Jumaat, 12 November 2021

Najib dakwa PM8 cuba pesong sejarah, lupa 1MDB sejarah skandal terbesar dunia

 

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digiring oleh pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dibawa ke mahkamah pada 4 Julai 2018 bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah dan rasuah berkaitan syarikat SRC International.

Datuk Seri Najib Razak tidak mengulas pelbagai kisah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditulis adiknya Datuk Seri Nazir, sebaliknya menuduh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjaja cerita dongeng dan cuba memesongkan sejarah.

Najib tidak menyedari atau buat-buat lupa bahawa penyelewengan dana 1MDB berjumlah berbilion-bilion ringgit, merupakan skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia yang melibatkan beliau, dan sejarah itu tidak boleh dipesongkan.

Sejarah juga tidak boleh dipesongkan apabila penyata akaun peribadi bekas Presiden UMNO – juga bekas Perdana Menteri keenam, dalam masa sama bekas Menteri Kewangan dan bekas Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB – menunjukkan angka RM2.973 bilion.

Sebagaimana diberitahu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari lalu bahawa Najib menerima sejumlah wang yang besar, RM2.973 bilion daripada 1MDB dalam akaunnya tanpa sebarang justifikasi komersial atau perniagaan.

Perkara itu didedahkan pegawai penyiasat pengubahan wang haram Superintendan Foo Wei Min bahawa perpindahan wang dari 1MDB ke akaun Ambank Najib bernombor 9694 dilakukan dalam tiga peringkat, termasuk pergerakan wang dari Good Star membabitkan AS$120 juta (RM369,029,514) dalam lima transaksi antara tahun 2011 dan 2012.

Pergerakan wang dari Aabar sebanyak AS$170 juta (RM523,389,779.96) melalui enam transaksi antara tahun 2011 dan 2012 dan peringkat (ketiga) Tanore sebanyak AS$681 juta (RM2,081,476,926) dipindahkan melalui dua transaksi pada tahun 2013.

Inilah sejarah yang tercatat di mahkamah.

Dalam catatan membalas kenyataan Muhyiddin, hari ini, Najib mendakwa bekas Perdana Menteri kelapan itu cuba memesongkan sejarah dan menjaja cerita dongeng kononnya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan UMNO kerana mempersoalkan isu 1MDB.

Untuk menegakkan dakwaannya, Najib juga memetik keterangan Datuk Seri Muhkriz Mahathir kepada mahkamah bahawa Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad telah lama merancang menjatuhkannya.

Jika Najib mendakwa keterangan Mukhriz di mahkamah itu sebagai sejarah, maka benarlah hukuman penjara 12 tahun dan denda terhadapnya juga adalah sejarah Malaysia di mana buat pertama kali seorang bekas Perdana Menteri didapati bersalah dan dihukum penjara.

Kini, pendedahan dibuat adiknya sendiri, Nazir, berhubung 1MDB dalam bukunya ‘What’s in the Name’ semakin menarik perhatian bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga pada peringkat global.

Bukan orang lain, tetapi darah dagingnya sendiri, namun Najib sedikit pun tidak mengulas atau membalas kenyataan Nazir, seolah-olah apa yang diceritakan adiknya itu benar belaka.

Antara yang didedahkan Nazir ialah pertemuan dengan Dr Mahathir di London sekitar tahun 2015 yang membincangkan kebimbangannya kemungkinan berbilion-bilion dana 1MDB diseleweng.

Ianya tidak mengejutkan bagaimana Nazir boleh mengetahui kemungkinan penyelewengan dalam 1MDB berlaku kerana beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank sejak 1999 hingga 2014, sedangkan aliran transaksi dalam akaun Najib bermula pada 2011.

Nazir juga mengakui menjejaki 1MDB hampir enam tahun.

Dalam memoir buku berkenaan Nazir mendedahkan, pertemuan itu bukan sesuatu yang mudah untuk beliau dan pemilik The Edge Group, Datuk Tong Kooi Ong, tetapi ia harus dilakukan demi mencari kebenaran berkaitan skandal 1MDB.

Dalam bab bertajuk ‘Eh, We Have a Problem’ beliau memperincikan keraguannya terhadap penubuhan 1MDB serta hubung kait dana itu dengan Najib.

Najib, 68, kini berdepan pelbagai tuduhan jenayah, termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama, yang sedang dibicarakan sekarang.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan