PETALING JAYA – Media sosial petang ini kecoh apabila pengguna Maybank gagal menggunakan kad debit atau baki di dalam akaun bank mereka hilang.
Tinjauan Kosmo! mendapati akaun media sosial rasmi milik Maybank turut ‘diserang’ oleh pengguna akibat daripada masalah itu.
Rata-rata pengguna mendakwa, kesemua transaksi mereka secara dalam talian ataupun di kaunter pembayaran tidak berjaya.
Malah, ada juga yang panik selepas menyemak baki di dalam akaun bank mereka dan mendapati wang mereka ‘hilang’.
“Kenapa dengan Maybank? Tengok tadi ada duit, sekarang dah kosong. Dalam tabung pun, tengah nak guna duit ni,” kata Julyana.
“Dua kali nak guna kad debit, tapi tak berjaya. Terpaksa pakai kad lain, tiba-tiba Maybank kasi notifikasi transaksi yang gagal tadi berjaya,” kata Fitri.
“Terkejut sangat buka Maybank tengok duit semua hilang. Semak di Twitter, sah Maybank tengah ‘down’,” kata Faiz.
Sementara itu, Maybank dalam satu kenyataan di Twitter rasminya tadi memaklumkan, penggunaan kad debit tergendala seketika dan Maybank juga sedang berdepan masalah teknikal di aplikasi miliknya iaitu MAE, M2U MY dan lama web Maybank2u.
“Kami meminta maaf atas kesulitan yang berlaku dan sedang berusaha menyelesaikan masalah ini segera. Terima kasih atas kesabaran anda,” katanya. – KOSMO! ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan