BEIJING: China sekali lagi berjaya menurunkan kes tempatan COVID-19 kepada angka sifar, hari ini, selepas lebih sebulan bertarung dengan penularan varian baharu.
Bloomberg melaporkan cabaran kali ini lebih getir berikutan ancaman varian Delta yang memiliki kadar kebolehjangkitan tinggi, walaupun China menggunakan tindakan ketat sama untuk mengekang wabak berkenaan.
Namun dengan keupayaan varian baharu COVID-19 yang lebih ganas, tidak dapat dipastikan berapa lama kejayaan terbaru dicapai itu mampu bertahan.
Pada masa sama, timbul persoalan sama ada negara lain mahu - atau mampu - mengikut langkah begitu ketat yang diambil China sepanjang tempoh antara 20 Julai lalu apabila tercetus kluster jangkitan membabitkan petugas pembersihan lapangan terbang di Nanjing, sehinggalah berjaya mencatat sifar kes tempatan, hari ini.
China membawa pelaksanaan ujian COVID-19 ke tahap yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, termasuk pihak berkuasa tempatan melakukan saringan berulang kali ke atas penduduk bagi memastikan setiap jangkitan dapat dikesan.
Secara keseluruhan, lebih 100 juta ujian saringan dilakukan. Di bandar Yangzhou, segelintir penduduk dilaporkan dijangkiti ketika berbaris untuk menjalani ujian saringan.
Malah, China melaksanakan hingga 12 kali ujian saringan di bandar paling terkesan dalam penularan COVID-19 kali ini.
Di samping itu, kuarantin juga memainkan peranan besar yang antara lain menyaksikan Beijing pernah ditutup kepada akses dari kawasan lain pada suatu ketika, walaupun hanya mencatat satu kes.
Malah, perjalanan kereta api dan penerbangan dari 'hotspot' di negara ini juga disekat, sekalipun bandar berkenaan merekodkan kurang 10 jangkitan varian Delta.
Wilayah lain pula melaksanakan sekatan menyeluruh, daripada melarang kemasukan individu dari kawasan berisiko tinggi sehinggalah meminta mereka memendekkan tempoh percutian.
Kebanyakan orang dikehendaki kekal berkurung di rumah - peraturan yang dikuatkuasakan secara tegas - sebelum kembali ke tempat kerja dan sekolah.
Lebih 200 kejiranan dilabelkan sebagai berisiko tinggi atau sederhana, sekali gus membawa kepada penguatkuasaan sekatan menyeluruh yang menjejaskan kehidupan serta perniagaan.
Penularan terbaru pada Julai lalu bermula dengan satu kes tidak bergejala dikesan di lapangan terbang di Nanjing, sebelum lebih banyak jangkitan dilaporkan pada keesokannya.
Menjelang hujung minggu terbabit, angka harian meningkat kepada hampir 50 kes, sebelum melonjak kepada lebih 100 jangkitan sehari dalam tempoh kurang tiga minggu.
Bagaimanapun, angka itu menurun kepada satu digit pada minggu berikutnya ketika langkah sekatan diperketatkan, dan akhirnya mencatat angka sifar.
Lebih banyak ujian saringan akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada penularan itu telah berjaya dikekang. - AGENSI
0 comments:
Catat Ulasan