Sabtu, 14 Ogos 2021

Pembukaan sekolah: Tak perlu tunggu semua divaksin, risiko jangkitan rendah - Pakar

 Pembukaan sekolah: Tak perlu tunggu semua divaksin, risiko jangkitan rendah - Pakar

Yang perlu dipastikan sudah lengkap divaksin ialah guru-guru dan kakitangan sekolah. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sesi persekolahan secara berperingkat bermula 1 September ini tidak perlu ditangguhkan sehingga semua pelajar selesai divaksin.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berpendapat, ini kerana risiko jangkitan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak adalah rendah, berbanding manfaat pembelajaran yang akan diterima mereka apabila mengikuti sesi persekolahan seperti biasa.
"Kalau kita lihat kajian yang dibuat di beberapa negara, kes jangkitan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak tidak sampai pun 10 peratus. Malah kes kematian juga hanya dua kes bagi setiap sejuta kematian. Mereka yang dijangkiti pula, kebanyakannya mengalami gejala yang tidak serius.
"Yang perlu dipastikan sudah lengkap divaksin ialah guru-guru dan kakitangan sekolah, dan saya lihat proses itu sudah berjalan sekarang.
"Tetapi bagi kes remaja atau kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan atau obesiti, perlu diberi perhatian dan mungkin mereka perlu divaksin sebelum kembali ke sekolah. Tetapi bagi pelajar lain, tidak perlulah tunggu semua divaksin barulah sekolah dibuka," katanya kepada Astro AWANI.
Dr Syed Mohamed Aljunid juga menegaskan perkara ini perlu dinilai dengan teliti terutama sekali kerana Malaysia sebagai sebuah negara membangun, turut berdepan dengan risiko kekurangan bekalan vaksin.
"Kerajaan sudah umumkan akan menilai kemungkinan mewajibkan vaksin, jadi pemberian vaksin kepada remaja dan kanak-kanak perlu dilihat bagi memastikan tiada isu bekalan vaksin tidak mencukupi," ujarnya.
Beliau juga memahami kebimbangan ibu bapa namun melihat mereka juga perlu memikirkan manfaat untuk anak-anak apabila kembali ke sekolah.
"Kita faham kebimbangan itu tetapi ibu bapa perlu faham yang risiko untuk berlaku jangkitan dalam kalangan pelajar adalah rendah. Dan jika ibu bapa sendiri sudah divaksin, itu lebih mengurangkan lagi risiko.
"Manfaat pembelajaran di sekolah jauh lebih tinggi daripada risiko jangkitan," katanya lagi.
Vaksin COVID-19 | Vaksinasi untuk remaja 12 hingga 17 tahun akan dimulakan
-AstroAwani

0 comments:

Catat Ulasan