkan anak mereka. Namun, seiring kebahagiaan itu, tanggungjawab yang digalas juga bukan calang-calang.
Buat Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Siti, dia mengakui kini fokusnya lebih berat apabila dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa. Dalam pada bersyukur, dia berharap tidak terlepas pandang setiap keperluan mereka.
Apapun, dia mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan selepas kehadiran dua permata berharga itu. Setiap hari, baginya adalah proses pembelajaran untuk dia menjadi ibu yang terbaik buat mereka.
Semestinya paling membahagiakan apabila anak sulungnya, Siti Aafiyah jelas gembira dengan kehadiran adiknya itu. Siti mengakui dia juga sentiasa memperbaiki dirinya ketika menjaga mereka.
"Menjadi ibu adalah nikmat sangat istimewa, walaupun impian memiliki cahaya mata hanya diberikan selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga. Saya bersyukur diberikan rezeki oleh Allah untuk bergelar ibu.
"Macam mana mahu bersyukur, tentulah dengan cara menjaga apa yang sudah diberikan itu. Namun, ia tidak menghalang untuk saya menjaga nikmat berharga ini. Jadi, saya masih dalam proses belajar apabila bercakap soal penjagaan anak-anak," katanya.
Penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu juga sangat bersyukur kerana Aafiyah tidak banyak ragamnya atau berasa cemburu dengan kehadiran Afwa. Hakikatnya, dia tersentuh melihat kasih sayang dipamerkan anak perempuannya itu.
"Sebelum ini, saya manja dan utamakan Aafiyah, tetapi sekarang, lebih banyak masa difokuskan kepada Afwa. Aafiyah baik sahaja dan sangat menyayangi adiknya.
"Apabila bangun pagi mesti mencari dan mencium adiknya terlebih dahulu. Alhamdulillah, dua permata hati ini melengkapkan kehidupan saya," katanya.
Dalam pada itu, Siti juga tidak ketinggalan untuk terus menitikberatkan kesihatannya sendiri, meskipun sudah beranak dua. Kini, dia kembali menjaga penampilan fizikalnya sebagai persediaan untuk kembali merancakkan karier seni nanti.
Paling membanggakan, berat badannya turun sebanyak 20 kilogram dan itu sudah cukup menaikkan semangat Siti. Meskipun prosesnya pasti agak mencabar, dia kini mensasarkan untuk mengurangkan sebanyak 10 kilogram lagi.
"Sekarang ini sasaran saya memang hendak kembali kepada bentuk badan ideal selepas melahirkan Afwa pada April lalu. Saya memang jenis susah turunkan berat badan, tapi alhamdulillah buat perlahan-lahan.
"Sebenarnya saya sasarkan untuk sekurang-kurang kembali kepada berat 60 kilogram. Saya berpijak pada bumi nyata, untuk buat mana yang termampu kerana tidak mungkin boleh capai kembali fizikal sewaktu anak dara dulu.
"Persediaan ini sangat penting untuk saya kerana berazam kembali aktif dalam kerjaya seni kelak. Selain untuk kebaikan stamina, semestinya senaman yang dilakukan untuk tujuan kesihatan saya juga," katanya.
Dalam pada itu, Siti tetap menyimpan hasrat untuk merealisasikan konsertnya yang tergendala selepas pandemik Covid-19 melanda. Buat masa ini, dia akur dengan keadaan semasa dan perlu bersabar sahaja.
"Sebenarnya perancangan asal adalah melangsungkan konsert itu tahun lalu. Tapi nampaknya pandemik semakin berlarutan dan tunggu sajalah bila keadaan sudah mengizinkan nanti.
"Yang pasti, perancangan masih akan tetap dilaksanakan kelak. Bagilah peminat buat simpanan sekarang supaya kelak, mereka boleh membeli tiket. Apapun, saya akan umumkan juga pada waktu yang sesuai nanti." katanya.
Sudah 25 tahun melayari dunia seni, Siti juga tidak ketinggalan berhasrat menghadiahkan lagu istimewa untuk meraikan pencapaiannya itu. Menurutnya, dia teruja kerana projek itu agak istimewa.
"Projek dirancang ini bakal membabitkan kerjasama saya bersama penyanyi dari Indonesia. Bagaimanapun, setakat ini kami menetapkan projek berkenaan akan direalisasikan paling awal tahun depan," katanya.
Terdahulu, Siti ditemui baru-baru ini menerusi sebuah sidang akhbar BeauRaya secara virtual. Selain Siti, sesi eksklusif itu turut disertai Nabila Razali, Izara Aishah dan Hawa Rizwana serta peminat setianya dari Malaysia dan Singapura.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan