Jumaat, 6 Ogos 2021

Peguam rugi hampir RM260,000 ditipu Macau Scam

 - Hiasan

- Hiasan

GEORGETOWN: Seorang peguam kerugian RM259,900 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa kononnya lelaki itu terbabit dalam kes dadah di samping mempunyai tunggakan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, peguam berusia 40 tahun dan mempunyai pejabat guaman di Bukit Mertajam, mendakwa ia bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mengaku pegawai LHDN.

Katanya, suspek mendakwa peguam itu kononnya mempunyai tunggakan cukai RM32,000, sebelum panggilan itu disambungkan kepada lelaki mengaku pegawai polis, yang memberitahu peguam itu terbabit kes jenayah.

Peguam yang ketakutan dan bimbang ditahan polis itu kemudian mengikut arahan suspek dengan melakukan pindahan wang secara berperingkat berjumlah RM259,900 ke tiga akaun berbeza, sebelum gagal menghubungi semula 'pegawai polis' berkenaan," katanya.

Mohd Rosni berkata, peguam itu kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam dan semakan ke atas tiga nombor akaun digunakan suspek untuk mangsa memindahkan wang itu dipercayai ia milik keldai akaun.

"Setakat ini tiada laporan polis ke atas tiga nombor akaun itu, namun nombor telefon yang digunakan sindiket bersangkut dengan tiga laporan di Dato Keramat, Bukit Mertajam serta Nilai, Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu. - BERNAMA


0 comments:

Catat Ulasan