Beberapa tahun dari sekarang, sarjana sains politik berpeluang mengkaji perancangan yang dilakukan Najib Razak sejak tahun lalu dalam kertas kajian bertajuk, “Bagaimana untuk gagal dalam menggulingkan kerajaan”.
Untuk beberapa bulan menuju peletakan jawatan Muhyiddin Yassin, Najib bertubi-tubi menyerang usaha kerajaan menguruskan krisis Covid-19, sambil mendakwa kaedah kerajaan menguruskan sebuah krisis global – yang menyebabkan negara maju pun melutut dalam kegagalan – “gagal segagal-gagalnya”, meminjam kata-katanya.
Hari ini, ketika kerajaan kembali kepada Perikatan Nasional yang menjadi sasaran Najib dan kuncu-kuncunya dalam usaha menggulingkannya, ungkapan yang sering diulang oleh tukang karutnya dalam hantaran media sosial ditumpukan pula kepada dirinya.
Sejak Oktober lalu, Najib dan panglimanya Ahmad Zahid Hamidi, dibantu seseorang yang boleh, patut dan akan – tetapi belum pernah – menjadi perdana menteri, sibuk menjejaskan setiap usaha kerajaan dalam melawan pandemik.
Najib sudah lakukan segalanya: daripada membuat ramalan hambar tentang program vaksinasi (“Bossku” pernah menganggarkan Malaysia akan mengambil masa sehingga enam tahun untuk capai sasaran imuniti kelompok), kepada pelbagai muat naik sinis dan gurauan di laman media sosialnya hampir setiap jam.
Kemuncaknya ialah apa yang boleh dianggap sebagai mercu tanda kegagalannya: ketika beliau dan sekumpulan ahli Parlimen Umno mengumumkan penarikan balik sokongan mereka sambil mengisytiharkan kerajaan tumbang, di waktu genting usaha melawan Covid-19.
Najib mungkin sudah terlebih sudu dari kuah dalam usahanya menjatuhkan Muhyiddin, seperti mana sikapnya ketika beliau tampak yakin dalam berdepan seorang lelaki berusia 93 tahun pada pilihan raya umum tiga tahun lalu.
Hakikatnya, Muhyiddin adalah orang sama yang pernah dipecat Najib pada 2016, dan dua tahun kemudian orang inilah menumbangkannya.
Kalau sudah kena main dengan penyangak berusia 30-an, kalau tak sedar akaun peribadinya menyimpan wang yang begitu banyak, dan kalau masih tidak dapat menjelaskan barangan kemas dan beg tangan isterinya yang boleh memuatkan beberapa biji lori, tidak perlulah berangan-angan untuk menjatuhakan seorang yang membuktikan bangkit semula bukan sekali, bukan dua kali, tetapi kini untuk kali ketiga.
0 comments:
Catat Ulasan