Rabu, 18 Ogos 2021

Jom kenali siapa Taliban di Afghanistan


Selepas 20 tahun, Taliban kembali menguasai Afghanistan dengan menawan Kabul. Presiden Ashraf Ghani meletak jawatan dan melarikan diri. 

Benda ini dah dijangka apabila Joe Biden mengumumkan pengunduran tentera US pada Mei lepas.

Persoalannya, kenapa Taliban ini kental sangat?

Sebabnya, Taliban tak pernah dihapuskan daripada Afghanistan. Malah ia disokong sebahagian besar masyarakat Afghanistan.

Nak faham fenomena Taliban, kena faham demografi Afghanistan.

Afghanistan adalah negara berbilang kaum. Kaum terbesar iaitu Pashtun mewakili 42% populasi, diikuti oleh Tajik (27%), Hazara (9%), Uzbek (9%), Turkmen (3%) dan lain-lain.

Di Pakistan pun ada ramai Pashtun (15% populasi). Macam Malala Yousafzai tu adalah Pashtun. PM Pakistan sekarang, Imran Khan juga seorang Pashtun. 

Pashtun boleh dibahagikan kepada 5 kabilah ("tribal confederation") utama iaitu Ghilzai, Durrani, Karlanri, Sarbani dan Gharghashti. Di bawah setiap kabilah ni ada banyak suku. Macam Ashraf Ghani tu dari suku Ahmadzai bawah Ghilzai. Pemimpin Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar dari suku Popalzai bawah Durrani.

Pashtun memegang tampuk politik sejak penubuhan negara Afghanistan. Suku Abdali (nama lama Durrani) mengasaskan Dinasti Durrani, kemudian digantikan oleh Dinasti Barakzai. Raja Barakzai terakhir, Zahir Shah digulingkan oleh sepupunya Daoud Khan pada tahun 1973.

Daoud Khan mendirikan Republik Afghanistan. Tak lama kemudian, dia digulingkan dan dibunuh oleh komunis pada 1978. Komunis kemudian bergaduh sesama sendiri, memberi Soviet (Rusia) peluang untuk memasuki Afghanistan pada tahun 1979.

Kaum-kaum di Afghanistan masing-masing menubuhkan militia dan melancarkan jihad menentang Soviet. Kebanyakan Pashtun berjuang di bawah kumpulan bernama Hezb-i Islami, Tajik bawah Jamiat-e Islami. Hazara, Uzbek, Turkmen pun masing-masing ada kumpulan sendiri. Walaupun semua dikenali sebagai "mujahideen", bukan semua sehaluan.

Selepas Soviet berundur daripada Afghanistan pada 1989, golongan mujahideen ini meneruskan perang terhadap kerajaan komunis. Kerajaan komunis tumbang pada 1992, digantikan dengan Negara Islam Afghanistan. Burhanuddin Rabbani (seorang Tajik) daripada Jamiat-e Islami menjadi presiden, menimbulkan ketidakpuashatian Pashtun terutamanya Gulbuddin Hekmatyar dari Hezb-i Islami. Perang saudara meletus.

Kegagalan Hekmatyar untuk merampas kuasa menyebabkan Pashtun mengalih sokongan kepada kumpulan Taliban yang diasaskan oleh Mullah Omar. Ahli kumpulan Taliban kebanyakannya adalah lepasan sekolah Darul Uloom Haqqania di Pakistan yang mengikut aliran Deobandi ("Taliban" bermaksud murid) yang sangat strict dalam tafsiran dan amalan agama (Barat panggil "fundamentalist").

Orang Pashtun luar bandar yang lebih konservatif tertarik dengan Taliban, terutamanya Ghilzai yang merupakan kabilah terbesar. Antara "sumbangan" Taliban ialah pembersihan amalan "bacha bazi" (budak lelaki dijadikan penari dan hamba nafsu golongan warlord). 

Dengan itu, Taliban dengan pantas menawan 90% wilayah Afghanistan dan menawan Kabul pada 1996. Ada juga yang melihat sokongan Pakistan sebagai faktor kejayaan Taliban.

Cuma bagi kaum bukan Pashtun, Taliban terlampau konservatif. Wanita dilarang bersekolah dan bersosial. Muzik dan hiburan juga diharamkan. Taliban juga memusuhi Hazara yang berhaluan Syiah dan melakukan pembantaian besar-besaran ke atas Hazara.

Jadi Tajik, Hazara dan Uzbek menubuhkan kerajaan "Northern Alliance" di utara, disokong oleh Pashtun bandar yang lebih liberal dan progresif (kebanyakannya dari kabilah Durrani, macam Hamid Karzai). Kerajaan Northern Alliance ini diiktiraf oleh majoriti negara.  Taliban hanya diiktiraf 3 negara iaitu Pakistan, Saudi dan UAE.

Pada 2001, US menyerang Taliban atas alasan melindungi Al-Qaeda (Osama kenal Mullah Omar semasa jihad melawan Soviet). Selepas Taliban jatuh, Northern Alliance mendirikan kerajaan di Kabul. Hamid Karzai menjadi presiden pertama "Afghanistan Baharu". Mullah Omar dan saki-baki Taliban melarikan diri dan berlindung di kawasan Pashtun di sempadan Afghanistan-Pakistan, tunggu masa untuk bangkit balik.

