Khamis, 5 Ogos 2021

'Transporter' pekerja seks:Isu Berkaitan Selebriti Di Tahan Polis

POLIS menemui pelbagai bahan bukti dengan penahanan selebriti terbabit.
POLIS menemui pelbagai bahan bukti dengan penahanan selebriti terbabit.

Kuala Lumpur: Seorang selebriti lelaki berusia 40-an yang ditahan polis berhubung kegiatan pemerdagangan manusia dipercayai terbabit dengan khidmat seks di hotel dengan bayaran melebihi RM1,000 untuk tempoh lapan jam.

Sumber berkata, siasatan polis mendapati artis lelaki terbabit berperanan sebagai 'penghantar' pekerja seks yang terlebih dahulu ditempah secara dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, artis lelaki terbabit mengambil pekerja seks itu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum membawanya ke sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Ahad lalu.

"Soal siasat terhadap wanita ditahan itu mendakwa dia terbabit dalam kegiatan pelacuran dikendalikan seorang ejen bernama Kevin yang berperanan mempromosikan khidmat seks melalui pelbagai aplikasi media sosial.

"Biasanya pelanggan yang berminat diminta mendepositkan wang ke dalam akaun bank diberikan Kevin untuk melanggan pelacur," katanya.

Menurutnya, artis lelaki itu yang mendakwa kekasih wanita terbabit berperanan sebagai transporter untuk menghantarnya kepada pelanggan yang menanti di hotel.

"Tangkapan dilakukan bukan secara kebetulan berikutan polis merancang rapi dan mengadakan operasi khas bagi membongkar aktiviti pemerdagangan manusia itu untuk tujuan eksploitasi seks.

"Hasil penahanan itu, polis menemui pelbagai barang bukti antaranya telefon pintar, kondom dan wang disyaki hasil kegiatan jenayah itu," katanya.

Dalam kejadian 10 pagi Ahad lalu, polis menahan artis itu selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks dalam sekatan jalan raya di Ulu Bendul, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, susulan tangkapan itu pihaknya berjaya menyelamatkan seorang wanita di sebuah bilik hotel berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

"Mangsa yang diselamatkan mendapat perintah perlindungan sementara dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor," katanya.

Amran berkata, lelaki itu kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selain dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

"Siasatan lanjut berkaitan kes ini diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang ini," katanya.-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan