Khamis, 7 Oktober 2021

Tarik sokongan:Noor Effandi gugur keahlian sebagai ahli Bersatu

 ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. FOTO  SYAFEEQ AHMAD

ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Kuala Lumpur: Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad gugur secara serta-merta di bawah Fasal 10 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Biro Politik Bersatu membuat ketetapan bahawa Noor Effandi gugur keahliannya secara serta-merta susulan tindakannya menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka.

Menurutnya, ketetapan itu akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan datang.

"Biro Politik Bersatu bermesyuarat pada hari ini untuk membincangkan perkembangan politik terkini di Melaka.

"Biro Politik Bersatu melahirkan rasa amat kecewa dengan tindakan empat Adun Melaka yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka ketika rakyat sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Hamzah berkata, Biro Politik Bersatu berpendapat kemelut politik itu berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu.

Beliau berkata, ia bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara pada ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan.

Menurutnya, Biro Politik Bersatu berpendirian bahawa kemelut politik di Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan