Isnin, 2 Ogos 2021

Covid19: Budak 8 tahun punca kluster baharu di Kelantan dan 13 individu sudah dijangkiti

 Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun menjadi punca tercetusnya Kluster Kampung Tok Jenuh Mahligai di Bachok, Kelantan. - Foto NSTP

Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun menjadi punca tercetusnya Kluster Kampung Tok Jenuh Mahligai di Bachok, Kelantan. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun menjadi punca tercetusnya Kluster Kampung Tok Junuh Mahligai di Bachok, Kelantan yang kini sudah menjangkiti 13 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes indeks mula mengalami gejala pada 25 Julai lalu, sebelum disahkan dijangkiti COVID-19 empat hari kemudian hasil saringan individu bergejala.

"Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Tok Junuh Mahligai, Melor, Bachok.

"Sehingga kini, seramai 28 individu sudah disaring dengan 13 daripadanya dijangkiti virus," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, kluster komuniti itu adalah satu daripada 23 kluster baharu yang dikesan hari ini.

"Terdapat 11 kluster baharu hari ini membabitkan tempat kerja, lapan dalam kalangan komuniti, dua kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu institusi pendidikan dan pusat tahanan," katanya.

Mengenai kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata penularan COVID-19 di negara ini masih mencatat angka harian lebih 17,000 kes iaitu 17,150 kes baharu dilaporkan dengan 160 kematian.

"Semua negeri dan Wilayah Persekutuan mencatat kes baharu, termasuk lima yang merekodkan angka harian empat angka.

"Selangor masih mencatat jumlah tertinggi dengan 6,326 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,086), Kedah (1,511), Johor (1,045) dan Sabah (1,002). Seterusnya, Negeri Sembilan (809), Pulau Pinang (752), Perak (693), Melaka (686), Pahang (676), Sarawak (578), Kelantan (459), Terengganu (429), Putrajaya (72), Perlis (21) dan Labuan (lima)," katanya.

-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan