Ahad, 28 November 2021

Restoran tular siakap “Kayangan” tetap diserbu pelanggan luar


Restoran tular siakap “Kayangan” tetap diserbu pelanggan luar. Walaupun pernah tular kerana menjual hida­ngan siakap seberat 7 kilogram (kg) pada harga RM1,196, operasi Restoran Terapung Sas Rimba, Taman Geoforest Karst Kilim di sini tidak terjejas dan masih beroperasi seperti biasa.

Tinjauan Kosmo! di restoran tersebut mendapati, rata-rata pelanggan mengetahui status restoran tersebut sebagai restoran yang tular sebelum ini, namun tetap mahu menjamu selera di situ.

Pelancong yang berkunjung ke situ biasanya menaiki bot bagi pakej lawatan ke kawasan bakau di Taman Geoforest Karst Kilim bagi melihat pertunjukan ikan di sangkar selain menjamu selera di restoran berkenaan.

Seorang pengunjung dari Temerloh, Pahang, Aida Fasiha Mohd. Azman, 26, berkata, mereka memilih untuk makan di situ kerana mengetahui status restoran tersebut telah tular.

“Saya dan keluarga datang ke sini sebab tahu tempat ini sudah tular dan kerana kami ingin melihat sendiri harga yang ditawarkan di restoran ini.

“Kami faham bahawa harga yang diletakkan oleh peniaga adalah munasabah kerana ikan yang dijual betul-betul segar kerana ikan tersebut masih be­renang ketika kami memilihnya,” katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Segamat, Johor, Che Nur Syuhadah Mohd. Nawawi, 20, berkata, dia biasa berkunjung ke restoran makanan laut dan akan memilih dan melihat sendiri ikan yang ditimbang sebelum meneruskan pesanan.

“Pekerja restoran turut beri­tahu kepada saya untuk melihat menu dan harga terlebih dahulu.

“Mereka juga menunjukkan kepada kami berat ikan yang ditimbang dan apabila kami bersetuju, barulah ikan tersebut akan dimasak,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! pada 5 November lalu melaporkan sekumpulan pelancong ke Pulau Langkawi terkejut apabila terpaksa membayar kira-kira RM1,196 bagi hidangan se­ekor ikan siakap seberat 7kg di salah sebuah restoran dekat Langkawi, Kedah awal bulan ini.

-utamadaily.com

0 comments:

Catat Ulasan