Isnin, 8 November 2021

PRN Melaka:Calon BN DUN Kesidang ada faktor ‘Wow’ tak faham bahasa Malaysia?

 

Calon BN DUN Kesideng, Leong Hui Ying, dikatakan tidak faham soalan diajukan dalam bahasa Malaysia.

Seperti dinyatakan Barisan Nasional (BN) dan UMNO, beberapa calon yang ditampilkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini mempunyai faktor ‘Wow’, untuk menang.

Ini termasuk calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying, daripada MCA.

Faktor ‘Wow’ yang dimiliki calon ini ialah kegagalan memahami soalan yang diajukan wartawan dalam bahasa Malaysia, selain tidak fasih berbahasa Melayu.

Berdasarkan maklumat diperoleh, dia adalah lulusan sekolah vernakular Cina yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang tidak diiktiraf di Malaysia, sebelum melanjutkan pelajaran di Taiwan.

Hui Ying akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Gerakan, Patrick Ng Chin Kae, dan calon Pakatan Harapan (PH), yang juga penyandang kerusi DUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti sebulat suara memutuskan memilih 86 peratus muka baharu, 78 peratus daripadanya adalah yang berusia 50 tahun ke bawah manakala 82 peratus adalah berkelulusan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Ia adalah satu pendekatan baharu dan berani dalam memenuhi kriteria WALI (winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) and likeable (disenangi) yang kita utarakan.

“ADUN adalah milik rakyat di kawasan masing-masing. Parti sudah membuat penilaian terperinci sebelum mereka dipilih.

Pengarah PRN Melaka yang juga Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan nama-nama calon BN bagi menghadapi pilihan raya negeri tersebut.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon diikuti 16 November untuk pengundian awal dan 20 November pengundian biasa.

PRN Melaka diadakan setelah Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN setelah mendapat nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang hilang majoriti sokongan susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan terhadapnya, pada 4 Oktober lalu.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan