Khamis, 19 Ogos 2021

Nama Dafi kembali berlegar dalam media sosial

NAMA Dafi (kiri) kembali menjadi sebutan netizen sejak malam tadi selepas bapanya, Ismail Sabri didakwa bakal dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

 PETALING JAYA – Gara-gara khabar angin Datuk Seri Ismail Sabri bakal menjawat jawatan Perdana Menteri (PM) kesembilan, nama anaknya yang juga penyanyi Dafi tular dalam media sosial sejak semalam.

Nama Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri, 33, tular selepas menjadi bahan bualan netizen sejak malam tadi selepas bapanya dikatakan berjaya memperoleh undian majoriti sebanyak 114 dan dikatakan layak untuk menjawat jawatan PM.

Selain nama Dafi, gelaran ‘Bapak Dafi’ yang diberikan kepada Ismail juga antara perkataan yang banyak diciap oleh pengguna Twitter.

Malah, selain gelaran tersebut, tagline yang digunakan Dafi ketika menyertai Akademi Fantasia musim kelima turut tular.

TANGKAP layar antara ciapan netizen mengenai Dafi dan bapanya yang tular sejak malam tadi

“Habislah tagline ‘baik punya’ dah terngiang-ngiang dalam kepala,” ciap seorang netizen.

Sebelum ini, Kosmo! pernah melaporkan Dafi lebih selesa mengambil pendekatan tidak membalas sebarang kata-kata negatif yang dilemparkan terhadap dia dan bapanya.

Hari ini, seramai 114 ahli Parlimen terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam lima sesi bagi membincangkan mengenai pemilihan calon PM yang mempunyai sokongan majoriti.

Untuk rekod, Ismail Sabri merupakan antara calon yang disebut-sebut bakal menduduki kerusi PM baharu.

Dalam senarai calon tersebut, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara pencabar terdekat bagi merebut jawatan berkenaan. – K! ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan