Minda Presiden PAS
NEGARA ISLAM SEKULAR DIIZINKAN OLEH PENJAJAH
Snouck Hurgronje ialah seorang tokoh orientalis yang terkenal, khususnya pada masa penaklukan Acheh oleh kolonial Belanda. Dia mengkaji tentang masyarakat Islam khususnya di Acheh, sehingga menguasai budayanya dan membantu Belanda menguasai sebahagian daripada wilayah Acheh.
Sebelum itu, dia pernah ke Makkah demi mempelajari Islam dan mengkaji kehidupan masyarakat di sana. Kemudiannya, dia banyak menghasilkan penulisan berkenaan Islam untuk kajian para penjajah terhadap Islam. Dia pernah membuat kenyataan yang bermaksud:
“Tidak berbahaya sekiranya dibiarkan umat Islam beribadat sahaja, namun sangat bahaya jika mereka berpolitik kembali semula bagi menegakkan kerajaannya. Tidak berbahaya jika ulama’ hanya mengajar agama sahaja tanpa mengajar tentang politik. Adalah sangat berbahaya jika membawa trend untuk kembali semula kepada pemerintahan Khilafah (politik Islam).”
Lord Cromer iaitu seorang Gabenor Inggeris di Mesir dan Sudan pernah menegaskan dalam tulisannya:
“…bahawa tanah jajahan yang diberi kemerdekaan itu, perlu diserahkan kepada anak negeri yang dapat melangsungkan dasar-dasar dan polisi yang menjaga kepentingan dan keselamatan Barat.”
Di sana terdapat banyak lagi kenyataan yang lain, tetapi semua itu sama sahaja maksudnya semata-mata untuk menghalang Islam daripada kembali memerintah negara dan kembali semula menjadi penyelamat umat manusia. Sikap yang sama sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh umat terdahulu yang menentang petunjuk Allah SWT iaitu Islam. Agama sempurna yang menjadi perjuangan para anbiya’ AS.
Firman Allah SWT:
﴿كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ٢١٣﴾
“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tiada yang berselisih itu melainkan orang-orang yang telah diberikan kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri). Maka, Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).” (Surah al-Baqarah: 213)
Langkah untuk memurtadkan umat Islam secara total daripada agamanya, dianggap suatu usaha yang mustahil oleh Barat. Lalu, Barat mengubah pendekatan yang dirancang supaya Islam tidak lagi berkuasa dengan mengambil pendekatan sekularisme, apabila kuasa Islam disempitkan hanya dalam urusan ibadat, diri dan kekeluargaan.
Adapun kuasa pentadbiran negara sepenuhnya dipegang oleh petugas yang dilantik oleh penjajah yang menguasai urusan kehidupan yang lebih luas dalam masyarakat. Inilah pendekatan yang dilaksanakan melalui konsep sekularisme secara halus, sehingga membawa kepada penjajahan pemikiran dan kefahaman dalam masyarakat Islam yang sebahagian besarnya jahil berkenaan agama sendiri.
Seterusnya diatur perancangan melalui aspek pentadbiran, pelajaran, pendidikan dan media. Maka, akhirnya berlakulah perkara yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ.
“Sungguh kalian akan terpengaruh dengan perjalanan kalangan yang terdahulu daripada kalian (Yahudi dan Kristian), sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan mengikuti mereka juga.” (Riwayat al-Bukhari 3456 dan Muslim 2669)
Maka, dilaksanakan agenda pemisahan politik daripada agama yang dilakukan oleh agama kitabi dengan meninggalkan ajaran Islam yang sempurna oleh para Rasul. Kemudiannya, agenda tersebut dilaksanakan terhadap masyarakat dan umat Islam di tanah air yang telah dijajah itu.
Selepas itu, menjadi suatu syarat penting bagi kemerdekaan tanah air Islam yang dijajah dengan menegakkan sebuah negara Islam sekular yang memisahkan politik daripada agama. Dengan erti kata yang lain ialah mengekalkan sistem pemerintahan yang dilaksanakan oleh penjajah ketika penaklukan mereka, atau tidak memilih sistem pemerintahan Islam yang memerintah dan mentadbir, tetapi Islam yang ditadbir tanpa mempunyai kuasa atau terus ditinggalkan Islam tanpa sebarang peranan dalam pentadbiran negara.
Semua kerajaan yang ditubuhkan selepas peninggalan penjajah diatur mengikut sistem sekular dengan meminggirkan kumpulan Islam yang memulakan perjuangan menentang penjajah. Bahkan, semua parti Islam yang memenangi pilihan raya secara demokrasi turut dibatalkan.
Antaranya seperti kerajaan yang dibentuk oleh Parti Islam Majlis Syura Muslimin (Masyumi) di Indonesia yang memenangi Pemilu pada tahun 1955 telah dijatuhkan. Selain itu, Pilihan Raya Majlis Perbandaran di Algeria pada tahun 1990 juga dibatalkan selepas parti Islam mendapat kemenangan yang lebih besar.
Dalam pada itu, kerajaan pilihan rakyat di Mesir juga digulingkan apabila ia dikuasai oleh kumpulan Islam. Termasuklah sebelum itu, kemenangan Hamas di Gaza tidak diiktiraf kerana dasar Islamnya. Terkini pula kerajaan Tunisia yang didominasi oleh Parti Islam al-Nahdah dibubarkan.
Apabila penjajah British meninggalkan Yaman Selatan, ditinggalnya di bawah pemerintah Komunis Marxis walaupun kumpulan itu dianggap musuh kepada blok Barat. Maka menjadi satu-satunya negara komunis di tengah-tengah negara Arab, sehingga mereka berkuasa dalam tempoh masa yang lama.
Kemudian kerajaan tersebut digulingkan oleh rakyatnya dan terus menjadi medan perang proksi dalam kalangan kuasa besar sehingga kini. Ini bertujuan bagi menghalang tertegaknya sebuah negara Islam yang dianggap menjadi ancaman kepada Barat dan sekutunya, Israel.
Setelah wilayah Islam di Asia Tengah bebas daripada pengaruh blok Komunis, Ehud Barak iaitu mantan Perdana Menteri Israel membuat kenyataan terbuka mengenai kebimbangan wilayah tersebut kembali dikuasai oleh kumpulan Islam.
Kita dapat menyaksikan selepas itu hanya penubuhan negara sekular sahaja yang diizinkan berlaku, sama ada negara tersebut bergabung dengan blok Timur atau blok Barat dalam bentuk baru.
Selepas majoriti Islam rakyat Bosnia-Herzegovina berjaya membebaskan diri daripada cengakaman blok Sosialis, mereka terus berjuang dengan tidak menyerah kalah. Apabila terdapat tanda-tanda kemenangan, maka berlakulah campur tangan yang memaksa supaya kemerdekaannya tidak wujud sebagai sebuah negara Islam yang sebenar di tengah-tengah Eropah.
Pemimpin utama negara Bosnia-Herzegovina, Ali Ezzat Begovic terpaksa menerima syarat memerintah sebuah negara sekular yang sangat bercanggah dengan perjuangannya.
Berlaku satu peristiwa ketika dirinya sudah terlewat datang ke masjid untuk mendirikan solat Jumaat, tiba-tiba diarahkan para jemaah yang memenuhi masjid untuk memberikan laluan kepadanya berada di saf paling hadapan. Ketika itu, Almarhum berpaling kepada orang ramai, lalu berkata:
“Inilah kelemahan pertama demokrasi Barat.”
Negara Turki selepas kejatuhan Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah, telah dipinda perlembagaannya oleh Mustafa Kamal Ataturk bagi mempertahankan prinsip dan konsep sekularisme yang dilindungi oleh tentera yang merampas kuasa. Ia dilakukan kerana bimbang sekiranya Turki berubah untuk kembali kepada Islam. Mantan Perdana Mneteri Turki, Almarhum Adnan Menderes yang berjaya memenangi pilihan raya sekitar tahun 60-an dijatuhkan hukuman mati oleh tentera, kerana beliau menunjukkan perubahan Turki untuk kembali kepada Islam.
Almarhum Prof. Najmuddin Erbakan bersama partinya yang berjaya menuju ke arah Islam juga digulingkan beberapa kali, sekalipun berada dalam sebuah kerajaan campuran bersama-sama parti-parti sekular. Almarhum telah menubuhkan parti baharu berulang kali setelah dibebaskan daripada tahanan, namun terus-menerus digulingkan beberapa kali kerana ternyata beliau mahu mengembalikan Turki kepada Islam.
Akhirnya, Recep Tayyip Erdogan yang mengubah pendekatan parti AK, membuat janji kepada para Jeneral bagi mempertahankan sistem sekular dan benar-benar mengamalkan demokrasi. Setelah mengambil langkah dan pendekatan memberikan hak demokrasi yang sebenar kepada Islam untuk diamalkan secara sistem sekularisme, maka telah mencetuskan kebangkitan semula kepada Islam. Lalu, akhirnya dirancang satu lagi siri rampasan kuasa tentera, namun usaha itu gagal menghalang kebangkitan rakyat yang menghadapinya.
Islam ditentang tanpa mengira mazhab. Shah Iran, Reza Shah Pahlavi yang memerintah secara diktator diiktiraf kerana pegangan sekularnya, sehingga berlaku perubahan melalui Revolusi Islam Iran yang menjatuhkannya. Adapun negara Iran yang berubah kepada amalan demokrasi pilihan rakyat ditentang dan dikepung habis-habisan, bukan kerana Syiah yang menjadi mazhabnya, tetapi kerana Islam yang menjadi pegangannya.
Begitu juga, langkah bagi menentang penubuhan kerajaan Islam di Afghanistan oleh kumpulan Mujahidin dan terkini Taliban, ditentang habis-habisan atas nama menentang memerangi keganasan, walaupun Barat juga menyerang dengan cara yang paling ganas dan melampau.
Semua senario yang berlaku menunjukkan penipuan slogan demokrasi purba, iaitu suara rakyat, suara Tuhan atau suara rakyat, suara keramat yang diucapkan oleh pendukung sekular yang menolak kuasa agama dalam politik. Ternyata bahawa para pemimpinnya berlagak menjadi Tuhan yang berkuasa dan melakukan apa sahaja bagi mendapatkan dan mengekalkan kuasanya. Sama ada melalui cara rasuah, menipu, sehinggalah cara kekerasan atas nama undang-undang ciptaan mereka sendiri.
Firman Allah SWT:
﴿أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ٢١﴾
“Apakah patut mereka mempunyai sembahan-sembahan yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan sekiranya tiada ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah), tentulah mereka (yang berbuat demikian) dijatuhkan azab dengan serta-merta. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang amat pedih.” (Surah al-Syura: 21)
Walaupun demokrasi moden melakukan perubahan daripada demokrasi purba yang bohong dengan slogan asalnya terdahulu, namun perubahan selepas Revolusi Perancis berlaku setelah para orientalis mengkaji fiqh politik Islam daripada segala mazhabnya. Namun, rakyat tidak mendapat hak mereka yang sebenarnya sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Islam bahawa hak rakyat tetap diberikan, tetapi hak Allah yang Maha Berkuasa mengatasi segala kuasa para pemimpin.
Negara Sosialis dan Komunis meletakkan perkataan demokrasi dan rakyat pada jenama negaranya, tetapi mereka tetap melaksanakan pendekatan ‘dictatorship’ (pemerintah secara kuku besi) yang memaksa rakyat lebih kejam daripada demokrasi Barat yang liberal.
Sikap ‘double standard’ bukan sahaja dilakukan terhadap Islam yang tidak diberikan hak oleh demokrasi sekular, bahkan rakyat mereka yang percaya kepada sistemnya juga menjadi mangsa penyelewengan demokrasi yang tiada kuasa agama dapat mengatasinya.
Kita baru sahaja menyaksikan contoh bagaimana cara samseng digunakan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang dianggap sebagai model demokrasi di negara Barat yang paling maju. Pada masa yang sama, munculnya fahaman liberal yang melampaui sempadan sifat fitrah manusia atas nama kebebasan dan hak yang dikatakan hak asasi.
Namun begitu, ia telah merosakkan sifat kemanusiaan yang mulia yang dikurniakan oleh Allah SWT. Apa yang berlaku adalah keruntuhan jati diri dan kemusnahan institusi kekeluargaan yang boleh meruntuhkan kehidupan bermasyarakat madani dan juga menempah kemusnahan alam. Sehingga keadaan tersebut menjadikan manusia lebih sesat daripada binatang yang tidak berakal. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ١٧٩﴾
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ayat-ayat Allah); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘raf: 179)
Adapun negara Islam yang meneruskan warisan para penjajah menghadapi masalah yang sama dengan negara pencipta teori dan ideologinya, bahkan semakin menambahkan masalah dan terus lemah tidak membangun menjadi negara yang maju dan kuat.
Maka, sudah tiba masanya untuk semua kembali ke pangkal jalan Islam yang sempurna. Agama yang telah terbukti kejayaannya, apabila manusia berpegang dengan teguh kepada syariat Islam dan mulia bersama dengannya. Terbukti juga kesesatan teori dan ideologi selain daripada Islam, sehingga telah menunjukkan akibat mendapat kehinaan di dunia sebelum kehinaan di akhirat kelak.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Zulhijjah 1442 / 1 Ogos 2021
Sumber:Fb Abdul Hadi Awang
0 comments:
Catat Ulasan