Jumaat, 12 November 2021

Letak jawatan untuk elak PRU kerana Covid-19, tapi PRN pula di Melaka: Muhyiddin

 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sepatutnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh dielak daripada diadakan kerana penularan Covid-19 masih melanda negara dan akan membahayakan nyawa rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu membuat perbandingan semasa tekanan diberikan terhadapnya ketika memegang jawatan Perdana Menteri (PM), ketika itu beliau mempunyai pilihan untuk juga membubarkan Parlimen tetapi sebaliknya mengambil langkah yang lebih bertanggungjawab bagi menjaga keselamatan rakyat Malaysia daripada ancaman Covid-19.

“Kerana sebagai contoh yang telah pun kita tunjukkan di peringkat nasional waktu mana saya berada dengan satu krisis dan terdapat 15 Ahli Parlimen UMNO tidak mahu memberikan sokongan kepada saya sebagai Perdana Menteri.

“Saya memikirkan kalaulah sebegitu dan adalah diperuntukkan di dalam Perlembagaan negara apabila seseorang PM tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Parlimen maka saya meletak jawatan.

“Tetapi juga ada diperuntukkan dalam perlembagaan Malaysia bahawa saya boleh juga meminta supaya Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan dengan itu akan diadakan pilihan raya untuk memilih kerajaan yang baru,” kata beliau semasa berucap di Pentas PRN Melaka yang disiarkan secara atas talian.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata langkah tersebut hanya akan mengundang kemarahan rakyat kerana tindakan sedemikian akan membahayakan nyawa mereka.

“Tetapi saya sedar kalau saya buat begitu saya manusia yang tidak bertanggungjawab kerana negara di waktu saya masih berada di tampuk pentadbiran kerajaan berada dalam situasi yang masih sukar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan tidak bersetuju dengan PRN yang terpaksa diadaka kerana perebutan kuasa orang politik di Melaka yang menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

“Saya sedar bahawa orang Melaka tidak mahu pilihan raya, bukan setakat itu mereka marah kenapakah keadaan sebegini berlaku di negeri Melaka.

“Sekiranya pemimpin-pemimpin politik di negeri Melaka sedar bahawa Melaka masih berhadapan dengan masalah wabak yang belum dapat kita atasi sepenuhnya walaupun proses vaksinasi sudah mula dilaksanakan secara meluas.

“Saya sedar perkara itu dan saya nak menyatakan di sini awal-awal lagi bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak juga mahu melihat pilihan raya ini diadakan,” katanya lagi.

PRN Melaka diadakan setelah berlaku krisis pentadbiran dalam kerajaan negeri apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada UMNO, menarik sokongan kepada kerajaan UMNO negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN terbabit diketuai Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Krisis itu tercetus setelah Idris bersama tiga bekas ADUN tidak puas hati dan mendakwa Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menjadi Speaker DUN lebih berkuasa daripada Sulaiman, malah KM Melaka itu terpaksa tunduk kepada kehendak Rauf.

Perbalahan menjadi semakin hebat setelah pada satu peringkat, Idris yang juga Ahli Exco negeri ketika itu mendedahkan terdapat pemimpin UMNO Melaka membolot projek ekonomi dan menipu Kerajaan Pusat berkaitan royalti pasir.

Idris mendedahkan, disebabkan perkara tersebut, beliau terpaksa menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan