Jumaat, 27 Ogos 2021

Kerajaan Baharu: Barisan kabinet baharu diumum hari ini

 


Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada Khamis. - Foto Istana Negara

PUTRAJAYA - Teka-teki barisan kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal terjawab pada Jumaat.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat pada jam 11 pagi dan disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM.

Menurut Pejabat Perdana Menteri lagi, majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri pula dijadualkan berlangsung pada Isnin depan, jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Ismail Sabri pada Khamis menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang bagi mempersembahkan senarai kabinetnya untuk diperkenankan.

Memetik kenyataan daripada Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima persembahan senarai kabinet baharu daripada Perdana Menteri.

Sesi menghadap pada Khamis adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas Muhyiddin melepaskan jawatan kerana hilang majoriti sokongan ahli Parlimen.

-SH Online

0 comments:

Catat Ulasan