Rabu, 18 Ogos 2021

Kemelut politik: Agong titah PM baharu segerakan usul undi percaya

Al-Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin berkenan menerima menghadap ketua dan wakil parti politik di Istana Negara, semalam. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin berkenan menerima menghadap ketua dan wakil parti politik di Istana Negara, semalam. Foto Bernama

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Perdana Menteri baharu yang dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara berkata, baginda bertitah demikian mengikut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam hal ini, baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, baginda akan cuba sedaya-upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

"Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos ini (Jumaat).

"Seri Paduka Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak (Timbalan Yang di-Pertuan Agong) menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan ketika kita masih diancam pandemik Covid-19.

 "Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik sudah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini," katanya.

Dalam kenyataan itu, baginda turut bertitah Ahli Dewan Rakyat yang terpilih sebagai Perdana Menteri baharu kelak seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya.

Ia menjadi peringatan kepada ketua dan wakil parti politik ketika sesi menghadap Al-Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semalam.

"Baginda berdua bertitah supaya semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan, dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua, manakala yang kalah pula tidak kalah semua.

"Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar Ahli Dewan Rakyat yang lain akan turut diatur bagi sesi-sesi menghadap daripada semasa ke semasa.

"Turut hadir (semalam) dalam sesi menghadap ialah Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Negara dan Peguam Negara.

"Sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada Umno, DAP, PKR, Bersatu, Pas, Amanah, Warisan dan Pejuang serta berlangsung lebih 90 minit bermula dari 2.30 petang," katanya,

Terdahulu, katanya, Agong turut berkenan menerima menghadap secara maya pada jam 1.40 petang oleh komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurutnya, Seri Paduka Baginda sudah menzahirkan bahawa baginda dan Sultan Perak berkenan untuk menganjurkan sesi menghadap semalam bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa pada 16 Ogos lalu.

Katanya, baginda turut menzahirkan titah akan tujuan utama sesi menghadap itu adalah untuk menyatakan bahawa sesiapapun juga yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"(Selain itu titah Baginda) Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

"Kesepakatan dan kejujuran Ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

"Ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, baginda bertitah majoriti 'frontliners' berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit Covid-19 baharu setiap hari, malah fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

Sehubungan itu, menurutnya titah baginda bahawa segala perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik Covid-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok dan program pemulihan negara perlu dikekalkan.

-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan