Selasa, 1 Mac 2022

1MDB: Dah tahu ada transaksi mencurigakan kenapa BNM ‘bisu’, soal Anwar

 

Bila satu institusi induk melepaskan tanggungjawab pengawasan, maka semuanya akan ambil kesempatan dan jadilah antara skandal skala besar di dunia, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa individu dalam Bank Negara (BNM) dipercayai bersekongkol berhubung kes transaksi mencurigakan milik Tawfiq Ayman, susulan tindakan bank pusat itu berdiam diri selepas mendapat maklumat daripada pihak berkuasa Singapura, dakwa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Ketika membahaskan pendedahan bekas eksekutif Goldman Sachs Tim Leissner, mengenai pembabitan BNM dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Anwar berkata, walaupun terdapat penafian daripada Tawfiq, yang juga suami bekas Gabenor Zeti Akhtar Aziz, berhubung pembabitan dalam skandal itu, ia bertentangan dengan pendedahan diberitahu Leissner kepada mahkamah di New York.

“Walaupun ada penafian daripada Tawfiq, tetapi ini tidak boleh menidakkan apa yang disiarkan oleh keterangan dari Singapura. Polis Singapura memaklumkan Malaysia mempunyai transaksi mencurigakan membabitkan syarikat milik suami dan anak melibatkan bekas Gabenor BNM (Zeti).

Maklumat ini dikongsi pihak Singapura pada 2015 dan 2016. Ini maknanya, ada kecurigaan berlaku, mengapa hal ini dibekukan (ditutup) seolah-olah ada sekongkol antara beberapa kalangan di BNM sekarang dengan apa yang berlaku sebelumnya,” katanya di Kamar Khas Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mendakwa, BNM juga sudah dibekalkan maklumat awal bahawa terdapat akaun UBS bawah nama sebuah syarikat milik suami Zeti, bagaimanapun, tiada tindakan atau siasatan dilakukan.

Tegasnya, integriti BNM sebagai sebuah institusi kewangan terulung tercemar kerana tiada kesungguhan membongkar dan menyiasat walaupun mempunyai keupayaan berbuat demikian.

“Tetapi, BNM walaupun ia sudah didedahkan awal lagi seawal 2008/2009 tetapi tidak dimaklumkan sehingga 2015/2016…penyiasat di Malaysia dan Amerika Syarikat (yang) melancarkan siasatan dan kita sedia maklum laporan yang diterbitkan DOJ umpamanya.

“Ada hal-hal lain yang terlibat oleh kerana kecuaian institusi termasuk BNM yang kita anggap harus ada integriti dan pengalaman saya sepanjang jadi menteri kewangan memang saya akui BNM tentang integritinya di dalam negara dan antarabangsa, tetapi tercemar bila tidak ada kesungguhan membongkar, padahal kita tahu BNM ada keupayaan melakukannya,” katanya.

Anwar berkata, sebagai bank pusat negara, mustahil BNM tidak mengetahui sebarang urus niaga atau aliran wang keluar masuk lebih-lebih lagi melibatkan jumlah besar.

“Soal pengaliran wang keluar bawah tanggungjawab BNM dan tidak boleh dilepaskan begitu saja….bila satu institusi induk melepaskan tanggungjawab pengawasan, maka semuanya akan ambil kesempatan dan jadilah antara skandal skala besar di dunia,” katanya.

Justeru, beliau menuntut BNM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menjalankan siasatan menyeluruh, sekiranya terdapat tindakan selain proses siasatan yang sudah dilaksanakan.

“Apa yang kita minta mesti ada penjelasan dan paling utamanya siasatan yang menyeluruh.. belum ada penegasan dari BNM, LHDN, SPRM dan polis.

“Kita mahu penjelasan dan apa tindakan telah diambil dan maklumat yang telah diperolehi dan apakah ada tindakan selain proses siasatan. Sudah lebih 10 tahun berlalu, kita tidak boleh dapatkan penjelasan daripada pihak berkenaan (sama ada) siasatan akan diteruskan,” katanya.

Dalam keterangannya pada perbicaraan kes rasuah bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng di New York minggu lalu, Leissner memberitahu juri, bahawa BNM meluluskan pindahan tukaran mata wang asing sebanyak USD1 bilion “dalam tempoh semalaman” daripada 1MDB kepada PetroSaudi International selepas suami Zeti, “menerima rasuah untuk melaksanakannya”.

Bagaimanapun, apabila ditanya oleh pendakwa, Leissner tidak dapat mengesahkan sama ada rasuah itu telah dibayar. Suami Zeti, Tawfiq, menafikan dakwaan itu.

Leissner menyifatkan kepantasan BNM memberi kelulusan pindahan itu sebagai sesuatu yang “tidak pernah berlaku” disebabkan dasar kawalan modal yang dilaksanakan pada 2009.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan