Selasa, 3 Ogos 2021

Pemuda hasilkan laman web bantu peniaga kecil pasar produk

 Muhd Al Mubarak menunjukkan laman web yang dibangunkannya untuk membantu peniaga kecil yang terkesan dengan Covid-19. Foto Ihsan Muhd Al Mubarak Bahauddin

Muhd Al Mubarak menunjukkan laman web yang dibangunkannya untuk membantu peniaga kecil yang terkesan dengan Covid-19. Foto Ihsan Muhd Al Mubarak Bahauddin

Alor Setar: Menyedari kepayahan dilalui peniaga kecil dalam tempoh pandemik Covid-19 memberi ilham kepada seorang pemuda, Muhd Al Mubarak Bahauddin untuk membangunkan laman web bagi membantu mereka itu.

Muhd Al Mubarak, 24, berkata, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu sembilan rakan pasukan untuk membangunkan laman web yang dikenali sebagai hantarla.com yang boleh mula diakses pada 20 Julai lalu.

Dia mengakui sudah lama bercadang untuk mewujudkan laman web itu tetapi terpaksa ditangguh kerana kekurangan dana dan gembira apabila ia akhirnya dapat direalisasikan.

"Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu, saya lihat ramai peniaga terkesan terutama ketika Ramadan kerana tidak dapat membuka premis dan gerai seperti sebelumnya.

"Tak dinafikan ada yang mempromosikan barangan jualan di Facebook (FB) dan sebagainya namun capaian itu ada agak terhad serta tidak mencapai radius kawasan yang luas.

"Jadi, saya rangka pelan dan wujudkan satu laman web untuk bantuan bagi memberi alternatif kepada peniaga kecil memasarkan seterusnya menjual produk masing-masing," katanya ketika dihubungi Harian Metro

Menurut Muhd Al Mubarak, setakat ini lebih 120 peniaga sudah mendaftar dan memanfaatkan laman web itu dengan majorititinya memasarkan produk makanan.

Katanya, buat masa ini pihaknya memberi tumpuan kepada peniaga di utara terutama di Alor Setar tetapi akan mengembangkannya ke seluruh negara secara berperingkat.

"Tiada syarat ketat ditetapkan kepada peniaga dan mereka juga tidak dikenakan bayaran untuk memasarkan produk di laman web.

"Ia seiring dengan matlamat kita untuk membantu cuma produk dipasarkan hendaklah berkualiti supaya mereka berpeluang mendapat pelanggan tetap.

"Tiada had harga jualan maksimum ditetapkan untuk peniaga dan perancangan akan datang adalah mengajak pengusaha farmasi dan gajet turut sama memasarkan produk di laman web, hantarla.

"Alternatif ini diharap membantu semua peniaga meneruskan jualan walaupun dalam tempoh premis tertentu tidak dapat dibuka berikutan pelaksanaan PKP," katanya

-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan