Rabu, 18 Ogos 2021

Covid19: Peniaga khuatir gulung tikar jika terus disekat

NOMI (dua dari kanan) melayan seorang pelanggannya di kedainya di Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor hari ini. – UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

 SHAH ALAM: Beberapa pengusaha perniagaan di sini yang kembali dibenarkan kerajaan untuk beroperasi menzahirkan rasa syukur dengan keputusan dibuat dan menyifatkannya sebagai penyelamat.

Keputusan yang dibuat kerajaan itu dikatakan menyelamatkan perniagaan mereka daripada gulung tikar jika berterusan ditutup akibat wabak pandemik Covid-19 yang melanda khususnya di Selangor apabila masih lagi mencatatkan kes harian tertinggi.

AMIRUL SHAHDAN AMIR

Hal itu diluahkan pengurus sebuah kedai cuci kereta, Kilat Car Wash, Amirul Shahdan Amir, 25, yang memaklumkan, dia mungkin terpaksa menutup terus perniagaannya jika kerajaan masih lagi tidak membenarkan perusahaan dalam sektor berkaitan beroperasi.

“Saya kerugian lebih RM30,000 sebulan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuatkuasa 1 Jun lalu.

“Untuk memastikan perniagaan tidak terkubur, saya terpaksa menjual dua buah kereta dan sebuah motosikal bagi pastikan ada duit untuk membayar sewa kedai serta gaji pekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia  di kedainya di Seksyen 13, di sini, semalam.

Amirul berkata, dia sebenarnya hampir ‘berkerat arang’ untuk meneruskan perniagaannya disebabkan keputusan kerajaan yang seringkali bertukar-tukar.

Namun memikirkan akan menimang cahaya mata sulungnya pada Oktober ini, dia membulatkan tekad untuk meneruskan perniagaannya bagi memastikan mereka sekeluarga mempunyai pendapatan secukupnya demi keluarganya.

Terdahulu, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi menjadi Perdana Menteri, beliau mengumumkan kelonggaran ekonomi melibatkan 11 jenis perniagaan dalam pelbagai sektor untuk kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Antaranya adalah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta serta pusat pengedaran dan jualan kereta.

Selain itu,  pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas dan kedai gunting rambut dan pusat atau salon kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja) juga dibenarkan beroperasi bermula kelmarin (16 Ogos).

Pembukaan semula itu turut dihargai Pengurus Kedai Emas Aiman, Nomi Mat Noor, 38, yang memaklumkan terpaksa menjual asetnya bernilai puluhan ribu ringgit bagi memastikan perniagaan barang kemas tidak ‘bungkus’.

Meskipun telah menjalankan perniagaan selama enam tahun, jumlah pendapatan kedai yang diperolehnya dalam tempoh tersebut tidak mampu menyokong penutup operasi kedainya dalam tempoh setahun.

AMIRUL (kanan) bersama seorang pekerjanya sedang mengelap kereta seorang pelanggannya di kedainya di Shah Alam, Selangor hari ini. – UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS 

“Saya tidak membuang pekerja yang berjumlah enam orang malah tidak sesekali pernah memotong gaji mereka. Seperti saya, pekerja juga mempunyai keluarga dan anak yang perlu diberikan nafkah.

“Saya hanya benarkan orang yang sudah disuntik dua dos vaksin serta sudah menduduki tempoh dua minggu selepas menerima dos kedua sahaja dibenarkan masuk. Kalau tidak disuntik lagi, saya tidak akan benarkan pelanggan masuk ke kedai,” tegasnya.- UTUSAN ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan