PETALING JAYA: Trio pembangkang – Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu – masih memerlukan aura Dr Mahathir Mohamad jika Pakatan Harapan (PH) mengimpikan sebuah kerajaan yang dominan menjelang pilihan raya umum akan datang (PRU15), kata penganalisis politik.
Bagaimanapun, kata ahli akademik Azmi Hassan, PH perlu belajar daripada kesilapan lampau agar tidak terus berbalah mengenai calon Perdana Menteri, yang menyebabkan gabungan PKR-DAP-Amanah-Bersatu itu hanya mampu bertahan selama 22 bulan di Putrajaya.
“Sekarang PH telah belajar daripada kesilapan lampau di mana jika mereka masih berbelah bagi dan berbalah tentang (calon) Perdana Menteri, maka rakyat akan gusar tentang kemunculan semula PH walaupun dikatakan sebagai PH 2.0.
“Selama 22 bulan mereka bertahan tetapi gagal pergi ke bulan 23 kerana perebutan calon PM,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, PH sejak awal lagi sudah mengumumkan Anwar, yang juga Presiden PKR, sebagai calon Perdana Menteri mereka dan hal ini perlu dipersetujui Mahathir, walaupun pemerhati politik mengetahui Pengerusi Pejuang itu agak keberatan menerimanya.
Bagaimanapun, katanya, ketegangan antara dua figura itu dilihat sudah “kendur” apabila berkongsi pentas menolak pentadbiran Muhyiddin Yassin dan mendesak Perdana Menteri itu untuk segera berundur.
“Kemunculan beberapa watak utama di Dataran Merdeka adalah pra-syarat atau bayangan bahawa mereka kemungkinan akan bergabung semula membentuk PH 2.0 pada PRU15.
“Walaupun Pejuang hanya ada empat Ahli Parlimen, tetapi aura Mahathir amat diperlukan oleh PH. Realitinya, mereka perlu bergabung jika mahu kerajaan yang kuat,” katanya.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan wujudnya jajaran baharu antara parti pembangkang bagi meruntuhkan pentadbiran Muhyiddin yang didakwa mereka gagal menyelamatkan negara daripada kancah krisis kesihatan dan ekonomi.
Sementara itu, dua lagi penganalisis menyifatkan kerjasama antara Mahathir-PH tidak akan bertaut kembali, menyifatkan langkah itu sebagai “mustahil”.
Penganalisis veteran Wan Hashim Wan Teh menegaskan, senario politik hari ini jauh berbeza dengan PRU14, di mana ketika itu motif PH hanyalah satu, iaitu untuk “menumbangkan Barisan Nasional (BN)”.
“Anwar-PKR sudah pasti bergabung dengan DAP dan rakannya Amanah, tetapi tidak mungkin Mahathir akan bergabung dengan Anwar.
“Saya tidak fikir mereka akan bergabung menjadi PH 2.0 kerana mereka akan kekal berpecah dan tiada kesepakatan dalam memilih bakal PM,” katanya kepada FMT.
Malah, pentas Kongres Nasional Pemuda PKR Jun lalu juga sebulat suara tidak mahu sebarang kerjasama dengan Ahli Parlimen Langkawi itu, dengan seorang wakil pemuda negeri menggelar Mahathir sebagai “unta tua” yang sudah tidak berguna.
“Saya fikir, Tun M dengan parti Pejuangnya pun tidak mahu bersama PKR… ibarat pepatah, pinggan tak retak nasi tak dingin, orang tak hendak, kami pun tak ingin.”
Perkara itu turut dipersetujui Ahmad Atory Hussain yang menyifatkan Mahathir akan membawa kemnya kembali ke pangkuan PN.
“Mahathir tak mungkin kembali ke pangkuan PH. Beliau juga menyesal menyertai perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka Isnin lalu.
“Setakat ni, Muhyiddin bertahan dengan majoriti 115. Anwar pula tidak boleh dilantik menjadi Perdana Menteri kerana hanya ada 94 sahaja, manakala Zahid ada 12.
“Mahathir pula ada 13 kerusi (Pejuang+Warisan). Seandainya beliau sokong PH, baru ada 107 daripada 220 kerusi, masih tidak boleh bentuk kerajaan,” katanya.
Pemerhati politik veteran itu berkata, dengan kembalinya sokongan Mahathir kepada PN, kerjasama mereka kembali bertaut, sekali gus menolak kepimpinan Umno yang terpalit dengan isu rasuah
“Maka tercapailah impian Mahathir untuk melengserkan atau menolak tepi pemimpin Umno yang korup (antaranya Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Azeez Rahim dan Bung Moktar Radin) … dan tinggallah Umno tanpa orang-orang tersebut, barulah Mahathir dan Bersatu akan bertangkup kembali sebagai parti yang bebas rasuah dan kembali memerintah negara dengan wajah baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Hashim berpendapat, sokongan Mahathir terhadap PN berkait rapat dengan rancangan beliau untuk menamatkan karier politiknya secara mutlak dengan menyerahkan kerusi Parlimen Langkawi kepada anaknya, Mukhriz pada PRU15.
“Dengan kembalinya Mahathir menyokong PN, masa depan politik anak kesayangannya, Mukhriz, untuk kembali ke dalam arus perdana politik negara akan lebih terjamin,” katanya.-FMT
0 comments:
Catat Ulasan