Pashtun tidak begitu senang dengan kerajaan baharu. Walaupun Hamid Karzai adalah Pashtun, jawatan naib presiden pertama dan kedua dipegang Tajik dan Hazara. Banyak reform berkaitan hak wanita dianggap bertentangan dengan nilai Pashtun, apatah lagi ia dilakukan oleh kerajaan yang didirikan oleh penceroboh luar. Jadi kerajaan Karzai tidak mempunyai keabsahan di mata kebanyakan Pashtun.

Jadi bermula 2006, Taliban kembali aktif (media panggil "neo-Taliban"). Ancaman neo-Taliban membuat Obama decide untuk menamatkan Perang Iraq seawal 2011 dan fokus untuk memerangi Taliban dan Al-Qaeda.

Mula-mula strategi Obama nampak hasil. Tapi kebangkitan ISIS di Iraq pada tahun 2014 memaksa US divert sumber dan tenaganya. Taliban mengambil kesempatan untuk regroup. malah Taliban juga rekrut kaum bukan Taliban (termasuk Tajik dan Hazara) yang kurang berpuas hati dengan kerajaan Karzai yang korup dan incompetent.

Kemudian, datang pula Trump yang menentang campur tangan US di Iraq dan juga Afghanistan. Trump memulakan pelan pengunduran tentera US, diteruskan oleh Biden. Tindakan US ini menjatuhkan morale kerajaan Afghanistan dan menaikkan morale Taliban, membawa kepada kemenangan demi kemenangan Taliban.

Taliban hari pun ada beza sikit dengan Taliban yang dulu. Mengambil pengajaran lepas, Taliban sedar dasar isolasionis semasa 1996-2001 menjadi punca kejatuhannya dulu. Jadi sekarang Taliban rajin nak berbaik-baik dengan China, dengan UK, dengan Iran, demi menunjukkan bahawa diorang juga bersifat diplomatik, bertamadun dan pragmatik, supaya kerajaan Taliban diiktiraf oleh lebih banyak negara.

Dan itu mungkin akan sedikit sebanyak mempengaruhi Taliban untuk bersifat lebih terbuka (terutamanya berkaitan isu hak wanita), walaupun terasnya masih Pashtun-Deobandi yang ultra-konservatif.

Pengalaman Afghanistan 2001-2021 adalah contoh di mana reform yang tidak mempunyai keabsahan di mata majoriti tidak akan bertahan lama, tak kira betapa bagus reform yang dilakukan. 

Apabila sebahagian besar masyarakat meragui "Afghanistan Baharu" yang dianggap mengancam dan menghakis kaum majoriti, itu membolehkan Taliban yang merupakan "reactionary forces" kembali berkuasa.

(awal upload hari ini sebab takut nanti orang busy cerita benda lain).

Penulis Asal Aiman Rasydan Wong.

TERKINI:

Kenyataan baru dari Taliban:

🛑 Menanam pokok dadah, menjual atau mempromosikan penjualan dadah, mulai sekarang akan menjadi hukuman mati.

🛑 Semua persengketaan darah dibatalkan. Mulai sekarang, semua perselisihan akan melalui pengadilan Syariah Islam, tidak ada lagi cara yang sah untuk menyelesaikan perselisihan selain pengadilan Syariah Islam. 

🛑 Kami menjemput jurutera, doktor dan profesional lain dari seluruh dunia untuk membina semula Afghanistan. Kami menjamin mereka gaji yang tinggi.

🛑 Mulai sekarang, memberitahu nasib, mantra cinta, ramalan, syirik di kubur akan dikenakan hukuman berat.

🛑 Rasuah, keganasan terhadap lelaki muda, akan dihukum bunuh. Emiriah Islam Afghanistan akan menghukum pesta sumpah dengan teruk.

🛑 Wanita bebas untuk meninggalkan rumah berseorangan, tetapi hijab menjadi satu kemestian!

🛑 Emiriah Islam Afghanistan melarang sebarang jenis aktiviti yang berkaitan dengan faedah, semua hutang dan faedah dibatalkan.

Related Posts:

  • Banjir Besar: Apa sebenarnya berlaku pada 18 Disember?' Tinjauan dari udara bersama Unit Udara PDRM di kawasan terjejas banjir di Shah Alam pada 19 Disember lalu. - NSTP/Asyraf HamzahKUALA LUMPUR: Segala yang ada di dalam rumah setingkat itu bersalut lumpur - peralatan elekt… Read More
  • Trauma terkandas lapan jam di Langkawi PENGALAMAN terkandas berjam-jam di Langkawi membuatkan pelancong serik untuk kembali bercuti di pulau peranginan itu. GAMBAR HIASANPULAU Langkawi sememang­nya menjadi lokasi pelancongan dalam negara yang menjadi antara … Read More
  • Wibawa politik Ismail Sabri kuyup dek banjir? Oleh :Bakar SuarBanjir yang melanda negara minggu lalu bukan sahaja mewariskan beribu tan sampah sarap yang mampu menularkan pelbagai penyakit malah ia boleh menjerumuskan negara ke dalam krisis politik yang melumpuhkan… Read More
  • Ivermectin & jangkitan Covid-19 RAMAI menyokong penggunaan Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 dan beranggapan ia wajar digunakan sepanjang pandemik ini.Bahkan, ada yang mendakwa, menjadi kesalahan jenayah apabila tidak menggunakan Ivermectin da… Read More
  • Era baharu politik sukarkan parti menang majoriti dua pertiga Pengundi kini bijak memilih pemimpin yang mereka inginkan untuk mewakili suara rakyat. - Foto hiasanMemorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai pada 13 September 2021 antara pemimpin Paka… Read More

0 comments:

Catat Ulasan