Mendengar perutusan khas sulung Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob petang tadi dan kemudian meneliti semula teks ucapan bellau, saya sehingga kini masih lagi tercari-cari apa yang menarik atau barangkali ada sesuatu yang ummphhh yang cuba disampaikannya.
Sebagai Perdana Menteri yang memang diragui oleh kebanyakan orang sejak awal lantaran tidak memiliki “PM material” dalam perwatakan dan pengucapannya, kemunculan dalam perutusan khas julung kali ini sepatutnya dimanfaat dengan sebaik-baiknya.
Walaupun cuba menggambarkan dirinya seorang yang rajin bekerja kerana memulakan tugas dan menyampaikan perutusan khas pada hari Ahad, sedang barangkali beliau hanya mula mengetip punch kad pertama sebelum memasuki pejabat pada Isnin esok hari, namun disebabkan kemunculan pertama ini tiada isi yang menarik, tiada yang baru dan sekadar biasa-biasa saja, penilaian rakyat terhadapnya tetap di tahap meragukan.
Dalam kata lebih mudah, Ismail Sabri sebenarnya gagal dalam kemunculan pertama melalui perutusan khas ini.
Mengajak semua pihak bersatu dan bergerak ke hadapan, memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, menawarkan pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara serta Jawatankuasa Khas Menangani Covid19, bercerita panjang lebar mengenai usaha kerajaan menangani wabak tersebut, bertekad bekerja bersama rakyat dan sebagainya, selain semuanya tiada yang luar biasa, ia juga pada hakikatnya langsung tidak mampu memberi keyakinan dan harapan baru kepada sesiapa yang mendengarnya.
Sekadar mengatakan memahami derita rakyat yang susah, dibuang kerja dan hilang pendapatan, disertai dengan asal usul dirinya yang berasal daripada keluarga susah, tetapi tanpa perincian yang lebih khusus tentang fokus dan perancangannya untuk memulihkan ekonomi, semuanya tidak lebih seperti kempen pilihanraya di pentas tepi bendang saja.
Lagi pun, janji-janji sebegitu sudah biasa kita dengar sejak puluhan tahun dulu lagi.
Semua pemimpin menjanjikan bekerja untuk rakyat, termasuk Mahiaddin dulu dengan ayat yang lebih sedap – kerajaan ini mungkin bukan pilihan rakyat, tetapi inilah kerajaan yang diperlukan rakyat – tapi akhirnya semua janjinya kosong belaka di mana setelah berbuih mulut pelbagai pihak menuntut itu dan ini, yang ditunaikan beliau hanya sekelumit saja.
Sebagai bekas TPM era kerajaan gagal sebelum ini, Ismail Sabri sepatutnya tahu apa yang benar-benar diperlukan rakyat dalam suasana pandemik ini, bukan mengulang perkara-perkara biasa dan janji yang kabur sifatnya.
Jika benar beliau ingin memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia dan ingin menyelesaikan kegawatan politik yang ada, beliau sepatutnya berani mengajak semua parti untuk bersamanya membentuk kerajaan perpaduan perpaduan yang inklusif.
Sekadar mempelawa pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara dan berada dalam Jawatankuasa Khas Menangani Covid19 tidak memadai dan tidak mampu membuahkan suasana politik yang aman dan nyaman buat negara sebagaimana dikehendaki Agong.
Penyelesaian untuk politik aman dan nyaman sehingga PRU15 akan datang hanya mungkin dapat dicapai dengan mengajak semua parti bergabung dalam sebuah kerajaan perpaduan agar semua pihak dapat menggembleng tenaga secara bersama menyelesaikan masalah dalam negara.
Lagi pun dengan membentuk kerajaan tipis hanya dengan 114 sokongan, sama seperti Mahiaddin sebelum ini, bersama pula watak beliau yang kemampuannya lebih diragui berbanding PM8, menawarkan kedudukan kepada pembangkang dalam sebuah jawatankuasa semata-mata bukanlah penyelesaiannya.
Mahiaddin sebelum ini pun mempelawa pembangkang menyertai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dipengeruskkan bekas Ketua Hakim, Ariffin Zakaria, lihatlah akhirnya apa jadi kepada peranan mereka?
Dijanjikan pada awalnya jawatankuasa tersebutlah yang akan menasihati Agong berkenaan bila darurat mahu ditamatkan, malangnya selain penamatan darurat tidak mengambil kira pandangan jawatankuasa itu, kedudukan Agong pun dibelakangkan bila kerajaan membuat keputusan mengenainya.
Jadi, apa jaminan pelawaan Ismail Sabri itu hanya seperti pencuci mulut yang nampak sedap dan manis, tapi tidak pun boleh mengenyangkan – sama seperti yang dilakukan Mahiaddin sebelumnya?
Yang paling ketara, di samping tidak memakai tanda nama di dadanya dalam kemunculan pertama ke seluruh negara, Ismail Sabri juga nampaknya tidak arif menyebut nama yang betul parti yang menyokong kuat dan paling awal mengangkatnya sebagai Perdana Menteri.
Tidak harus seorang Perdana Menteri menyebut nama Bersatu sekarang ini dengan sebutan PPBM, sedangkan semua orang tahu sebaik saja PH memenangi PRU14 lalu, nama Bersatu yang diharamkan penggunaannya ketika era Najib Razak dahulu telah pun dibenar menggunakan nama tersebut.
PPBM biasanya hanya menjadi sebutan pihak yang masih mahu memperkecilkan Bersatu seperti lazimnya dilakukan Zahid Hamidi dan Najib dalam posting di laman sosialnya.
Adakah Ismail Sabri secara tersirat juga mahu memperkecilkan Bersatu?
Kesimpulannya, dengan perutusan khas sulungnya yang gagal, tiada yang baharu dan tidak menjanjikan apa-apa harapan, Ismail Sabri tidak sepatutnya tergesa-gesa memunculkan dirinya secara langsung.
Seharusnya banyak kajian, penelitian dan pendapat mereka yang pakar digali terlebih dahulu agar penampilan pertamanya benar-benar ada ummphh serta kelainan.
Kalau sekadar seperti petang tadi, lebih baik dibuat dalam bentuk pdf saja. – ShahbudinHusin 22/08/2021.
0 comments:
Catat Ulasan