Kuala Lumpur: "Saya maafkan sesiapa saja dengan apa yang terjadi (fitnah gangguan seksual). Orang di luar sana mungkin boleh nilai sendiri," kata pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew.
Hari ini, Ebit, 36, dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, kejadian terbabit tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat sehingga akhir hayatnya.
"Alhamdulillah syukur, Allah SWT menentukan segala-galanya. Saya percaya hidup ini hanya satu tujuan untuk Allah sayang.
"Saya dipanggil bagi membantu siasatan atas tuduhan gosip di luar sana. Saya serahkan kepada polis sepenuhnya," katanya ketika ditemui media di luar pekarangan Bukit Aman di sini, sebaik Ebit selesai memberi keterangan pada 2 petang.
Sementara itu, peguam Ebit, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, beliau dan anak guamnya memberikan kerjasama sepanjang proses rakaman keterangan yang berjalan selama lebih satu jam.
Beliau berkata, pihaknya sudah menjawab segala persoalan bagi membantu siasatan berkenaan.
"Polis ada menyatakan beberapa seksyen untuk siasatan kes berkenaan namun pihak polis belum memberikan seksyen sewajarnya untuk siasatan kes ini.
"Setakat ini, polis memaklumkan tiada keperluan untuk memanggil semula anak guam saya," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai video lucah yang menunjukkan lelaki mirip pendakwah itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan polis sudah merakam keterangan Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut.
"Polis memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes ini dapat disiasat dengan telus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menasihati orang ramai untuk tidak membuat penyebaran apa juga bahan yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan