Selasa, 24 Ogos 2021

Hari pertama Ismail Sabri sebagai PM – yang baik dan yang buruk

 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (berdiri tengah, berbaju putih) semasa lawatannya ke kawasan dilanda banjir di Yan, Kedah, semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob memulakan hari pertamanya sebagai perdana menteri semalam, yang tidak kurang sibuk bagi bekas timbalan perdana menteri itu.

Selepas masuk kerja pada 8.30 pagi di Perdana Putra, Ahli Parlimen Bera itu segera berangkat untuk lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan di Kedah untuk memeriksa kawasan yang dilanda banjir baru-baru ini.

Dalam tindakan umumnya yang pertama sebagai perdana menteri, beliau mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM78 juta buat mereka yang terjejas akibat banjir dengan keutamaan diberikan untuk pembaikan infrastruktur dan bantuan tunai segera bagi mereka yang mengalami kerosakan rumah.

Katanya, RM500 akan diberikan kepada setiap keluarga yang terjejas dan RM5,000 kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dalam banjir, manakala RM3 juta akan diperuntukkan untuk pembaikan rumah dan jalan raya.

Bagaimanapun, lawatan berkenaan menerima kecaman oleh warganet, yang pertama sekali mempertikaikan bagaimana papan tanda didirikan dengan segera oleh Pejabat Daerah Kuala Muda untuk menyambut perdana menteri.

Keutamaan Pejabat Daerah salah kata warganet, dengan papan tanda yang baharu dibina berkenaan kelihatan menonjol dalam latar belakang kemusnahan akibat banjir.

“Bayangkan pergi ke kawasan dilanda bencana dan perkara pertama yang difikirkan mereka adalah dirikan papan tanda untuk menyambut dan mengucapkan tahniah kepada perdana menteri,” kata @zahdIDGAF2 di Twitter.

Ini disusuli kritikan mengenai saiz rombongan Ismail dalam lawatannya dengan Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad; Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim antara yang dilihat turut serta.

Sebuah video yang disiarkan Berita Harian menunjukkan rombongan Ismail hanya mengamalkan sedikit penjarakan fizikal ketika beliau memeriksa jambatan yang rosak akibat banjir.

Berkenaan video itu, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mengingatkan polis, “… sementara menyiasat kes Dataran Merdeka, jangan terlupa video ini.”

Lewat hari sama, tersebar gambar penerbangan Ismail dalam Perdana 1, pesawat rasmi perdana menteri.

Satu gambar menunjukkan beliau disertai Tajuddin, Mahdzir dan Ahli Parlimen Kuala Krau Ismail Mohamed Said, mendedahkan rupa dalaman pesawat berkenaan yang jarang dilihat umum.

Dalam satu lagi gambar, makanan dilihat dihidangkan buat keempat-empat pemimpin Umno berkenaan dan ini mendapat komen Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir yang berkata, “bila dah boleh dine-in.”

Gambar terbaru yang menjadi tular menunjukkan Ismail mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin Umno, yang dipercayai diambil di Kedah semasa lawatannya.

Dengan jarak fizikal yang kecil antara mereka yang duduk di meja, Tajuddin dan Mahdzir khususnya tidak memakai pelitup muka ketika Ismail bercakap.

Warganet segera mengecam ketidakpatuhan terhadap SOP itu, termasuk Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran, yang berkata, “kerajaan baharu? Sama sahaja, terang-terang tak endahkan SOP.”-FMT

0 comments:

Catat Ulasan