Sabtu, 20 November 2021

ISI BAHAN API TERLALU PENUH BOLEH ROSAKKAN FUEL PUMP? INI PENJELASAN DR AID FAWZAL


Dalam alam maya ini sebenarnya banyak pakar menulis, walaupun di luar bidang mereka. Ada yang 7 kali pergi usrah sudah pandai buat teori, ada yang rujuk Wikipedia semata-mata sebagai bahan bacaan dan ada yang rujuk Youtube untuk jadi pakar vaksin. Macam-macamlah. Kita raikan semua pendapat.

Baru-baru ini tular berkenaan dengan satu posting yang menyatakan jika kita mengisi bahan api terlalu banyak atau terlalu penuh, pam bahan api perlu bekerja keras lantas memendekkan jangka hayat komponen tersebut. Kenyataan ini disangkal oleh Dr Aid Fawzal menerusi satu hantaran di laman rasmi Facebook miliknya.

Berikut ialah tulisan Dr Aid Fawzal berkenaan dengan permasalahan ini.

Betulkah dengan mengisi minyak terlalu penuh boleh rosakkan ‘fuel pump’?

 Jawapan pendek: TIDAK! Mengisi minyak terlalu penuh TIDAK akan rosakkan ‘fuel pump’ sebaliknya akan merosakkan ‘vapour/charcoal canister’.

Kenyataan dalam tulisan viral tersebut tidak benar dan banyak hanya andaian semata-mata. Jom kita bongkarkan.


Gambar 1

Pertama sekali, mesej yang penulis tulisan viral tu nak sampaikan adalah baik. Ceritanya beliau akan isi minyak penuh hanya sehingga kepala nozzle pengisi menendang dan tak perlu teruskan isian penuh (gambar 1). Ini saya setuju dan ia adalah satu amalan yang baik. Teruskan membaca, insyaallah nanti anda akan faham kenapa.

Akan tetapi alasan-alasan yang penulis nyatakan adalah tidak benar. Beliau sebut berkenaan:

• 2% ruang pengembangan = tak benar!

• Minyak kembang bila panas = berapa kembang?!

• Isi lebih² nanti melimpah atas jalan = separa benar.

Izinkan saya jelaskan dalam bentuk soal jawab.

1) Apa yang terjadi bila isi minyak penuh?

• Apabila kita nak isi minyak, kita akan masukkan nozzle pengisi ke dalam lubang isian (fuel filler neck) dan tarik picu (trigger) lalu minyak mengalir masuk ke dalam tangki. Kemudian bila minyak mula penuh, ia akan melalui vapour return hose (sila lihat gambar ke 2) dan datang kembali berdekatan dengan lubang isian.

Siapa yang suka memerhati pasti pernah nampak minyak keluar daripada paip/lubang kecil dalam lubang isian tu. Haa.. minyak yg keluar ni tadi, bila dia menutup muncung depan nozzle pengisi tu yang akan buat nozzle tendang.


Gambar 2

• Lihat gambar ke 3 untuk salah satu jenis kepala nozzle pengisi. Ada macam² jenis, ada yang lubang dibawah nozzle, ada yang dalam nozzle, tapi prinsipnya sama. Ia gunakan konsep ‘venturi effect’. Apabila lubang ini tertutup oleh minyak daripada tangki, ia akan sekat aliran yang keluar daripada muncung. Terus berhenti pump.

2) Adakah benar tangki kenderaan perlukan 2% ruang pengembangan seperti yang dinyatakan?

• Ini tidak benar kerana tangki minyak kenderaan ada aliran angin masuk-keluar padanya. Angin akan masuk ke dalam tangki melalui lubang isian tu. Sebab tu penutup lubang isiaan ‘special’. Pusing2 tak ketat pon tapi dh bunyi kraaakkk!! Ia menutup laluan cecair, tapi benarkan angin utk masuk.

• Kedua, tangki kenderaan juga mempunyai Evaporative Emission Control System (biasa dipanggil pendek sebagai “EVAP” system). Sistem ini gunanya untuk bantu apabila minyak tadi berubah menjadi wap. (Lihat gambar ke 4)•

Sistem ini gunanya untuk tapis wap minyak anda dan gunakan semula ke dalam enjin. Jika anda selalu isi minyak penuh², ada kemungkinan yang tinggi, minyak akan masuk ke dalam sistem ini dan mengisi vapour/charcoal canister. Jika ini berlaku, lampu amaran (check engine) akan bernyala. Kene tukar canister boh!!!


Gambar 3

3) Bagaimana pula jika minyak mengembang apabila cuaca panas?

• Nilai pengembangan haba bagi petrol dan diesel adalah 0.00095 per degC dan 0.00083 per degC. Nilai ini sangat rendah jika diletakkan pada perubahan suhu di Malaysia. Utk permudahkan permahaman kita, katakan lah Ahmad isi minyak keretanya 10 liter waktu malam dengan suhu 24degC dengan harga RM20.50.

Pada waktu siang yang panasnya, suhu tangki naik ke 40degC. Kini minyak 10 liter yang Ahmad isi malam tadi menjadi 10.02 liter = RM20.53. Tak banyak pon kembangnya. Begitu juga dengan teori isi minyak kat Genting Sempah tu, pon boleh kita sangkal.

Perbezaan suhu sejuk kat Genting Sempah dengan kawasan² lain tak signifikan. Jadi tak beza banyak pon minyaknya dari segi nilai isipadu.

4) Bolehkah minyak melimpah atas jalan raya melalui ‘overflow port’?

• Tak boleh. Minyak hanya boleh overflow atau melimpah melalui lubang isian (fuel filler neck). Atau,Sesetengah motorsikal & kenderaan lama mempunyai breather hose. Ini adalah laluan pernafasan tangki.

Isian penuh juga boleh melimpah melalui ini terutama bila ambil selekoh/koner. Ini hal safety! Mana boleh pengeluar kereta buat buang limpahan atas jalan, kan??!?


Gambar 4

5) Adakah isi penuh boleh rosakkan ‘fuel pump’?

• Tak boleh.

• Yang akan rosakkan fuel pump bila selalu pandu kereta dalam keadaan minyak ‘reserved’ atau bawah paras E (pada meter minyak). Ini kerana fuel pump tu gunakan minyak sebagai bahan penyejukan & pelincir juga. Fuel pump yang berjalan tanpa adanya aliran minyak akan buatkan ia panas dan komponen dalamnya haus.

Selain tu, memandu dalam keadaan minyak ‘reserved’ juga boleh rosakkan fuel pump disebabkan kotoran/enapan disedut ke dalam enjin. Ini juga boleh menyebabkan fuel filter dan injector tersumbat.

Kepada Tuan penulis, kami hargai niat baik anda. Tapi semak² lah info dulu sebelum berkongsi. Jangan guna andaian sahaja. Saya nak tulis ni pon saya bertukar pendapat & mintak sahabat2 saya semak pengetahuan saya. Mereka adalah:

• Jamadin, BMW specialist, Ztechnica Automobile.

• Seorang pomen rally,

• Pizan, JDM specialist, Olskoolgarage

Rajin² lah semak ilmu yang kita terima,

Dr Aid FawzalMiddlesbrough UK

*Terima kasih kepada Faizal Ag & D Alexander kerana kongsikan tulisan viral tu.

**Tambahan: lupa pula saya nak cerita, kereta berenjin petrol, bila habis minyak, boleh isi & jalan terus.

Tapi jangan buat perangai dengan enjin diesel. Kalau putus minyak, akan berlaku air lock & mekanik perlu sedut diesel utk penuhi fuel system sebelum boleh berjalan kembali. Berhati² ya.

-mekanika.com.my

0 comments:

Catat Ulasan