Kamu perompak, memalukan - Netizen Malaysia serang media sosial Ukraine
KUALA LUMPUR: Tindakan kem Ukraine yang melakukan protes pada final lontar peluru F20 mungkin menyaksikan mereka merangkul emas dan perak, namun itu memberi petanda bahawa mereka 'mencari pasal' dengan netizen Malaysia.
Susulan protes yang menyebabkan pingat emas yang dimenangi atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dibatalkan, 'tentera bawang' Malaysia terus berkerumun dan meninggalkan komen di laman media sosial yang memiliki kaitan dengan negara itu.
Antara laman sosial yang terkesan adalah laman rasmi negara terbabit, Ukraine UA dan Jawatankuasa Paralimpik Ukraine.
Pelayar Internet dari Malaysia 'membanjiri' ruang komen di kedua-dua laman sosial sebagai bantahan ke atas tindakan yang dilakukan atlet mereka pada temasya Paralimpik di Tokyo itu.
Rata-rata menyifatkan negara itu tidak mengamalkan semangat kesukanan, perompak dan melabel protes itu sebagai satu tindakan yang memalukan.
Terdahulu, kejayaan jaguh Ziyad meraih pingat emas 'dirompak' oleh protes yang dilakukan oleh kem Ukraine pada pentas final di Tokyo, sebentar tadi.
Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Berdasarkan semakan di laman Paralimpik Tokyo, ketiga tiga atlet terbabit mendapat status 'DNS' sekali gus menyebabkan mereka dianggap tidak layak beraksi sekalipun Ziyad sebelum itu memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter.
Bagaimanapun, protes terbabit menyaksikan apa yang dilakukan Ziyad pada pentas final tidak dikira.
Keputusan rasmi menyaksikan Ukraine yang melakukan protes berjaya meraih pingat emas dan perak bagi acara lontar peluru F20.
Susulan itu, pingat emas menjadi milik Maksym Koval yang melakukan catatan 17.34 meter sekali gus menjadi rekod dunia sementara pingat perak dirangkul Oleksandr Yarovyi yang mencatat balingan 17.30.
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan