Kuala Lumpur: Bekas jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei bercadang membeli 'siakap kayangan' dari Langkawi sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun kesembilan perkahwinannya bersama Datin Wong Mew Choo.
"Ulang tahun kesembilan tahun ini agak sederhana sikit tapi saya akan membelikan awak ikan siakap dari Langkawi," tulis Chong Wei dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.
Minggu lalu tular di media sosial, portal dalam talian dan akhbar arus perdana mengenai ikan siakap mahal yang dijual di Kilim Geoforest Park, Langkawi hingga mencecah RM1,000 seekor sekali gus mencetus perasaan kurang senang dalam kalangan pelanggan.
Terdahulu Chong Wei, 39, menceritakan semula pengalaman pertamanya melamar Mew Choo di Gold Coast, Australia beberapa tahun lalu.
"Saya tidak pernah tahu bagaimana untuk bermimpi hinggalah saya bertemu awak @wongmewchoo.
"Beberapa tahun lalu apabila saya melamar awak di Gold Coast, ia satu saat paling gementar dalam kehidupan saya. Lebih gan-jiong (pinjam sikit ayat Tan Boon Heong) berbanding final Olimpik. Lebih gan-jiong berbanding mengambil keputusan SPM. Saya berlatih ucapan itu banyak kali dan apabila saya membuka mulut, ia masih tergagap-gagap dan tidak senada. Tidak selaras langsung.
"Jantung saya berhenti seketika apabila awak berdiam diri selepas saya mengajukan soalan itu. Adakah saya tidak terlalu cukup bagus buat awak? Adakah saya tidak cukup tampan buat awak? Saya lihat di cermin setiap hari, bukan Andy Lau tapi boleh cari makan ma muka saya. Tapi mujurlah, selepas lama berdiam diri, awak menangis dan berkata ya! Kita berpelukan dan menangis bersama, seribu lautan.
"Hingga ke hari ini, saya masih mencubit diri sendiri. Tidak boleh percaya kita sebenarnya bersama. Dengan dua anak lelaki yang tampan. Tidak sabar untuk meniti hari tua bersama. Berjalan seiringan. Saya berjanji dengan kedua ibu bapa awak saya akan menjaga awak apabila saya memegang tangan awak. Saya akan menunaikan janji itu.
"Selamat ulang tahun kesembilan, laopo (isteriku)."
Bagi menyambut ulang tahun perkahwinan ke-10 tahun depan, Chong Wei sudah bercadang untuk mengadakan keraian secara romantik dengan harapan situasi penularan Covid-19 semakin baik.
"Saya sudah mengimpikan Bora Bora atau Tasik Louise," tulisnya.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan