Sabtu, 6 November 2021

PRN Melaka:BN pertaruhkan 86 peratus muka baharu, kekalkan 4 penyandang

 DATUK Seri Mohamad Hasan bersama Datuk Seri Najib Razak bersama sebahagian pemimpin Barisan Nasional (BN) mengadakan sidang media Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

DATUK Seri Mohamad Hasan bersama Datuk Seri Najib Razak bersama sebahagian pemimpin Barisan Nasional (BN) mengadakan sidang media Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

Melaka: Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu di samping mengekalkan empat penyandang untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengumumkan calon berkata empat penyandang berkenaan ialah Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Datuk Rahmad Mariman, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Datuk Zaidi Attan.

Muhammad Jailani sebelum ini menang di Dewan Undang Negeri (DUN) Rembia atas tiket PKR pada Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum meninggalkan parti dan menyertai UMNO pada 1 Januari lalu.

"Kita mencalonkan 20 kerusi UMNO, tujuh MCA dan satu MIC pada PRN kali ini," katanya dalam majlis pengumuman calon di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir kepimpinan komponen BN termasuk Datuk Seri Wee Ka Siong dan Penasihat BN Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh buat pertama kali dicalonkan bertanding di kerusi Tanjung Bidara, manakala timbalannya yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad diberi tugas menggalas cabaran di kerusi Sungai Udang.

Pengumuman itu juga menyaksikan tujuh penyandang - Datuk Ismail Othman (Kuala Linggi), Datuk Md Rawi Mahmud (Tanjung Bidara), Datuk Amirudin Yusof (Ayer Limau), Datuk Latipah Omar (Taboh Naning), Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (Asahan), Datuk Ghazale Mohamad (Rim), Datuk Roslan Ahmad (Merlimau) dan Datuk Hasan Abd Rahman (Sungai Rambai) digugurkan pada PRN ini.

Mohamad yang juga Pengarah PRN Melaka berkata 86 peratus muka baharu termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang dinamakan bagi kerusi Rim, Ketua Pemuda UMNO Melaka Fairul Nizam Roslan (Asahan) dan Rosli Abdullah (Kuala Linggi).

Hameed Mytheen Kunju Basheer (Ayer Limau), Zulkiflee Mohd Zain (Taboh Naning), Dr Muhamad Akmal Saleh (Merlimau) dan Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai) turut disenaraikan.

"Kita ketengahkan calon yang sebahagian besarnya berusia di bawah 50 tahun, PRN kali ini juga mengetengahkan lima calon wanita," kata Mohamad yang menegaskan BN akan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN secara bersendirian dan menggunakan logo sendiri.

-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan