Selasa, 10 Ogos 2021

Parlimen: Lima sampel disahkan varian Delta - Dr Noor Hisham

Parlimen: Lima sampel disahkan varian Delta - Dr Noor Hisham
Noor Hisham Abdullah berkata, pengesahan itu hasil keputusan jujukan genom penuh yang dijalankan ke atas sampel tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lima sampel kes positif COVID-19 hasil ujian saringan di Parlimen baru-baru ini disahkan adalah daripada varian Delta.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kemas kini di laman Twitter berkata, pengesahan itu hasil keputusan jujukan genom penuh yang dijalankan ke atas sampel tersebut.
"Penjujukan genom penuh mengesahkan lima kes yang disyaki sebagai varian Delta sebelum ini hasil ujian RT PCR dengan nilai CT (Cycle Threshold) yang amat rendah, sekali gus menunjukkan kadar kandungan virus yang sangat tinggi.
"Varian Delta mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi berbanding bukan varian membimbangkan (VOC)," katanya dalam entri tersebut, hari ini.

 Sebelum ini, Dr Noor Hisham memaklumkan enam sampel kes positif COVID-19 daripada saringan di Parlimen berkemungkinan besar adalah varian Delta.

Katanya, varian itu dikesan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.
Setakat ini, sebanyak 85 kes positif COVID-19 yang disahkan dengan ujian RT-PCR telah dilaporkan membabitkan Parlimen.

Astro AWANI hari ini turut melaporkan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Jaimin Samitah dilaporkan meninggal dunia pada Isnin dipercayai akibat COVID-19.

DIfahamkan, Jaimin yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Sabah hadir ke Kompleks Parlimen sepanjang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 26 hingga 29 Julai lalu.
-AstroAwani

0 comments:

Catat Ulasan