Khamis, 12 Ogos 2021

Inspirasi:Jadi jutawan tani selepas hampir gila dikhianati

Jadi jutawan tani selepas hampir gila dikhianati
Ahmad Shawal Mispan ketika ditemui di ladangnya di Banting, Selangor, 11 Ogos, 2021. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Usahawan tani ini nyaris gila pada 2011 sebaik syarikat kontraktor yang diusahakan sejak berusia 18 tahun, hampir gulung tikar gara-gara dikhianati.
Ahmad Shawal Mispan yang ketika itu berusia 27 tahun dan sedang seronok mengecap nikmat bergelar jutawan muda dengan memilki pelbagai aset serta kenderaan mewah, 'terduduk' apabila kehilangan jutaan ringgit dalam sekelip mata selain dihimpit masalah hutang.
Ia menyebabkan beliau mengalami tekanan perasaan melampau sehingga hilang pedoman dan melakukan perkara pelik termasuk mengasingkan diri di bawah jambatan, menyebabkannya dipandang serong oleh masyarakat.

 Namun, mujurlah bapanya Mispan Zaidin, 73, dan ibunya Siti Khatijah Musanif, 63, bertindak pantas 'menyelamatkannya' dan mengembalikan keyakinan sehingga beliau kembali bangkit dan bertatih menyertai bidang pertanian serta penternakan.

"Ibu bapa sedar diri saya yang mengalami tekanan mental, jadi mereka berusaha untuk 'tarik' saya kembali.
"Mereka bina kandang lembu hasil daripada jualan tanah di Negeri Sembilan dan saya jadikannya sebagai satu terapi. Hari-hari hidup saya hanya dengan lembu, bercerita dengan haiwan itu sehingga saya lupa dengan dunia luar dan masalah dihadapi sebelum ini," katanya yang kini berusia 37 tahun.
Selepas lapan bulan menyendiri dalam dunia tersendiri, semangatnya akhirnya pulih dan tanpa menoleh ke belakang, Ahmad Shawal yang merupakan anak kelahiran Tanjong Sepat, Banting, Selangor membuat keputusan untuk bergerak secara serius dalam bidang penternakan dan pertanian pada 2013.
"Ketika itu saya masih mempunyai tanah yang berkeluasan lapan hektar (20 ekar) di sekitar Banting, jadi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat bantu saya bangkit kembali dengan memberi pinjaman bercagar mengikut nilai pasaran tanah ketika itu.
"Dengan modal yang diberikan, saya mula membangunkan empayar dalam bidang penternakan dan pada masa sama perniagaan dalam bidang kontraktor diteruskan sehingga mendapat kembali kepercayaan daripada pelanggan," katanya yang juga merupakan pengasas Bumijaya Rezeki Sdn Bhd.
Percaturannya itu ternyata tepat apabila beliau kini bergelar jutawan halia dan lengkuas dengan memiliki ladang pertanian berkeluasan 80 hektar di Banting yang turut ditanam dengan pelbagai jenis tanaman lain seperti, kunyit, ubi kayu dan ubi keledek selain memiliki 0.8 hektar tanah untuk ternakan lembu.
Semua hasil tanaman itu, katanya dihantar ke pasar raya besar seperti Giant, Econsave, Tesco dan Sri Ternak Mart Sdn Bhd di seluruh negara serta Pusat Pengumpulan Hasil Ladang PPK Kuala Langat dan menjadi seorang daripada pembekal halia dan lengkuas utama di negeri ini.
Untuk perancangan masa hadapan, beliau yang banyak menerima bimbingan PPK Kuala Langat bercadang untuk mengusahakan penternakan ayam daging dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Walaupun saya hanya berkelulusan darjah enam dan pernah gagal, namun itu bukan batu penghalang untuk berjaya. Yang penting jangan putus asa, kena berfikiran positif dan mempunyai semangat kental untuk hadapi cabaran," katanya.
Enggan nikmat kejayaan itu dikecapi sendiri, Ahmad Shawal yang juga mesra dengan panggilan Boboy turut berganding bahu bersama PPK Kuala Langat dengan menjadi tenaga pengajar dalam bidang keusahawanan tani.
Ia bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan golongan muda khususnya agar mampu berdaya saing terutamanya dalam kalangan B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Sehingga kini, Ahmad Shawal yang merupakan anak keempat daripada sembilan adik-beradik itu mampu mengupah seramai 20 pekerja untuk menjaga ladang tanamannya dan ternakan lembunya.
-- BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan