Selasa, 9 November 2021

Elak Siakap seribu, pemuda kongsi budaya orang Cina pesan makanan

Gambar hiasan

 PETALING JAYA – Walaupun sudah hampir seminggu berlalu, namun kisah seekor ikan siakap yang dijual dengan harga lebih RM1,000 masih hangat diperkatakan di media sosial.

Seorang pemuda berbangsa Cina telah berkongsi tip baru-baru ini bagaimana budaya orang Cina memesan makanan laut di restoran bagi mengelakkan ditipu oleh para peniaga.

Menerusi perkongsian posting oleh Tai Zee Kin di laman sosial Facebook miliknya, beliau berkongsi cara orang Cina yang selalunya akan melakukan kiraan bajet sebelum melakukan perbelanjaan supaya tidak menyesal di kemudian hari.

“Di sudut akuarium di tepi restoran makanan laut, akan adanya nama dan jenis makanan laut yang ada harga bagi setiap 100 gram, satu kilogram atau sukatan yang sesuai.

“Di tepi akuarium akan ada penimbang dan pelanggan boleh meminta peniaga untuk menimbang terlebih dahulu makanan atau meminta peniaga memberikan anggaran berat bagi setiap jenis makanan laut,” katanya

Menurutnya lagi, tabiat membuat pengiraan terlebih dahulu memang sudah terpahat di dalam budaya kaum Cina dan jika yang besar, kiraan bajet akan dibuat barulah pesanan dan tempahan akan dilakukan.

“Sekiranya tiada akuarium, pelanggan akan terus memesan jenis makanan mengikut berat, sekiranya harga tidak tetap atau tidak mengikut berat yang ditetapkan, peniaga akan memberikan anggaran berat.

“Kami sebagai pelanggan akan melakukan kira-kira sebelum bersetuju dengan berat yang ditawarkan oleh peniaga, kebiasaannya peminat makanan laut sudah ada anggaran harga bagi setiap hidangan,” katanya lagi.

Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai bersetuju dengan perkongsian yang diberikan oleh beliau dan ada juga yang mahukan peniaga-peniaga di restoran Melayu menggunakan kaedah yang sama.

“Setuju sangat dengan perkongsian abang ini, itu yang bila isu harga siakap Langkawi mula naik saya agak pelik juga. Semoga jadi pengajaran untuk kita yang lain,” kata Rita Uchat.

“Saya harap peniaga-peniaga restoran makanan laut Melayu mengunakan kaedah yang sama bagi mengelakkan kes ikan siakap berulang kembali, mungkin dengan cara itu pelanggan akan dapat gambaran bagi setiap hidangan untuk mengelakkan fitnah,” jelas Mursyid Rashid.

“Terbaik, selari dengan ajaran Islam, mesti semua jelas dan ada kejujuran dalam berniaga, baru perniagaan akan hormani dan buang sikap nak ‘ketuk’ pelanggan waktu-waktu macam ini,” ujar Sukari Mamat

Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang pelanggan mendakwa terkejut dengan harga ikan Siakap Langkawi RM1,196 seekor yang perlu dibayar olehnya. – K! ONLINE.

0 comments:

Catat Ulasan